Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Saturday, May 30, 2009

Angel & Demon : Pendedahan Kelemahan Ajaran Kristian & Persengketaan Dengan Illuminati?



Bagi yang belum menonton filem Angel & Demon, saya menganjurkan supaya kawan-kawan semua dapat menontonnya walaupun sekali. Insya-Allah, tidak akan sesat dengan izin-Nya. Walaupun ia mengisahkan berkaitan ajaran Kristian namun, pada pandangan saya filem ini telah membongkarkan banyak fakta berkaitan kelemahan Kristian Ortodoks itu sendiri. Saya dapat menyimpulkan beberapa perkara dari filem ini setelah menontonnya.



Salah satu yang saya dapat simpulkan adalah berkaitan perseteruan di antara Kristian Katholik dengan golongan yang dinamakan sebagai Illuminati. Apa itu Illuminati? Saya juga tercari-cari sehingga kini dan kebetulan dahulu saya pernah terbaca di dalam buku bertajuk "Gerakan Freemasonary:Musuh dalam menghancurkan Islam". Di antara isi kandungannya ada juga diceritakan berkenaan pertubuhan Illuminati ini. Ia dikenali sebagai Pertubuhan Cahaya.

Persengketaan di antara pihak Vatican ataupun golongan gereja terhadap pihak Illuminati ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Malah ia adalah sejarah lama yang tidak mampu dipadamkan. Mengimbau kembali sejarah lampau bagaimana bermulanya luka perseteruan ini disebabkan oleh pihak gereja yang tidak dapat menerima hujah-hujah golongan ilmuwan dan pengkaji sains ketika itu seperti Galileo Galilei dan ramai lagi.




Kemuncak kepada penolakan golongan gereja terhadap pemikiran yang muncul ketika itu menyaksikan para saintis dan pakar-pakar ilmuwan ini telah dihukum dengan melampau dan sezalim-zalimnya oleh golongan gereja ketika itu. Bersandarkan alasan bahawa golongan tersebut telah sesat dan menyesatkan ia seolah-olah memberikan lesen kepada pihak gereja untuk bertindak sedemikian rupa. Maka, dari situ munculnya pihak yang tidak berpuas hati ini lalu mengumpulkan kekuatan dan membina pertubuhan secara 'Sir' dengan dinamakan sebagai Illuminati atau pertubuhan Cahaya.

Tanda-tanda khusus atau simbol-simbol tertentu digunakan bagi mengenali pertubuhan rahsia ini seperti Piramid, Mata, dan lain-lain lagi yang saya pun tak begitu mengingatinya. Pertubuhan ini bolehlah diibaratkan sebagai pertubuhan yang diasaskan demi membalas dendam terhadap golongan agama di dalam gereja, perseteruan di antara kelompok-kelompak 'professional' bagi membalas dendam dan menjatuhkan golongan agamawan di vatican. Maka, berlangsunglah perencanaan penuh berstrategi dan penuh dengan 'psy war' serta implementasi 'Art of war' yang menarik dari golongan Illuminati ini untuk merampas kuasa tertinggi di Vatican. Untuk mengetahui strategi-strategi yang telah diaplikasikan, kenalah tengok sendiri filemnya kerana penceritaan dalam bentuk penulisan kadang-kala tak menarik seperti apa yang ditonton.

Pengajaran yang mampu saya pungut dari filem terbabit salah satunya sangat berkait dengan propaganda media sempena muktamar pemilihan PAS akan datang iaitulah berkaitan isu sama ada golongan Professional atau golongan Ulama' yang sepatutnya menerajui kepimpinan tertinggi di dalam PAS. Sebagaimana yang telah saya ulas dalam penulisan saya yang lepas yang bertajuk, "Ulama' Atau Professional : Serangan Sekularisme Ke Dalam PAS?" saya sekali lagi menyatakan bahawa jangan sesekali mengaitkannya seperti apa yang berlaku dalam filem Angel & Demon ini. Kerana Islam tidak pernah memisahkan antara sains dari ketuhanan seperti di ajaran Kristian. Apa yang berlaku hanyalah permainan dan kesan dari sistem pendidikan lapuk negara ini yang terkesan dari sekularisme bawaan penjajah.

Saya juga ada berbincang dengan seorang sahabat berkaitan isu ini. Beliau memberitahu saya bahawa beliau ada terbaca dari sumber tertentu mengatakan bahawa isu ini timbul kerana kepelbagaian di dalam PAS dan terutama sekali apabila PAS turut meraikan taadudiyyah fil jamaah di dalamnya, iaitulah menaungi kepelbagaian jamaah di dalamnya. Wujud di dalam PAS ahli-ahli dan rakan-rakan dari JIM,ABIM dan sebagainya. Seperti yang kita lihat dan sedar, golongan seperti JIM rata-ratanya datang dari golongan yang akademik dan intelektual, bahkan terdiri juga dari golongan elit dan korporat. Ringkasnya, golongan professionalisme ramai dari kalangan mereka. Mereka juga seakan-akan ABIM yang turut terdiri dari kalangan orang-orang yang hampir sama. Isu Professional vs Ulama' ini lebih kepada propaganda media arus perdana yang mahukan PAS dilihat sebagai hanya parti ahli agamawan berikutan PAS sendiri yang mendokong kepimpinan Ulama'.

Kesimpulan ringkasnya, penting pentarbiyahan dalam PAS sendiri untuk membetulkan keadaan tersebut. Seperti Gerakan Ikhwan Muslimin, tidak kira sama ada professional atau pun dari mana-mana golongan, Al-Quran mestilah bukan lagi di mushaf,tetapi di dalam dada ahli-ahlinya selain bentuk pentarbiyahan yang lain. Maka, lahirlah golongan-golongan professional yang mempunyai ciri-ciri keulama'an dan golongan ulama' yang professional. Ringkasnya "Ulama' Professional" dan "Professional Ulama'."

Secara kesimpulannya, dapat saya nyatakan di sini bahawa filem Angel & Demon ini muncul sangat bertepatan dengan isu yang berlaku kini dan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada penontonnya bukan sahaja setakat mengkagumi jalan cerita dan corak lakonannya dalam filem terbabit. Fakta-fakta serta sejarah yang berkaitan dengan kedua-dua pihak tersebut baik Kritian Katholik mahupun Illuminati juga boleh dijadikan sebagai satu sumber pengetahuan dan mampu menyedarkan kita betapa kesesatan ajaran tersebut.

Pada akhiran kisah terbabit, golongan paderi-paderi di vatican telah sepakat secara 'syura' untuk melantik seorang yang bertaraf professional iaitu seorang Doktor untuk menggantikan Ketua Tertinggi Paderi Kristian di Vatican,Pope yang baru.

Tontonlah filem ini dengan mata hati dan pasti ia akan meyakinkan lagi kebenaran dan kesucian ajaran Islam berbanding ajaran lainnya. Kelemahan ideologi-ideologi dan agama yang diselewengkan pasti akan jelas di depan mata kita. Bahkan,filem ini secara tidak langsung menceritakan perseteruan dalaman pihak Kristian. Pesan saya lagi,bersikap terbuka dalam mengkaji sesuatu perkara amat penting, malah akhirnya pasti kalian akan menjumpai Kebenaran yang hakiki dan saya doakan melalui filem ini,dapat memperteguhkan lagi keyakinan kita betapa Islamlah ajaran terbaik. Banyak manfaat juga dari filem ini walaupun saya yakin dan percaya,tujuan filem ini adalah untuk mempromosikan Kristian secara tidak langsung sebenarnya.



Saksikan...The Illuminati...They Come For Their Revenge!!!

Read more...

Ujian Getir Sebelum Diberi Kemenangan adalah Sunnatullah



“Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”
(Al-Baqarah, 2:214)





Read more...

Friday, May 29, 2009

Tukar Tiub : Pengajaran Berguna dari Seorang Tauke Cina



Hari ini saya ingin berkongsi satu pengalaman menarik buat semua pembaca. Sejak dua minggu lalu tayar motor saya asyik bocor saja. Dah tak larat nak tukar tayar motor apatah lagi nak menuntun motor ke kedai motor berhampiran. Boleh dikatakan sudah 3 atau 4 kali juga berturut-turut tayar belakang motorsikal saya bocor dalam tempoh yang sangat singkat

Kali pertama bocor seingat saya adalah ketika saya berada di kampus dan semasa itu saya 'park' motorsikal di Masjid UTHM. Bila didapati tayar motor saya bocor,lalu terpaksalah saya menuntunnya ke kedai berhampiran. Kedai tersebut taukenya adalah seorang berbangsa melayu. Selesai saja beliau menukar tayar motor,saya bertanyakan kepadanya apa sebab tayar saya bocor. Balas tauke tersebut, "Alah, biasa saja. mungkin bocor kot? dah tukar tiub ok la tu." Saya pun malas bercakap banyak disebabkan keletihan dan penat menuntun motorsikal tadi yang agak jauh juga jaraknya dari kampus. Dalam hati 'tubik' juga monolog, "Memang la pancit sebab bocor,kalau tak buat apa nak tukar tiub tayar?" Selesai tukar tiub, saya pun bergegas pulang.

Peristiwa kedua pula berlaku tak sampai beberapa hari selepas peristiwa yang pertama. Ketika itu,saya di rumah bersama sahabat-sahabat yang lain. Betapa malasnya saya hendak menuntun motorsikal sekali lagi ke kedai. Lalu, dibiarkan selama beberapa hari dan saya hanya meminjamkan sebentar motor sahabat-sahabat di rumah. Kebetulan pula, motor seorang senior saya masih ada di rumah. beliau kini sudah mendapat tawaran untuk mengajar di Sabah. Abang Irwan Budiana namanya. Maaf abang ya kerana pinjam motor tak beritahu terlebih dahulu.

Keesokan harinya barulah saya ke kedai motorsikal dan meminta agar pekerjanya yang datang ke rumah membuka tayar motorsikal saya seterusnya memasangkan tiub tayar yang baru. Akibat kemalasan yang amat sangat dan faktor masa yang suntuk kerana seingat saya pada petangnya, saya terpaksa ke Shah Alam, menghadiri Konvensyen Mahasiswa Islam anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Disebabkan 2 faktor tersebut maka,terpaksalah saya menjemput seorang formen di kedai motorsikal terbabit untuk 'out station' sebentar. Kosnya juga sedikit bertambah berbanding kos biasa.

Setelah 2 hari berada di Shah Alam, pulang sahaja dari konvensyen belum pun sempat menaiki motorsikal yang baru ditukar tayar 2 hari sebelumnya,tiba-tiba sekali lagi tayarnya bocor. Kesabaran memang betul-betul teruji. Di dalam hati hanya menyebut "Tarbiyah...tarbiyah..." Memandangkan ramai sahabat-sahabat yang telah pulang bercuti di kampung halaman masing-masing, saya terpaksa menuntun motorsikal sekali lagi ke kedai motorsikal berhampiran. Kali ini kedai lain pula. Pemiliknya dalah seorang yang berbangsa cina.

Soal bangsa apakah dia bukanlah nak di'highlight'kan sangat, bahkan saya bukanlah seorang yang terlalu memikirkan soal perkauman ini. Selagi tidak melanggar prinsip dan batas agama, apa salahnya saling membantu meskipun berlainan bangsa dan agama. Ketika bertemu beliau yang saya terlupa bertanyakan namanya, mungkin lepas ini boleh lihat semula di papan tanda kedai beliau. Beliau sangat bersimpati dengan saya, "Aiyya, lu... belum balik kampung aa... Kesian wa tengok lu solang-solang tuntun lu punya motor bawak mali sini..." Saya menjawab, "apa boleh buat bos,tayar asyik pancit 2 3 hari ni." Dia mengerutkan dahi."Aiyya...Lu aa..menda kecik macam ni aa..lu pon boleh repair sendiri apa...bukan susah sangat pon...bukak tayar mudah saja..."Dia pula menasihati aku. Dalam hati, aku bermonolog,"Ish...Pelik betul dia ni, orang datang kedai dia patut berterima kasih la sikit...bertuah la aku datang kedai kau...ini tidak,macam-macam pulak kata kat aku..macam nak tolak rezeki pulak apek ni"

Saya hanya tersenyum saja bila dikatakan begitu oleh si apek tauke Cina tadi. Dengan nada berseloroh, saya katakan kepada beliau, "Aiyya tauke, kalau motor saya tak pancit macam mana lu mau repair?bila lu tak repair, macam mana lu punya income mau masuk?heheh..." Saya menjangkakan bahawa dia akan senyum atau turut sama ketawa dengan selorohan saya tadi,sebaliknya anggapan saya jauh meleset. Sambil dia membuka tayar motorsikal saya, dia mengalih pandangannya ke arah saya yang duduk di atas kerusi dengan muka yang seolah-olah tidak puas hati akan kenyataan saya sebentar tadi. Lalu dijawabnya, "Lu aaa...olang muda...manyak mau senang woo...lu tengok sendri aa...ekonomi sikalang manyak tak bagus woo...lagi lu mau manyak keluar duit ka??Bukak ini tayar aaa...paling mudah woo..itu pon mau bawak sini ka??Lagi baik lu belajar bukak sendri woo..murah pon murah...susah sikit saja maa". Panjang lagi celotehnya, terpaksa saya potong.

Saya agak terkedu mendengar ceramah santai dari beliau. Walaupun dalam diri ada sedikit rasa geram mendengar apa yang si tauke itu katakan kepada saya. Namun, ada betul juga apa yang beliau sebutkan. Keadaan yang berlaku hari ini, duit sangat susah hendak dicari tetapi mudah pula untuk terbang keluar. Harga barang keperluan asas semuanya semakin mahal sedangkan gaji jarang pula dinaikkan. Saban hari akan ada sahaja pengumuman dari pihak kerajaan berkaitan kenaikan harga keperluan asas tertentu. Petrol naik, harga tambang pengangkutan naik dan berbagai lagi akan turut naik. Alasannya, World Economic Crisis.

Sesuatu yang mengkagumkan saya adalah, dalam suasana susah mendapat upah dan sumber kewangan begini pun, si tauke tadi masih boleh menasihatkan saya sedemikian. Sedangkan membaiki motorsikal termasuklah menukar tayarnya adalah pekerjaan utama beliau. Kalau difikir dari sudut mencari keuntungan, maka, saya ini adalah 'mangsa' beliau untuk menambah pendapatan hariannya. Selalunya, kalau pemandangan biasa kita akan lihat, tauke-tauke ini pastinya akan berkata,"Tak Mengapa...Bagus-bagus...datang la selalu ya..skru jatuh ka motor tak dapat hidup ka,mari la bawak ke sini ya...jangan malu-malu..." Tetapi sebaliknya tauke ini tidak seperti itu. Malah, dia telah memberikan saya pengajaran yang amat berguna. Berusahalah sedaya upaya terlebih dahulu, berusaha untuk seboleh-bolehnya berjimat dan kurangkan kos pengeluaran dalam suasana ekonomi tak menentu kini. Kemudian barulah minta pertolongan kalau tak mampu sangat.

Pengajaran Di Mana-Mana.


Kalau difikirkan mengikut skema biasa penilaian kita dalam menilai kata-kata manusia, mungkin persoalan siapakah yang memberi nasihat,apakah pangkatnya,apakah darjatnya,pekerjaannya malah apakah bangsa dan agamanya pasti menjadi ukuran dan nilaian kita terlebih dahulu sebelum memikirkan sama ada untuk menerima atau tidak teguran dan nasihat yang diberikan.

Teringat kata-kata ustaz saya dahulu, Golongan kafir dan pemerintah-pemerintah dunia pada zaman dahulu terhalang dari hidayah Allah kerana terlalu mempersoalkan siapakah peribadi Muhammad s.a.w daripada apa yang disampaikannya. Muhammad s.a.w hanyalah seorang miskin, yatim piatu, malah buta huruf atau istilahnya Ummiy. Tiada apa-apa kelebihan duniawi yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w untuk dinilai golongan-golonagn pembesar Makkah ketika itu. Justeru, hati mereka disekat dari menerima hidayah dan pengajaran berguna yang disampaikan Rasulullah s.a.w.

Selain dari kisah itu, teringat juga kisah yang berlaku terhadap Imam Al-Ghazali iaitu seorang ulama' agung dalam sejarah Islam. Suatu hari, Imam Al-Gahazali tercari-cari jawapan terhadap suatu kemusykilan yang beliau alami,iaitulah bagaimana untuk mengetahui bahawa seekor anjing itu telah baligh atau tidak. Beliau tercari-cari di dalam banyak kitab-kitab tetapi tidak pernah berjumpa. Lalu, suatu hari ada seorang lelaki yang kelihatannya seperti orang kurang siuman yang siang malam kelibatnya hanya di kaki lima jalan telah memberikan jawapan kepada beliau. Lelaki tersebut menjawab persoalan yang beliau tercari-cari selama ini. Jawab lelaki itu, anjing yang telah matang atau masih belum matang boleh dilihat apabila ia kencing. Kalau kencingnya dengan mengangkat sebelah kaki belakang, maka anjing itu telah matang. Begitulah kisahnya sehinggakan suatu hari ketika imam Al-Ghazali sedang menyampaikan kuliah pengajiannya, tiba-tiba beliau bangun menghormati lelaki terbabit yang ketika itu hadir dalam pengajian beliau.

Satu lagi kisah yang juga berlaku kepada imam Al-Ghazali, di mana suatu hari seorang perompak telah menyerbu dan merompak kitab-kitab beliau. Lalu, imam Al-Ghazali merayu kepada perompak itu agar dipulangkan semula kitab-kitabnya kerana di dalam kitab-kitab itulah terletaknya segala ilmu-ilmu beliau. Perompak itu lalu memberikan respon, "Oh..Kalau begitu, tidak sehebat manalah engkau...Ilmu-ilmu engkau hanya apa yang ada di dalam kitab.." Setelah peristiwa itu, Imam Al-Ghazali menghafal kesemua yang tertulis di dalam kitab-kitab tersebut. Begitulah pengajaran yang bermanfaat diambil oleh seorang ulama' Islam meskipun datangnya dari golongan yang dipandang hina oleh masyarakat.

Bahkan Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Kebijaksanaan (Al-Hikmah) itu adalah milik golongan orang-orang yang beriman. Di mana sahaja ia ditemui maka, hendaklah dikutip dan dipungut,"

Kembali kepada kisah saya dengan si tauke Cina tadi. Betapa pengajaran yang besar saya dapat dari Tauke Cina itu. Beliau turut memberitahu saya, "Lu aaa.. datang sini tengok macam mana wa tukar lu punya tayar...balik lu cuba sendri aaa...cali itu spanar,tuil apa semua...nanti lu buat sendri aa...tak payah susah-susah woo datang jauh-jauh...keluar duti lagi mau tukar tiub tayar saja..."

Jadi, hari ini saya pun belajar secara praktikal bagaimana hendak membuka dan menukar tayar motorsikal saya tanpa perlukan bantuan formen-formen dan mekanik dari kedai motorsikal. kebetulan, tayar bocor lagi sekali dan Alhamdulillah, punca kebocoran juga telah dikenalpasti. Dawai yang melekat di tayar luar telah membocorkan tiub dalam tayar motorsikal saya.





Fuhh...berpeluh juga nak tukar tiub ni...





Read more...

Mogok Lapar : Halal? Haram? Harus? atau bagaimana?

Dipetik dari blog :Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ustaz Abu Basyir Al-Muqry

Pandangan dan hujah Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi:

Mogok Lapar :
Sejauh Mana Keharusannya


Terdahulu saya telah ditanya oleh wartawan berkait dengan isu " mogok lapar " , spontan saya jawab secara peribadi dan umumnya saya tidak bersetuju.
Namun tentu sahaja isu ini tidak terhenti di atas satu pandangan [ ijtihad ] dan tidak juga dilihat hanya dari satu sudut .

Kesempatan terluang pada malam ini saya manafaatkan sepenuhnya untuk memberi sedikit pandangan berkait isu mogok lapar .

Mogok Lapar

Mogok adalah satu tindakan yang biasanya diambil dalam 2 keadaan .

Pertama disaat pasrah atau tiada pilihan bertindak bagi merubah sesuatu situasi .
Kedua , untuk menarik perhatian pihak lain atau sebagai satu bahasa untuk menyatakan sesuatu perkara yang besar setelah bahasa lidah kelihatan tidak difahami .

Lapar atau berlapar salah satu dari cara mogok yang sering dilakukan dan ia antara cara mogok yang tertua di dunia dan pernah dilakukan oleh kaum jahiliyah . Ibu kepada Saad bin Abi Waqqas rha. pernah melancarkan mogok untuk tidak makan dan tidak minum , sehinggalah Saad bin Abi Waqqas rha. kembali kepangkuan agama asal mereka .

Ibu Saad bin Abi Waqqas pernah berkata kepada anaknya :

والله لا أطعم طعاما و لا أشرب شرابا حتى أموت أو تكفر

Demi Allah Aku tidak akan makan sebarang makanan dan Aku tidak akan minum sebarang minuman sehinggalah aku mati atau engkau mengingkari [ agama Muhammad saw dan kembali kepada agama asal ]

Riwayat Imam Muslim , Ahmad , Tarmizi dan Nasaei

Pendapat 1 : Mogok Lapar adalah Haram

Peristiwa ini [ di atas ] sering menjadi hujjah bagi mereka yang berpendapat bahawa mogok adalah haram justeru ia adalah amalan jahiliyah .

Atas alasan untuk melahirkan rasa tidak puas hati [ protes ] terhadap pihak lain , ingin memberitahu orang ramai tentang kezaliman yang dilakukan atau untuk memberi tekanan kepada pihak tertentu maka ia tidak sampai menghalalkan mogok lapar justeru matlamat tidaklah menghalalkan cara . [ الغاية لا تبرر الوسيلة ]

Hujjah mereka diperkuatkan dengan nas yang menyebut : و لا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة [ jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan - 195 al Baqarah ]

Syara' tidak membenarkan sama sekali [ kecuali dhorurat ] kita mendedahkan diri dan jamaah kepada binasa walaupun di atas tujuan yang baik seperti menentang kezaliman kerana matlamat yang ingin dicapai tidak sampai menghalalkan semua cara atau pendekatan .

Mogok lapar dilihat lebih membawa kesan mudharat atau binasa ke atas pelakunya berbanding musuh yang ditentang . Tidak dinafikan musuh menerima kesan tekanan politik dari mogok lapar yang dilancarkan tetapi tidak menjejaskan keseluruhan reputasi dan survival politik mereka sebaliknya mereka masih mempunyai 1001 cara untuk mengalih tumpuan dunia dan menyembunyikan kezaliman mereka .

Jika kita sanggup mogok lapar lalu membinasakan diri demi menentang kezaliman , kenapa tidak gempur sahaja musuh diatas nama jihad sehingga memungkinkan kita syahid atau paling tidak ditangkap dan kita binasa kerana seksaan musuh bukan kerana kita menyeksa diri kita .

Kita masih mempunyai banyak ruang dan peluang juga pelbagai sarana yang masih boleh diguna-manafaatkan untuk mendedahkan kezaliman musuh kepada dunia sekaligus memberi tekanan politik dan menghakis pengaruh kuasa mereka tanpa perlu kita mendera dan menyeksa diri kita sendiri , sementara musuh sedikit pun tidak terjejas kesihatan dan pengaruh mereka .

Kita belum kehabisan idea dan cara untuk menetang musuh dan mendepani kezaliman yang dilakukan oleh mereka .

Al A'llamah Syeikh Athiyyah Saqr bekas Pengerusi Lajnah Fatwa University al Azhar pernah mengeluarkan fatwanya :

Tiada di dalam agama apa yang dinamakan mogok dari makan atau minum bagi mendapatkan sesuatu tuntutan. Ia merupakan wasilah yang negative yang wajib dihindari oleh seseorang, sedangkan di sana ada wasilah-wasilah yang lain yang dibenarkan syara' yang begitu banyak.

Sesiapa yang mengambil langkah ini sesungguhnya dia telah memudharatkan dirinya dengan dengan lapar dan dahaga dalam perkara yang bukannya ketaatan. Sedangkan hadis ada menyatakan

"Tiada boleh memudharatkan (untuk dirinya) dan juga tiada boleh memudharatkan orang lain" .

Dalam masa yang sama dia mendedahkan dirinya kepada kebinasaan, sedangkan Allah SWT berfrman yang bermaksud :

" Dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan" (Al-Baqarah 195).

Sesiapa yang mati disebabkan mogok tersebut ia dikira membunuh diri. Bunuh diri adalah dosa besar dan sesiapa yang menghalalkannya ia menjadi kafir, tidak boleh dimandikan (jenazahnya), tidak disembahyangkan dan tidak boleh ditanam di perkuburan orang Islam"

Ahsanul kalam fil Fatawa wal Ahkam -
Asy - syeikh A'thiyah Saqr . Jilid 1 : 366

Usahkan mogok lapar yang membinasakan diri sendiri , hanya berpuasa untuk mendekatkan diri kepada Allah swt tetapi melebihi kadar ketetapan syara' juga dilarang keras oleh Rasulullah saw .

وخرجه البخاري عن أنس أيضا ولفظه قال: جاء ثلاثة رهط إلى بيوت أزواج النبي صلى الله عليه وسلم يسألون عن عبادته، فلما أخبروا كأنهم تقالوها - فقالوا: وأين نحن من النبي صلى الله عليه وسلم ؟ قد غفر الله له من ذنبه ما تقدم وما تأخر.
فقال أحدهم: [ أما ] أنا فإني أصلي الليل أبدا.
وقال آخر: أما أنا فأصوم الدهر ولا أفطر.
وقال آخر: أما أنا فأعتزل النساء ولا أتزوج أبدا.
فجاء رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: " أنتم الذين قلتم كذا وكذا أما والله إني لاخشاكم لله وأتقاكم له لكني أصوم وأفطر وأصلي وأرقد وأتزوج النساء فمن رغب عن سنتي فليس مني ".

Telah datang 3 orang lelaki ke rumah isteri Nabi saw lalu mereka bertanya mengenai ibadat Nabi saw lalu diceritakan kepada mereka [ mengenai ibadat nabi saw ] lalu mereka berkata : dimana [ perbezaan ] kami berbanding Nabi saw ? sedang Allah swt mengampunkan dosanya yang terdahulu dan terkemudian ?

Lantas berkata seorang dari mereka : adapun aku sembahyang sepanjang malam [ tanpa tidur ] dan berkata pula yang lainnya : ada pun aku berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka . Berkata pula yang ketiga : adapun aku menjauhi perempuan dan aku tidak berkahwin selamanya [ kerana sibuk beribadat ] .

Lalu datang Rasulullah saw. dan berkata : apakah kamu yang berkata begitu dan begini ? demi Allah swt. sedang aku orang yang paling takut kepada Allah swt dikalangan kamu dan paling bertaqwa kepadaNya , akan tetapi aku berpuasa aku berbuka , aku sembahyang aku tidur dan aku mengahwini perempuan , maka barangsiapa yang [ berpaling ] tidak mengikut sunnahku maka ia bukan dari kalanganku .

dikeluarkan oleh al Bukhari dari Anas Rha .

Nas ini membawa maksud Islam tidak suka tindakan yang keterlaluan sehingga menafikan hak jasad dan Islam juga sangat mencela kita mengadakan sesuatu yang tidak dilakukan atau tidak dibenarkan oleh Rasulullah saw.

Lihat , bagaimana puasa yang bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah , jika dilakukan melebihi [ melampau ] dari kadar yang ditetapkan oleh Allah swt. mendapat celaan dari Rasulullah saw . Betapalah pula mogok lapar yang tidak bermaksud mendekat diri kepada Allah swt dan ia bukanlah sejenis ibadah seperti puasa bahkan tidak makan dan minum sehingga memudharatkan diri . [ sementara puasa ada sahur dan iftar ]

Berasaskan penghujahan ini maka mereka [ ulama' ] mengharamkan perbuatan mogok lapar dan menyebut sebagai suatu yang tiada asal di dalam Islam.

Mogok Lapar :
Bagaimana Kita Menanganinya


Pendapat 2 :
Hujjah yang membenarkan

Saya melihat isu ini turut dibahas dari aspek yang berbeza dan sekaligus membenarkan mogok lapar dilakukan .

Prof Dr. Yusuf al Qaradhawi ada menjelaskan hukum mogok lapar ketika menjawab satu soalan yang diajukan kepadanya mengenai hukum mogok lapar oleh tahanan ummat Islam di dalam penjara Israel . al Qaradhawi menjawab :

“ Mereka adalah pejuang keadilan! Mogok (lapar) adalah hak mereka yang telah diiktiraf yang bertujuan untuk membongkar segala bentuk kezaliman dan kejahatan yang dilakukan ke atas mereka !

Oleh itu menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk memberikan sokongan padu kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing samada secara sokongan aman, demontrasi atau sokongan moral termasuklah secara mogok lapar ! atau menghantar telegram dan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk merasakan dan menzahirkan bahawa kita adalah senantiasa bersama-sama dengan mereka !

Mereka yang berpendapat mogok lapar dibenarkan turut melampirkan kenyataan Saidina Abu Bakar rha ketika mana ia sangat tertekan menahan kerisauannya terhadap Rasulullah saw setelah mereka diserang oleh kuffar Quraisy sehingga Abu Bakar pengsan . Sejurus bangun sedar dari pengsannya , Abu Bakar rha berkata kepada ibunya yang menghidang makanan untuknya :

فإن لله علي أن لا أذوق طعاما و لا أشرب شرابا أو آتي رسول الله صلى الله عليه وسلم

Demi sesungguhnya kerana Allah Aku bertegas ke atas diriku bahawa Aku tidak akan mengambil [ makan ] sebarang makanan dan tidak akan minum sebarang minuman sehinggalah aku menemui Rasulullah saw .

Hayatus Sahabah [ Syeikh Muhammad Yusuf al Kandahlawi ]
Jilid Pertama : Bab Tahammul Asy Syadaaid fillah .

Pandangan saya .

Pertama : Fatwa al Qaradhawi adalah jawapan kepada soalan yang dikemukakan kepada beliau atau mengulas situasi yang disebutkan oleh mereka yang bertanya iaitu mengenai tahanan ummat Islam Palestin di penjara Israel . Justeru itu perlu dilihat bagaimana keterbatasan ruang dan keupayaan yang dimiliki oleh seorang tahanan untuk membebaskan dirinya . Mogok lapar mungkin satu - satunya pilihan yang ada padanya dan fatwa al Qaradhawi membenarkan mogok lapar dalam situasi seperti itu .

Tahanan itu berada di dalam penjara , maka apalah pilihan yang ada pada mereka bagi mendesak Israel agar membebaskan mereka sekaligus memberitahu dunia akan kekejaman Israel alihi laknatullah . Situasi ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di dalam negara kita .

Kedua : Sirah yang menjelaskan sikap Abu Bakar rha mengeluarkan kenyataan untuk tidak makan dan minum perlu dilihat kepada beberapa keadaan :

1. Peristiwa itu berlaku diperingkat awal Islam bertapak di Makkah dan aqidah serta syariat belum sempurna . Marhalah Nabi saw pada waktu itu hanyalah diperingkat dakwah dan pemantapan aqidah . Marhalah ini pernah menyaksikan Nabi saw meminta para sahabat meninggalkan Makkah berhijrah ke Habsyah sebagai usaha menyelamatkan aqidah justeru aqidah mereka masih diperingkat tunas .

2. Kisah itu tidak menunjukkan tindakan Abu Bakar mogok , tetapi hanya sekadar ucapan tegas Abu Bakar kepada Ibunya [ Ummu Khair - belum Islam pada waktu itu ] , sebagai ugutan agar ibunya segera bertemu Ummu Jamil rha [ saudara perempuan Saidina Umar al Khattab ] untuk mendapatkan kepastian keselamatan Nabi saw sejurus sedar dari pengsan setelah Abu Bakar dan Rasulullah saw bersama sahabat yang lain diserang oleh kuffar Quraisy .

Ummu Jamil akhirnya membawa Abu Bakar rha. ke rumah Arqam abi Arqam untuk bertemu dengan Rasulullah saw yang berlindung di rumah tersebut . Pertemuan itu juga membawa Ummu Khair memeluk ajaran Islam .

Mogok dan Puasa Sunat

Tanpa ada keadaan yang dhorurah untuk mengharuskan suatu yang diharamkan maka mogok lapar adalah salah disisi syara' bagi ummat Islam . Sementelah pula keadaan yang tidak mendesak atau memaksa dengan maksud kita masih mempunyai waktu yang luas dan ruang yang lebar untuk merangka tindakan yang tidak hanya membinasakan diri tanpa memberi kesan yang besar kepada pemerintah yang zalim .

Kepada golongan bukan Islam mungkin mereka menggunakan mogok lapar sebagai hak mereka untuk bertindak tetapi tidak untuk ummat Islam kerana kita mesti berpegang kepada kaedah matlamat tidak menghalalkan cara .

Sebagai muslim , dalam menghadapi kezaliman pemerintah tidak menjadikan kita buntu dan hilang pedoman . Kita ada Allah swt dan kita diajar agar memohon pertolongan dengan sabar dan solat . [ واستعينوا بالصبر و الصلاة ] al Baqarah 45 .

Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menyebut bahawa maksud sabar di dalam ayat 45 surah al baqarah ini juga diertikan sebagai puasa . Al Qurtubi dan lainnya menyebut , inilah sebabnya Ramadhan dikenali sebagai bulan sabar .

فأما الصبر فقيل انه الصيام . نص عليه مجاهد

Tafsir Ibnu Kathir

Puasa adalah pilihan muslim untuk bermunajat kepada Allah swt agar kezaliman dihancurkan . Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita .

Pandangan dan hujah Ustaz Abu Basyir Al-Muqry bersandarkan fatwa syeikh 'Athiyyah Saqr:

MOGOK LAPAR ADALAH HARAM - FATWA SYEIKH 'ATHIYYAH SAQR

Setelah bertalu-talu soalan berkaitannya diajukan kepada saya, di sini saya ingin kemukakan fatwa Syeikh Athiyyah Saqr Mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar berkaitan masalah ini, untuk kita kongsi bersama.
Terjemahannya adalah seperti berikut:

"SOALAN:
Apakah hokum mereka yang melakukan mogok lapar (sebagai protes) apabila dilakukan kezaliman ke atasnya, dan bagaimana menguruskannya?

JAWAPAN:
Tiada di dalam agama apa yang dinamakan mogok dari makan atau minum bagi mendapatkan sesuatu tuntutan. Ia merupakan wasilah yang negative yang wajib dihindari oleh seseorang, sedangkan di sana ada wasilah-wasilah yang lain yang dibenarkan syara' yang begitu banyak.
Sesiapa yang mengambil langkah ini sesungguhnya dia telah memudharatkan dirinya dengan dengan lapar dan dahaga dalam perkara yang bukannya ketaatan. Sedangkan hadis ada menyatakan "Tiada boleh memudharatkan (untuk dirinya) dan juga tiada boleh memudharatkan orang lain" .
Dalam masa yang sama dia mendedahkan dirinya kepada kebinasaan, sedangkan Allah SWT berfrman yang bermaksud : " Dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan" (Al-Baqarah 195).
Sesiapa yang mati disebabkan mogok tersebut ia dikira membunuh diri. Bunuh diri adalah dosa besar dan sesipa yang menghalalkannya ia menjadi kafir, tidak boleh dimandikan (jenazahnya), tidak disembahyangkan dan tidak boleh ditanam di perkuburan orang Islam"

Penterjemah:
Ust Khairul Azmi Al-Muqry
25.5.09

Rujukan:
1. Ahsanul kalam fil fatawa wal ahkam, Syeikh 'Athiyyah Saqr, Jil 1 Ms 366

Read more...

Kenapa Majikan Masih Mendiskriminasi?



Di atas adalah memo yang telah dikeluarkan oleh bahagian pentadbiran sebuah syarikat yang ditanda tangani oleh Pengurus Besarnya sendiri. Persoalan hak pekerja bawahan yang tidak dijaga dengan baik kembali timbul dan persoalan bagaimanakah boleh individu atau bahagian pengurusan syarikat tersebut boleh terlantik menjadi pengurus?

Pada pandangan saya, perlu dikaji semula dan diselaraskan kriterias-kriteria yang wajib dipatuhi oleh majikan demi memelihara hak pekerja bawahan. Ini persoalan besar yang boleh menjejaskan reputasi dan pandangan umum terhadap sesuatu syarikat.

Diskriminasi terhadap hak agama pekerja-pekerja bawahan adalah suatu persoalan besar yang harus dinilai oleh masyarakat baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam. Hak memelihara agama dan berusaha mengembalikan masyarakat kepada agama adalah tugas semua golongan termasuk yang bukan beragama Islam dan bukan semata-mata terletak dibahu majikan atau pengurus-pengurus yang beragama Islam sahaja. Bahkan semua agama sepatutnya menghormati prinsip dan amalan agama antara satu sama lain.

Tidak pastilah sama ada Pengurus Besar syarikat terbabit bertuhan ataupun tidak. Jika beliau seorang yang bukan beragama,iaitu seorang atheis, saya tidak pasti dari sudut perlanggaran prinsip Rukun Negara bagaimana. Kerana bukankah prinsip Rukun Negara yang pertama menyebutkan bahawa Kepercayaan Kepada Tuhan? bagaimanakah kedudukan atheis dalam negara ini. Saya tidak bercakap persoalan dari sudut agama, tapi dari sudut negara. Dari sudut agama Islam, kita menghormati prinsip yang mereka pegang untuk tidak bertuhan dan dalam masa yang sama kita hendaklah membuka fikiran mereka untuk cuba menilai bahawa kehidupan ini memiliki tuhan.

Dari sudut kebebasan mengamalkan cara hidup serta hak asasi dalam masyarakat majmuk juga sebenarnya sudah dilanggar oleh pengurusan syarikat terbabit. Jika benar dia bukanlah seorang yang beragama sekali pun, undang-undang negara dan hak asasi wajib dipelihara. Jika dia tidak beragama, maka dia sepatutnya mentaati undang-undang dan perlembagaan. Tidak mengapalah bagi golongan seperti itu untuk menjadikan perlembagaan negara dan undang-undang sebagai 'tuhan' mereka buat sementara waktu sebelum mereka mencari dan mendapatkan Tuhan yang sebenar.

Ini hanyalah satu contoh yang berlaku bahkan banyak lagi bentuk diskriminasi yang berlaku jika sebuah syarikat itu hanya mementingkan persoalan meningkatkan prestasi tanpa mementingkan soal kebajikan,hak,keadilan,kebajikan dan kerohanian pekerja-pekerjanya.

Read more...

Hadkan Hanya 10 Subjek Untuk SPM?


Sumber: Berita Harian

SPM had 10 subjek


Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


Bolehkan guru tumpu pengajaran mata pelajaran teras: Muhyiddin

SEREMBAN: Mulai tahun depan, calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.

"Langkah mengehadkan subjek itu turut memanfaatkan ibu bapa kerana ada yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen berikutan waktu pembelajaran subjek tambahan di sekolah tidak mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas meletakkan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek di sini, semalam.

Sistem persijilan terbuka sekarang tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran yang hendak diduduki calon SPM menyebabkan sesetengah pelajar mengambil sehingga 20 subjek. Tahun lalu, 48,000 pelajar atau kira-kira 10 peratus daripada 500,000 calon SPM mengambil lebih 10 subjek.

Muhyiddin berkata, selaras langkah mengehadkan subjek SPM, sistem penggredan peperiksaan itu juga akan diubah untuk memudahkan penilaian dalam penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Perubahan sistem penggredan ini penting supaya jika dapat A, kita mahu tentukan sama ada gred itu A, A+ atau A-. Begitu juga jika B, sama ada B, B+ atau B-. Ini supaya dalam soal mendapat biasiswa, pelajar dinilai berdasarkan bilangan subjek diambil dan gred diperoleh," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, sistem penggredan baru itu turut meliputi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan. Sistem itu sudah dilaksanakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Sistem ini akan menjadikan keputusan peperiksaan lebih terperinci. Sebagai contoh di peringkat UPSR, kira-kira 48,000 murid mendapat A dalam semua subjek. Jadi dengan sistem baru, lebih mudah untuk pemilihan murid memasuki sekolah berasrama penuh," katanya.

Alimuddin berkata, sistem penggredan itu masih dikaji untuk diperhalusi, tetapi kementerian tidak menghadapi masalah untuk melakukannya kerana hanya memerlukan sedikit penyusunan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya yang membincangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kelmarin, mahu usaha diperhebatkan untuk meningkatkan mutu pendidikan di luar bandar.

Usaha akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 untuk memperbaiki kemudahan prasarana di luar bandar serta menghantar guru terlatih dan berkelayakan, terutama bagi subjek bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Ini penting untuk merapatkan jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar serta antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Walaupun jurang itu tidak terlalu jauh, ada perbezaan ketara antara bandar dengan luar bandar. Ini dapat dilihat dari segi keputusan peperiksaan," katanya yang sebelum itu melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan Bandar Enstek.

Antara komponen utama kompleks pendidikan berharga kira-kira RM1.3 bilion itu ialah Institut Aminuddin Baki, Kolej Tunku Kursiah, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Fasa pertama dijangka siap akhir tahun depan, manakala fasa kedua dilaksanakan dalam RMK-10. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.



Respon Harakah

Mahfuz minta Muhyiddin kaji semula keputusan had ambil subjek SPM


Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | May 28, 09 | 5:11:07 pm MYT


KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan mengehadkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi mengulas isu tersebut.

Beliau mengharapkan kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula kesan negatif terhadap keputusan itu.

"Pertamanya mengapa perlu kita menghalang kecemerlangan pelajar dengan hanya isu remeh iaitu persoalan biasiswa, berapa kerat sangat mereka yang ambil subjek sehingga 20, dan berapa ramai sangat yang dapat 20, tahun ini hanya Nik Nurmadihah seorang sahaja yang dapat 20 A," katanya.

Keputusan kerajaan ini lebih dilihat bersifat meminggirkan sekolah agama yang kebanyakan pelajarnya akan mengambil lebih 10 mata pelajaran, katanya.

"Ramai pelajar sekolah agama yang mengambil lebih 10 mata pelajaran kerana subjek teras dan subjek elektif (agama) yang mesti mereka ambil menghampiri jumlah 10, dan untuk membuka peluang mereka menerokai kerjaya lain selain dari bidang agama, mereka perlu mengambil subjek elektif lain seperti Fizik, Kimia dan sebagainya," katanya.

Sudah terbukti, pelajar-pelajar keluaran sekolah agama berjaya mendapatkan keputusan yang baik walaupun mengambil lebih 10 subjek, katanya.

"Saya bimbang pertimbangan ini hanya kerana masalah biasiswa dan lebih parah lagi jika ada muslihat politik sebaliknya.

"Kita lihat sahaja keputusan kerajaan menarik kembali bantuan perkapita SAR ketika kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, akhirnya hanya kerana alasan SAR sarang pembangkang, ini satu helah yang kita akan lihat selepas ini buktinya, ini persepsi yang tak dapat dihalang," ujar Mahfuz.

Justeru beliau mendesak kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut demi masa depan dan kecemerlangan pelajar.

Muhyiddin dalam satu kenyataanya hari ini berkata, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.

Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek./wann

Read more...

Thursday, May 28, 2009

Kritik adalah penentang, Setuju adalah penyokong?




"Pembangkang adalah salah dan jahat, tiada yang salah dan jahat melainkan pembangkang."
"Kerajaan adalah benar dan baik, kalau benar dan baik maka kerajaanlah ia."


Ayat-ayat di atas adalah sebahagian dari mentaliti yang terbentuk dan 'dibentuk' sekian lama ke dalam minda rakyat sehinggalah berlakunya era transformasi politik yang melanda negara kita mutakhir kini. Transformasi politik itu lebih digembar-gemburkan sebagai "Era Politik Baru" pasca 8 Mac 2008. Kini, bentuk pemikiran lama seperti yang disebutkan di atas sudah kian terhakis dan telah mengalami perubahan secara evolusi.

Kenapa situasi atau fenomena ini disebutkan sebagai politik baru? Walaupun bagi saya, istilah "politik baru" itu sebenarnya hanya layak disebut di dalam konteks kita di Malaysia sahaja. Hakikat sebenarnya ia sudah lama berlaku di negara-negara maju seperti di negara-negara Eropah. Di Britain sendiri sebagai contoh, bahkan di negara Amerika Syarikat yang dilabelkan sebagai negara paksi keganasan dunia yang menzalimi negara-negara dunia Islam pun telah lama berlaku keadaan politik baru yang lebih terbuka ini. Perbahasan-perbahasan,diskusi-diskusi secara berdepan dan terbuka dipraktikkan dengan hebat di negara-negara berkenaan dengan isu-isu yang menjurus kepada penggubalan polisi kerajaan, kepentingan rakyat dan negara serta hubungan luar diutamakan dan dijadikan topik hangat perbincangan mereka.

Sesuatu yang lebih menarik, amalan politik berteraskan sentimen kepartian hampir lenyap di sana. Meskipun mereka bertanding mewakili parti masing-masing,namun dalam sesuatu isu yang dibangkitkan, mereka tidak terikat dalam menyatakan sokongan dan persetujuan terhadap mana-mana pandangan dan pendapat. Bukanlah suatu kehairanan sekiranya hujah ketua pembangkang di parlimen Britain kadang-kala disokong sendiri oleh Perdana Menteri Britain. Mereka tidak diugut atau dipecat dari keahlian atau dari memegang apa-apa jawatan sekiranya bercanggah pandangan dengan kumpulan atau parti mereka sendiri. Sikap 'Yes Man' terhadap apa yang dibawa oleh pihak sendiri termasuk dalam perkara yang salah tidak berlaku.

Perkara yang harus kita kembali fikirkan. Persoalan berkenaan mentaliti lama sebahagian dari kalangan masyarakat kita yang masih menganggap bahawa Pembangkang adalah Jahat. Kritikan adalah satu kesalahan. Cuba kita buka kotak pemikiran kita, bagaimanakah boleh dikatakan pembangkang itu adalah jahat dan salah sedangkan pembangkang wujud di dalam sistem demokrasi dan diiktiraf sebagai salah satu komponen dalam sistem tersebut? Jika pembangkang adalah jahat dan salah, maka sepatutnya tempatnya tiada dalam sistem sesebuah negara apatah lagi dalam demokrasi sendiri. Hanya kerajaan bersifat dan bersikap diktator yang tidak mempunyai pembangkang. Pemerintahnya beranggapan bahawa dia berhak melakukan apa sahaja terhadap rakyatnya sendiri walaupun kadang-kala perkara yang dilakukan tidak disukai. Maka, berlakulah kadang-kala rakyatnya sendiri bertukar watak menjadi pembangkang bila mana pemerintah tersebut tidak berlaku adil dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.

Pecahnya mentaliti lama yang bersarang menganggap bahawa pengkritik adalah pembangkang. Sebenarnya betul dan tiada masalah sekiranya dilabelkan pengkritik itu adalah pembangkang. Pengkritik sememangnya adalah pembangkang. Cuma, bentuk pemikiran lama masih menganggap pembangkang adalah tidak betul dan negatif.

Ada pula yang mengklasifikasikan jenis kritikan. Kritikan dibahagikan kepada dua salah satunya sebagai kritikan yang konstruktif,dan satu lagi adalah kritikan yang negatif atau meruntuhkan. Pada saya, kritikan itu adalah konstruktif, malah tidak perlu ditambah perkataan konstruktif pun sebagai adjektifnya seperti yang sering disebut sebagai "kritikan konstruktif". Perkara yang menjatuhkan dan bersifat meruntuhkan bukanlah kritikan sebenarnya. Ia adalah kutukan,maki hamun yang tiada langsung pengajaran yang mampu diambil darinya.

Ulama Boleh Dikritik Dan Ditegur Namun, Jangan Dikutuk Dan Dimaki Hamun


Kritikan sebenarnya adalah makanan utama kepada para ulama' yang sepatutnya kita turut sama memilikinya. Bukanlah seseorang itu layak digelarkan sebagai ulama' andainya hanya kaya dengan ilmu tetapi tidak boleh dikritik dan ditegur. Kritikan dan teguran menunjukkan betapa golongan ulama' ini mengakui kekurangan diri yang mereka miliki meskipun dari suatu sudut mereka diiktiraf kehebatan terutamanya dari sudut keilmuan mereka,ulama' adalah sangatlah dikagumi. Kezuhudan terpancar melalui penerimaan mereka terhadap apa yang dikritikkan terhadap mereka dan diterima dengan penuh hati terbuka. Kadang-kala ulama' ini tidak pun segan silu memohon maaf atas keterlanjuran dan kesilapan yang telah berlaku. Inilah keperibadian ulama' yang perlu kita contohi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pernah menyebut, sekiranya PAS menguasai Kerajaan Kelantan dengan kesemua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri berjaya dikuasai, maka seharusnya dilantik beberapa orang Ahli Dewan Undangan negeri PAS untuk bertindak sebagai pembangkang. Ini kerana beliau menyedari hakikat betapa pembangkang itu sangat mempunyai peranan. Kritikan atau 'check and balance' sangat diperlukan terutamanya kepada pemerintah yang juga merupakan manusia biasa yang tak lekang dari salah dan silap. Bahkan, sekiranya kita melakukan kesilapan dan ditegur, maka itu lebih baik agar segera dapat dimuhasabahkan berbanding melakukan kesalahan namun tidak dikritik.



Lebih utama untuk saya sebutkan, bukan semata-mata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang bersifat begitu,bahkan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w lebih-lebih lagi menerima pandangan dan teguran sahabat-sahabat baginda secara baik. Tuan Guru Nik Abdul Aziz bolehlah saya sifatkan sebagai meneladani sahaja apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Itu yang lebih tepat. Saidina Umar Al-Khattab antara penegur setia baginda Rasulullah s.a.w. Dengan penuh beradab dan berhikmah beliau menegur Rasulullah s.a.w dalam beberapa peristiwa sehinggakan pernah suatu ketika Allah s.w.t menurunkan wahyu seolah-olah menyokong pandangan saidina Umar Al-Khattab yang diberikan kepada baginda seperti dalam peristiwa solat jenazah orang yang munafik dan sebagainya.

Persoalan adab juga penting dalam soal mengemukakan kritikan. Namun, adakah kritikan yang pembangkang kemukakan terhadap kerajaan di dalam parlimen atau sebaliknya dari kerajaan kepada pembangkang boleh diklasifikasikan sebagai saling tidak beradab di antara satu sama lain? Misalnya,Dato' Seri Anwar Ibrahim mengkritik keras Dato' Seri Najib Tun Abd Razak dalam isu menjaga nama baik negara contohnya. Apakah teguran secara terus terang dan terang terus sehingga kadang-kala mengaibkan seseorang dianggap sebagai beradab? Bersama kita fikir-fikirkan dan nantikan entri seterusnya...

Read more...

Wednesday, May 27, 2009

Kepimpinan dan Perubahan



Sememangnya berat untuk memikul tanggungjawab memikirkan perubahan,melaksanakan perubahan dan seterusnya menerima perubahan. Itulah perkara yang sangat dikhuatiri oleh mana-mana individu yang bergelar pimpinan Islam. Sehinggakan ramai dari golongan pimpinan yang zuhud ini apabila ditawarkan apa-apa jawatan kepada mereka, ada sebahagian dari mereka yang akan menolaknya.

Namun,atas dasar amanah dan tuntutan dari Allah yang diputuskan atas syura kaum muslimin. Maka, mahu atau tidak mahu, berat ataupun ringan itulah taklifan. Tanggungjawab untuk memimpin ummat adalah wajib. Ummat tetap memerlukan seorang pemimpin untuk menghalatujukan arah dan destinasi mereka. tanpa pemimpin, maka kucar-kacirlah keadaan dunia Islam. Inilah prinsip wehdah, kesatuan yang Islam tonjolkan. Ramai mana pun bilangan kamu,banyak mana pun percanggahan pemikiran dan pendapat di kalangan kamu. Kamu mesti berbalik kepada satu.

Begitu juga pemimpin. Tidak ada negara atau masyarakat yang memiliki 2 pemimpin dalam satu-satu masa. Tidak ada 2 perdana menteri dalam satu kerajaan. Melainkan di negeri Perak pernah wujud 2 Menteri Besar. Itulah salah satu kesan buruknya punyai dua nakhoda. Tidak ada 2 maharaja dalam satu dinasti.

Malah rasulullah sendiri menyatakan apabila wujudnya 2 khalifah berkuasa, maka hendaklah ‘dibunuh’ salah seorang dari mereka. Maksud dibunuh dihuraikan dengan panjang lebar adakah dibunuh dengan senjata seperti pedang atau dengan persengketaan peperangan. Atau maksudnya adalah digulingkan salah seorang dari mereka yang berkuasa itu. Walau apapun huraiannya ia membuktikan bahawa kepimpinan adalah satu. Kepimpinan juga adalah bentuk kesatuan, al-wehdah. akhir sekali kepimpinan yang satu itu mengahala kepada satu matkamat. Maka,matlamat yang satu itu tak lain adalah Allah sebagaimana di sebeut, Allahughoyatuna…Allah adalah matlamat kita semua..



Tanggungjawab yang sangat besar untuk memimpin ummat dan sedaya upaya membuat perubahan dalam masyarakat sememangnya berat dan memerlukan kesatuan pemikiran. Sebagaimana yang disebutkan tadi, membentuk al-wehdah. Pemimpin antaranya yang sangat perlu memainkan peranan dalam menyatukan setiap golongan masyarakat di bawahnya. Bahkan, perubahan yang ingin ditampilkan juga sangat memerlukan kesatuan pemikiran. Sememangnya sukar untuk membentuk kesatuan pemikiran kerana setiap orang mempunyai pemikiran dan cara fikir masing-masing. Maka, kebijaksanaan pimpinan dalam menyatupadukan ahli masyarakat di bawahnya adalah sangat diperlukan.

Walaubagaimanapun, asas dan platform membentuk kesatuan mestilah betul berada di atas kebenaran. Menyatupadukan manusia atas paksi kebatilan adalah salah dan mesti dipecahkan kesatuan tersebut. Merujuk kembali kepada sejarah, kaum kafir quraisy juga dahulunya bercakap berkenaan isu perpaduan nasionalisme, kaum Arab. Manakala, Nabi s.a.w pula bercakap dan bersuara atas dasar kesatuan Aqidah dan Tauhid. Maka, asas kebenaran iaitu mentauhidkan Allah mestilah dipilih.

Sedarkah atau tidak, kini perubahan susah untuk dilakukan kerana pemimpin tidak mampu memecahkan tembok pemikiran lama yang bersarang dalam minda masyarakat. Maka kesatuan pemikiran sukar berlaku dek keterikatan masyarakat dengan method pemikiran cara lama masih berlaku. Teringat saya akan kata ustaz Kamal Sha'ari. ”Dulu kita nak berkuliah susah..Sekarang kita nak berkuliah pula payah.” Mesti ramai yang tidak faham. Apa sebenarnya yang dimaksudkan beliau? Beliau mengatakan bahawa dahulu sebelum PR memenangi di Selangor ustaz-ustaz seperti beliau sangatlah sukar untuk menembusi surau-surau dan masjid-masjid di sekitar selangor kerana beliau dan ustaz-ustaz lain mudah dilabelkan sebagai pembangkang dan pastinya akan diburu oleh pihak-pihak tertentu apabila mereka ingin menyampaikan kuliah-kuliah. Namun, kini apabila PR sudah berjaya memerintah di Selangor dan beliau pun sudah kembali bebas berkuliah tanpa lagi perlu risau diburu, realitinya menjadi satu cabaran baru pula kepada diri beliau untuk memecahkan pemikiran masyarakat. Itulah yang beliau maksudkan dulu nak berkuliah susah,kini nak berkuliah pula payah.

Minda masyarakat yang selama ini ditanam dengan doktrin-doktrin yang mengatakan bahawa Islam itu tidak mampu dilaksanakan kerana masyarakat kita adalah majmuk,malah ada juga yang mengatakan Islam hanya sesuai di zaman Nabi sahaja dan banyak lagi doktrin-doktrin sesat telah menyebabkan masyarakat cenderung untuk beriman dengan kenyataan itu menambahkan kekusutan untuk ia dirungkaikan. Minda yang dicucuk dan disuntik ubat pelali lebih 50 tahun sehingga menampakkan bahawa susahnya Islam jika hendak dilaksanakan.

Lebih bahaya lagi apabila, berlaku pengalaman-pengalaman tertentu yang menambahkan lagi keyakinan mereka sedangkan ianya adalah perkara yang ditambah-tambah oleh pihak tertentu sehingga menampakkan susahnya Islam seperti isu akad nikah. Kadangkala, akad nikah pun sehingga 16 kali lafaz akad nikah tetap tak lepas-lepas seperti yang berlaku kepada seorang artis yang lebih dikenali sebagai, Mazlan Pet-Pet. Sedangkan ia perkara paling mudah jika berlandaskan syariat yang tidak ditokok tambah. Inilah yang mencacatkan Islam. Itu dilihat tidak kena,ini tidak kena. Si bakal suami terlambat beberapa saat untuk menyahut lafaz akad nikah juru nikah pun kadang kala menjadi hal sehingga perlu diulang semula akad nikah. Itulah realitinya kadang-kala berlaku dan boleh dijadikan contoh. Menurut ustaz Kamal Sha'ari lagi, sebenarnya akad nikah tanpa perlu berjabat tangan pun dikira sah. Sudahlah nak menikah pula mesti melalui banyak proses sehinggakan masyarakat merasakan sesuatu yang membuang masa dan wang mereka. Maka, Islam disusahkan oleh penganutnya sendiri,itulah masalah utama kini dalam membetulkan kembali perspektif ini ke dalam masyarakat.



Setelah 50 tahun didoktrinasi dan melalui suasana dan keadaan begitu,sememangnya agak sukar nak membetulkan semula pemikiran sempit dan mindset lama masyarakat. Ibaratnya kita berputar atau berpusing dalam keadaan setempat sebanyak 50kali kemudian kita berhenti berpusing dan cuba untuk berjalan lurus ke hadapan. Bayangkan, sudah tentu kita belum pasti akan dapat berjalan betul-betul lurus ke hadapan. Pastinya kita akan terhuyung-hayang ke sana ke mari. Apa yang ingin dinyatakan di sini adalah ancaman kepada perubahan itu sendiri adalah diri sendiri dan mentaliti kita. Mindset dalam kepala kita harus berubah. Apabila hendak melakukan perubahan, tentangan pasti akan datang dari golongan sebegini yang terlalu rigid dengan pemikiran lama. Menjadi kewajipan kepada golongan pemimpin untuk sedaya upaya memecahkan mentaliti lama ini demi memperlihatkan kecantikan Islam dan kemudian menyatukan semula masyarakat dalam suatu suasana baru berlandaskan kesyumulan Islam…

Islam menyatakan bahawa prinsipnya adalah thabat (tetap) dari sudut hukum-hukumnya adalah tetap. Namun, pelaksanaan,methodoly,pendekatannya adalah bersifat murunnah(fleksibel). Inilah prinsip Islam yang menjadi bukti bahawa Islam itu sebenarnya adalah mudah,tidak jumud. Malah, anjal dan berkembang mengikut keadaan semasa. malah, Islam sangat meraikan pandangan-pandangan yang membuka minda agar akal berfikir secara kritikal.

Ayuh. Majulah kehadapan bersama Islam. Lenyapkan dan runtuhkan kejahilan yang bersarang di dalam minda-minda kita. Pandulah perubahan dengan ilmu,insya-Allah akan berjaya dan lebih maju. Sesungguhnya di dunia ini, Perkara yang kekal adalah perubahan.

Read more...

Tuesday, May 26, 2009

Kesan Kenaikan Harga Tambang Pengangkutan Awam Pasti Membebankan

Pengumuman kenaikan tambang pengangkutan awam yang dibuat oleh kerajaan pada 24 Mei 2009 lalu dan dikatakan akan berkuatkuasa pada bulan hadapan sekali lagi bakal mengundang ketidakpuasan hati kebanyakan rakyat bukan sahaja di kalangan masyarakat umum bahkan di kalangan mahasiswa dan pelajar-pelajar sendiri. Kegusaran dan ketidakpuasan hati di peringkat umum sudah dijangkakan berlaku berikutan sebahagian besar masyarakat adalah terdiri dari kalangan golongan yang berpendapatan rendah dan miskin dan mereka juga rata-ratanya merupakan pengguna 'setia' pengangkutan awam.

Sebagai golongan penuntut di sekolah-sekolah mahupun di seluruh Institut Pengajian Tinggi, IPT baik awam atau swasta, kesan kenaikan tambang pengangkutan ini juga sudah tentunya turut sama dikongsi kesusahannya di kalangan mahasiswa dan pelajar-pelajar sekolah.

Bagi pelajar sekolah baik sekolah rendah ataupun menengah, kesan kenaikan tambang pengangkutan awam pastinya membebankan ibu bapa yang menjadi tempat bergantung penuh anak-anak mereka khususnya bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Alasan yang dikemukakan iaitu demi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam dilihat sangat tidak munasabah kerana ia sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut dan tidak sewajar dikenakan 'charge' kepada pengguna. Bagi pengguna, mereka hanya mahukan perkhidmatan pengangkutan awam untuk membawa mereka ke sesuatu destinasi sahaja. Ia sepatutnya ditanggung sama ada oleh syarikat pengangkutan itu sendiri atau dibantu oleh kerajaan bukannya dibebankan semula kepada rakyat.

Masyarakat pastinya mempertikaikan semula beberapa saranan kerajaan sebelum ini yang berkempen supaya menggunakan pengangkutan awam khususnya bagi menjimatkan kos dan mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya dalam situasi cengkaman ekonomi kini dengan kenaikan kos bahan bakar yang turut diumumkan kerajaan baru-baru ini sehinggakan ada ura-ura mengatakan kerajaan mahukan menukar jenis minyak dari Ron 97 kepada Ron 95. Saranan kerajaan amat baik dalam hal tersebut namun, tindakan menaikkan tambang ibaratnya hanya saranan dan cakap kosong. Apakah bezanya lagi menaiki kenderaan awam dengan berkenderaan sendiri? Malah, masyarakat lebih selesa berkenderaan sendiri sekiranya hal ini tidak dikaji semula.

Terhadap golongan mahasiswa, kerajaan seharusnya menilai impak dan kesan yang dihadapi mereka kelak dengan pengumuman berkenaan. Bukanlah kesemua mahasiswa ini mendapat tajaan biasiswa bahkan ramai di kalangan mahasiswa adalah peminjam setia PTPTN dan berbagai lagi pinjaman.

Kesannya kelak, kemungkinan ramai di kalangan mahasiswa yang akan mengambil keputusan untuk bekerja sampingan sewaktu menuntut. Bukan tidak boleh bekerja, namun perlu difikirkan juga kesannya terhadap akademik mereka. Sudahlah bebanan akademik perlu ditanggung, ditambah pula dengan kerja-kerja yang dilakukan demi menampung sara hidup. Jika sebelum ini, AUKU disokong dengan katanya mahasiswa sepatutnya hanya perlu menumpukan kepada akademik mereka semata-mata dan bukannya berpolitik, bagaimana pula dengan keadaan yang bakal berlaku kelak jika sekiranya situasi mahasiswa bekerja ini terjadi. Adakah mahasiswa akan dapat menumpukan perhatiannya kepada akademik sepenuh masa?

Selain itu, bagi penuntut-penuntut yang tinggal berjauhan dari keluarga mereka, kesannya yang bakal dilihat ialah dari sudut kesukaran untuk mereka pulang bercuti bersama keluarga sama ada pada penghujung semester atau pada hari-hari cuti umum dan perayaan. Perkara yang perlu kita sedari, mahasiswa sepatutnya dibentuk hati mereka agar sentiasa berada dekat dengan keluarga bagi menimbulkan rasa kecintaan dan kasih sayang terhadap keluarga mereka serta menimbulkan motivasi diri yang tinggi. Dengan sekali sekala pulang ke rumah menjenguk keadaan keluarga pastinya menimbulkan rasa sayu dan mampu membakar semangat serta meningkatkan motivasi dalam diri mereka untuk terus maju ke depan. Ianya sangat berbeza dengan kehidupan bersama rakan-rakan di kampus yang jauh dari keluarga dan keseronokan bergaul bersama rakan-rakan kadang kala melupakan sejenak keadaan keluarga di kampung halaman.

Sekiranya kesukaran untuk pulang ke rumah bagi penuntut-penuntut yang tinggal berjauhan dari keluarga ini adalah disebabkan kenaikan kos pengangkutan awam yang meningkat, pastinya ia turut memberikan impak yang negatif dalam pembentukan jati diri mahasiswa yang seharusnya dibentuk agar mereka berada dekat dengan keluarga.

Lebih dikhuatiri, saat mahasiswa lain bercuti dan beraktiviti bersama keluarga masing-masing, mereka yang tidak dapat pulang ke rumah untuk bersama keluarga ini akan melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat pula ketika waktu cuti. Tidak dinafikan ada mahasiswa yang terlibat dengan gejala yang meruntuhkan akhlak kemahasiswaan seperti bersekedudukan dengan teman-teman mereka di kala orang lain tiada di kampus, terlibat dengan gejala samseng jalanan, menjadi kaki disco dan lain-lain lagi.

Tidak mustahil perkara sebegini boleh berlaku kerana sewaktu tempoh cuti semester, kolej-kolej kediaman juga pastinya perlu dikosongkan. Apabila kolej kediaman dikosongkan, di manakah mahasiswa yang tidak pulang ke rumah ini akan tinggal? Satu persoalan besar yang seharusnya dinilai seandainya ia turut memberikan kesan hasil dari kenaikkan tambang pengangkutan awam.

Himpitan demi himpitan dalam kehidupan seperti kenaikan harga barang,kenaikan harga bahan bakar,pinjaman kewangan yang membebankan ditambah lagi dengan kenaikan kos pengangkutan pastinya memberikan kesan yang besar terhadap peningkatan kadar jenayah dalam negara. Keterdesakan masyarakat untuk memperoleh kemudahan asas masih lagi menghantui mereka dan tidak mustahil bakal lahir golongan yang bersikap sanggup melakukan apa sahaja demi menyara hidup yang susah. Bukanlah soal mereka malas berusaha ataupun tidak, kerana faktor rezeki ditentukan Allah ini kadang-kala tidak menentu. Sedangkan graduan universiti pun masih ramai lagi yang belum mendapat kerja
sedangkan mereka adalah bekas penuntut di menara gading, bagaimanakah pula dengan golongan yang tidak berjaya menempatkan diri di universiti? Pastinya mengungkap seribu satu persoalan dalam dada masyarakat tentang kehidupan mereka kelak. Seterusnya memberikan impak kepada pembentukan modal insan juga.

Banyak yang boleh diulas sebenarnya berkaitan isu kenaikan harga apa juga keperluan asas dan perkhidmatan kepada masyarakat. Akhirnya,ia akan berbalik kepada persoalan responsibility pihak atasan dalam menangani kemelut yang berlaku.

Read more...

Amanat Syeikh Abdullah Azzam





Read more...

Monday, May 25, 2009

Nursyahadah - Far East (new Melody)





Read more...

Sunday, May 24, 2009

Tribute To 'Anak Muda'



Thanks To Ust. Syaari



Read more...

Thursday, May 21, 2009

Mahasiswa Perlu Bersama GAMIS Perjuangkan Tranformasi Sistem Pendidikan Berteraskan Islam Dalam Negara



Assalamu'alikum w.b.t.

Salam Reformasi dan Transformasi Dunia Pendidikan...

Umum telah maklum bahawa sistem pendidikan yang diwarisi di negara ini sejak dari zaman penjajahan sehingga kini sangat memerlukan kepada satu pengkajian semula yang sangat mendalam dan paling utama ia mestilah meletakkan kembali sistem pendidikan Islam kena pada kedudukan sewajarnya. Pelbagai permasalahan timbul saban waktu berikutan sistem pendidikan Islam ini telah lama di'kelas kedua'kan serta dinafikan haknya.

Sememangnya benar dan diakui kewujudan pendidikan Islam ini di dalam sistem yang sedia ada kontemporari, namun ianya tidak diberikan hak yang selayaknya sebagaimana ia sepatutnya ditempatkan. Sistem pendidikan yang ada kini tidak lebih hanya sekadar meletakkan Islam sebagai syarat dan langsung tidak mampu menimbulkan penghayatan kepada pelajar-pelajar khususnya pelajar muslim. Implikasinya kita dapat melihat sendiri betapa keruntuhan masyarakat yang berlaku dalam negara kini serta jauh terpesongnya masyarakat dari melihat agama sebagai tunjang kepada segala ilmu.



Selain itu, sekularisme dalam sistem pendidikan kini juga turut menghasilkan pembahagian kelompok manusia mengikut kelas-kelas tertentu dan amat malang lagi apabila kelompok yang bergelar professional dipisahkan terus dari aliran ilmu yang membentuk diri mereka supaya mengenal pencipta. lalu terbentuklah golongan seperti jurutera,doktor,peguam dan sebagainya yang hebat dari sudut kepakaran mereka namun jahil dengan agama sendiri. Malah, lebih merisaukan lagi apabila wujud pula golongan professional ini yang menentang Islam itu sendiri. Maka, persoalan adakah modal insan yang terbentuk kelak melalui sistem pendidikan sedia ada akan mampu melahirkan modal insan seperti yang diidamkan? Apa yang mampu diramalkan, modal insan yang lahir dari sistem yang tidak berteraskan Islam pastinya akan mempunyai kelompangan dari sudut prinsip-prinsip asas tertentu sebagai contohnya keolpangan dari sudut 'accountabilty' dan integriti seperti yang selalu disebut-sebutkan.

Al-Quran sendiri sebenarnya telah menggariskan apakah itu modal insan berkualiti sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud:

"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu sangat berada dalam keadaan yang MERUGIKAN. Melainkan mereka itu adalah dari kalangan orang BERIMAN dan melakukan AMALAN SOLEH (pekerjaan yang baik lagi bermanfaat), dan mereka itu berpesan dengan kalimah KEBENARAN dan berpesan dengan KESABARAN."

Di dalam surah yang sangat lazim dengan kita sebagai muslim, Allah telah memulakan dengan sumpahan-Nya ke atas masa. Kenapakah masa dijadikan subjek untuk Allah bersumpah dengannya? Wallahu'alam, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Namun, sedar atau tidak akan pengajarannya, Masa adalah kayu ukur sama ada berterusan dalam kerugian ataupun keuntungan. Berapa lama sudah kita berada dalam kerugian atau dalam keuntungan hendaklah dinilai melalui kayu ukur masa. Untung rugi bukanlah kekayaan negara yang mampu dicipta dan sebagainya. tetapi masa adalah kayu ukurnya. Lebih tepat lagi, setelah lebih 50 tahun negara kita merakamkan detik kemerdekaan, adakah kita kini berada dalam satu tempoh yang boleh diklasifikasikan sebagai tempoh kejayaan yang menguntungkan dengan modal insan yang telah kita bentuk menerusi sistem pendidikan sedia ada ataupun sekadar kerugian yang dijana melaluinya.

Di dalam ayat itu secara jelas Allah menyatakan bahawa manusia sangatlah berada di dalam kerugian melainkan terpasak di dalam jiwa mereka keimanan yang teguh serta melahirkan pula golongan yang melakukan pekerjaan yang baik dan bermanfaat(amalan soleh). Persoalannya kini, bagaimanakah ingin dipasakkan keimanan di dalam jiwa jika sistem didikan yang dibentuk membuang dan meng'anaktiri'kan Islam dari diterapkan dalam jiwa para pelajar khususnya yang beragama Islam?Islam yang dibancuhkan dalam sisitem kini bukan untuk melahirkan penhayatan dan keimanan tapi sekadar ilmu pengetahuan.

Lahirnya modal insan yang merugikan negara kini adalah hasil dari Islam tidak diletakkan kembali sebagai asas didikannya. Maka, terbentuklah golongan yang digelar sebagai professional, berjawatan besar dan sebagainya namun, sangat rendah dari sudut nilai akhlak mereka seperti integriti,amanah,kejujuran dan ketelusan. Justeru,tidak hairanlah kenapa wujudnya apa yang digelar penjenayah kolar biru,kakitangan dan penjawat awam yang perasuah dan lain-lain lagi. Belum pun kita melihat dari aspek melaksanakan tuntutan amalan soleh atau pekerjaan yang baik, di mana kini ramainya golongan yang terbentuk dari sistem sedia ada ini menjadi hampas dan sampah dalam masyarakat. Sebut sahaja golongan pelacur khususnya pelacur Melayu Islam, mat rempit yang ramainya anak-anak melayu beragama Islam dan sebagainya, adakah contoh-contoh itu merupakan pekerjaan yang memberikan manfaat dan dikategorikan sebagai amalan soleh?Sudah tentu tidak.

Merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS),Saudara Mohd Hilman Nordin yang mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap pemegang portfolio Kementerian Pelajaran Malaysia supaya turut mengkaji sistem pendidikan Islam di negara ini, saya sangat bersetuju dan meyokong tindakan tersebut. Malah, saya turut sama menyeru agar seluruh mahasiswa khususnya mahasiswa di UTHM agar bersama dengan GAMIS dalam memperjuangkan isu tranformasi sistem pendidikan negara ini dengan meletakkan sistem pendidikan berteraskan Islam kembali di landasannya yang sebenar.

Pendekatan yang digunakan GAMIS dalam mengketengahkan isu ini agar sampai ke pengetahuan Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu melalui Kongres Bertindak Penrejuvenasian Pendidikan Islam Negara yang akan dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2009, di Dewan Masjid Putrajaya juga dilihat sebagai satu pendekatan yang sangat baik dan sangat menjaga etika profesionalisme dan adab keinteletualan kepimpinan mahasiswa.

Tahniah kepada GAMIS dan ayuhlah mahasiswa sekalian, bersama kita menyokongnya.

Read more...

Wednesday, May 20, 2009

Ulama' Atau Professional ; Serangan Sekularisme Ke Dalam PAS?



Menjelang pemilihan PAS akan datang,antara isu yang hangat dibahaskan adalah berkaitan siapakah calon paling sesuai mengisi post-post penting Parti Islam tersebut. Munculnya isu adakah ulama' atau golongan professional yang paling sesuai dan layak untuk terajui kepimpinan utama parti Islam itu.

Bagi sesetengah pihak,ia ibarat perkara biasa apabila menjelang pemilihan PAS dan sememangnya di dalam PAS wujud dua golongan terbabit iaitu golongan ulama' dan golongan professional. Apakah takrifan ulama' yang kita fahami dan apakah pula takrifan professional yang kita imani cuba dirungkai satu per satu. Ada sesetengah berpendirian menyokong kepimpinan ulama' dengan bersandarkan beberapa nas-nas dan hujah-hujah tertentu,bahkan ramai juga yang mahu mengetengahkan golongan professional bagi menerajui kepimpinan tertinggi Parti Islam itu atas faktor hebatnya pengurusan dan idea bernas mereka. Maka,sekali lagi ahli dan penyokong PAS dihidangkan perdebatan yang cukup menarik untuk diikuti. Walaupun pada saat artikel ini ditulis, Presiden PAS iaitu Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah memenangi kerusi Presiden PAS untuk kali yang ke seterusnya,namun artikel ini ditulis tidak langsung bermaksud untuk mempertikaikan keputusan atau situasi yang berlaku. Malah, saya turut bergembira dan bersyukur atas kemenangan Tuan Guru memegang taklifan tersebut dan saya mengucapkan Tahniah buat beliau. Beliau sememangnya calon yang layak dan sesuai sebagai Presiden PAS memenuhi kelayakan sebagai seorang ulama' dan professional.



Melihat kembali kepada situasi yang dihangatkan tadi iaitu berkenaan kepimpinan Ulama' atau Professional. Seharusnya kita melihat dari skop dan kerangka yang lebih luas dan bukan dikecilkan hanya menjurus kepada persoalan dua sample perdebatan ini sahaja. Persoalan yang lebih besar ialah persoalan berkaitan pembinaan atau pembentukan kepimpinan di dalam PAS itu sendiri yang selalu kita sebut sebagai Tarbiyyah.

Pada pandangan saya secara peribadi, apabila isu ini diperdebatkan dengan sekencangnya, ia ibarat mempersoalkan dan mendedahkan kelemahan sistem tarbiyyah di dalam PAS itu sendiri yang sememangnya memerlukan penambahbaikan. PAS dilihat terikut-ikut dengan jejak langkah dan perangkap sekularisme yang ditentangnya sendiri.

Sebagaimana yang kita fahami, sekularisme khususnya di dalam bidang pendidikan telah mewujudkan blok-blok tertentu dengan melabelkan kelas-kelas manusia. Golongan yang mempelajari khusus dalam bidang agama akan dilahirkan menjadi ulama' di dalam masyarakat. Manakala yang mempelajari bidang lain selain dari bidang agama seperti jurutera,kedoktoran,guru dan sebagainya akan dihasilkan sebagai golongan yang disebut sebagai professional.



Inilah bahana dan kesan sistem sekularisme yang tidak berteraskan aqidah tauhid dan ia kini menyerang ke dalam gerakan Islam di negara kita. Ingin saya membuka pemikiran kita semua dengan melihat kepada satu suasana dalam gerakan Islam utama di luar negara. Sekali imbas ke dalam gerakan Islam terulung yang menjadi model kebanyakan gerakan Islam seluruh dunia iaitulah gerakan Ikhwanul Muslimin, kita pasti akan kehairanan melihat tampuk kepimpinan tertinggi mereka. Lihat sahaja kepada mursyidul 'am gerakan Islam itu iaitulah al-ustadh Muhammad Mahdi 'Akif. Tahukah kita apakah profesion beliau? Adakah beliau seorang ulama' seperti yang kita imani iaitu seorang yang mempelajari khusus dalam bidang agama? Beliau sebenarnya merupakan seorang yang ber'tittle' professional. Begitu juga dengan al-ustadh Fathi Yakan yang merupakan tokoh gerakan Islam di Turki. Beliau adalah dari golongan yang bergelar professional. lebih jelas lagi dengan melihat kepada as-syaheed Dr. Abdul Aziz Al-Rantissi yang pernah menerajui kepimpinan tinggi Gerakan Islam HAMAS sebelum dibunuh kejam oleh zionis Israel. Beliau yang paling jelas apabila namanya disebut dengan gelaran 'Dr.' bersekali dengan namanya. Mereka inilah antara model kepimpinan yang seharusnya dicontohi dan dibentuk oleh PAS tanpa perlu timbul lagi isu sama ada mereka ini dari golongan professional atau pun ulama'

Mengapakah saya mengatakan bahawa sekularisme menyerang PAS? Tidak lain kerana sistem tarbiyah PAS masih lagi gagal memecahkan blok-blok fahaman ini sehingga dalam isu melibatkan pemilihan kepimpinan masih lagi persoalan sebegini ditimbulkan. Sepatutnya tidak timbul lagi isu ulama' vs professioanal jika sistem tarbiyyah PAS berjaya menanganinya. Apa yang seharusnya berjaya dilahirkan di dalam PAS ialah golongan ulama' yang mempunyai daya professionalisme yang tinggi dan golongan professional pula adalah golongan professional yang mempunyai sifat keulama'an yang mantap. Ya, memang benar ia hanya mainan media,namun pastinya ada sesuatu yang membuatkan media bahkan masyarakat umum nampak sesuatu yang tidak kena khususnya berkaitan soal siapakah yang layak menjadi peneraju kepimpinan.

Bukanlah niat di hati mempertikaikan bahkan saya bukanlah orang yang layak membincangkan soal pentarbiyyahan PAS, namun hasrat di hati ini sangat ingin melihat suatu generasi yang memenuhi sifat sebagai ulama' dalam masa yang sama mempunyai kewibawaan dari sudut professionalismenya. Pembentukan dan pembinaan kelompok qiyadah dalam PAS sememangnya perlu ditumpukan bagi memperbetulkan keadaan yang berlaku kini.

Tidak ada lain harapan untuk melihat gerakan Islam ini terus memacu ummah dengan para Qiyadi yang menerajuinya adalah golongan yang disebutkan sebagai Ulama' Professional atau Professional Ulama'. Professional dari sudut pengurusannya yang bijaksana lagi mantap. Tetapi dalam masa yang sama,penguasaan ilmu agama,garapan ilmu pengetahuan,kewara'kan serta taqorrub dirinya dengan Allah bagaikan seorang ulama' terbilang.

Wallahu'alam

Read more...

Friday, May 15, 2009

Seminar Kepimpinan Islam di MMU















Read more...

Imbauan Demonstrasi Mahasiswa UTHM Membantah Kezaliman Israel Zionis














Read more...