Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Sunday, June 28, 2009

Revolusi Mahasiswa & Politik Baru Malaysia (Kertas Kerja YDP MPMUM)


REVOLUSI MAHASISWA & POLITIK BARU MALAYSIA

sumber dari : Mohd Ridzuan Mohammmad

KERTAS KERJA INI DIBENTANGKAN SEMASA KONVENSYEN KEBANGSAAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) 2009 DI UNIVERSITI TUN HUSSAIN ONN MALAYSIA (UTHM) PADA 15-20hb MEI 2009

ABSTRACT
This paper was carried out to expound around issues on leadership’s revolution and New-Politics of Malaysia according student’s perspective. The studied focus on the leadership and its contribution that has been done by the students of University of Malaya from many aspects such to maintain the beauty of democracy-liberal-relative until Malaysian Neo-Politic in Malaysia nowadays. Through out this paper, we will explore how effective the University Malaya student’s revolusioner in encouraging the new Malaysian political culture. [mahasiswa, politik baru, revolusi, new politic]


Pendahuluan

Dalam siri-siri wacana kemahasiswaan Malaysia, istilah “revolusi” hampir tidak ditemukan. Berbeza oleh “evolusi” yang merujuk kepada proses pembentukan atau perubahan secara beransur-ansur. Revolusi pula menghasilkan perubahan secara cepat dan mendadak. Revolusi yang sebenar berpunca oleh perubahan asas pemikiran dan sistem yang mendasari sesuatu. Revolusi terjadi ekoran perencanaan dan dan tindakan segelintir individu/kepemimpinan ke arah perubahan tersebut.

Begitu juga dengan ‘politik baru’. Terminologi politik baru jua sudah lama dibincangkan secara sedar atau sebaliknya oleh kaum pemikir sebelum ini. ‘Politik Baru’ terhasil ekoran wujudnya permusuhan antara amalan berpolitik generasi baru yang mungkin mahasiswa sendiri dan kepemimpinan atau amalan politik yang sedia ada – sehingga disebut-sebut sebagai ‘politik baru’.

Oleh kerana Malaysia sendiri secara tabi’enya mengalami pelbagai perubahan – dari era kesultanan Melayu-Islam pada kolonialisme; kemudiannya era kemerdekaan sehinggalah era demokrasi liberal retatif sekarang ini; maka sudah tentu paradigma dan budaya kepolitikan masyarakat di dalamnya juga berubah-ubah.

Kepemimpinan mahasiswa Malaysia juga begitu; tidak terlepas dari menempuhi perubahan-perubahan tersebut yang akhirnya dirumuskan sebagai ‘politik baru’ dalam satu-satu periodisasi massa.Dalam kertas kerja ini, Penulis akan mengupas persoalan kepemimpinan mahasiswa sehinggalah budaya ‘politik baru’ sedang wujud belakangan ini.

REVOLUSI KEPEMIMPINAN DAN BENTUK-BENTUK ‘POLITIK BARU’

Sejak era kolonialisme sehingga era demokrasi berparlimen, sama ada suka atau tidak, telah banyak mengubah warna pemikiran dan rentak sikap kepemimpinan mahasiswa Malaysia sendiri. Boleh jadi bukan sahaja mahasiswa tidak wujud, malah mungkin tidak berperanan sejak awal era kemerdekaan negara, sekiranya tidak ada institusi pengajian tinggi tempatan sendiri.
Kalau boleh dikongsi tentang sejarah kepemimpinan mahasiswa di Malaysia sendiri, Universiti Malaya di Singapura (kini dikenali Universiti Kebangsaan Singapura) adalah antara pentas awal yang menyaksikan aksi revolusi kepemimpinan dan banyak mewarnai lanskap politik Malaysia akhirnya.

Era 1950an sehingga pertengahan era 1960an menyaksikan kepemimpinan mahasiswa banyak dipengaruhi oleh idea anti-kolonialisme. Kelab Sosialis Universiti Malaya (KSUM) merupakan antara kelompok pendesak (pressure group) yang lantang berdepan dengan pemerintah.
Bukan tidak ada pertubuhan lain di Universiti. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah ada.

Namun, yang menarik – kelantangan KSUM tersebut tidak disemak imbang oleh pertubuhan-pertubuhan lain secara serius dan konsistan. Akhirnya, KSUM dilihat dominan pada jendela ukur politik pemerintah walaupun sebenarnya KSUM hanya dianggotai oleh sebilangan kecil sahaja mahasiswa.

Dari segi lain, kelompok itu turut dilihat berpegang kuat dengan idea faham sosialisme sebagaimana beberapa parti politik pada waktu itu. Akhirnya, kelompok itu turut dilabelkan anti-establishment atau dalam ungkapan semasa kini – agen/pro pembangkang.
Hakikat itu turut diakui sendiri beberapa ahli sarjana falsafah di Universiti Malaya sendiri. Menurut Prof. Emeritius Dr. Khoo Kay Kim (2005), perkembangan idea sosialis dalam kalangan mahasiswa pada ketika itu bertitik-tolak pada penentangan kuasa-kuasa kolonial di peringkat Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Malayan Democratic Union (MDU) (1945) , Pan-Malayan Labour Party (1952) dan Malaya Indian Congres (MIC) (1946) dilihat antara beberapa parti politik awal yang menggerakkan idea tersebut.

Selepas era tersebut, revolusi mahasiswa lebih terarus oleh nasionalisme Melayu dan kemudiannya nasionalisme Melayu-Islam.
PBMUM dilihat sebagai pemain utama pergerakan ketika itu kerana majoriti penuntut Universiti lebih cenderung pada pertubuhan itu.

Menurut Prof. Dr. Mohammad Abu Bakar, fenomena itu berlaku ekoran kebanjiran masuk etnik Melayu-Islam bermula pada tahun 1962; di mana mereka ini telahpun melihat sendiri kemunduran ummat ketika menjadi pendidik di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Dari tahun 1965 sehinggalah tahun 1974, demontrasi Papan Tanda sehinggalah beberapa konvensyen kebudayaan nasional, bahasa Melayu dan kemiskinan rakyat merupakan antara respon mahasiswa terhadap sikap-sikap pemerintah.

Aksi-aksi ini jugalah menjadi pemangkin (catalyst) pada wujudnya Akta Bahasa Kebangsaan (1963, pindaan 1967/71); Dasar Kebudayaan Nasional (1967) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannya di peringkat nasional.

Sesuatu yang menarik, walaupun revolusi mahasiswa terarus oleh idea faham nasionalisme Melayu, namun mereka tetap tidak bersekongkol dengan kaum pemerintah yang secara asasnya menganut kepercayaan yang sama.

Banyak penulis menggambarkan bahawa revolusi gerakan mahasiswa Islam yang berlaku di Universiti Kabul, Afghanistan bermula pada tahun 1972 dan kemudiannya revolusi Islam di Iran
pada 1979 banyak mewarnai pergerakan mahasiswa di Malaysia.

Di kebanyakan kampus utama turut mengalami fenomena yang sama – iaitu lahirnya ‘Islamic Group’. Di Universiti Malaya sendiri, antara Sdr. Siddiq Fadhil melalui PMIUM merupakan antara pemain utama yang sedaya upaya membawa mahasiswa Islam keluar dari idea faham nasionalis-Islamic kepada idea faham Islam yang hakiki.

Tanpa menafikan kewujudkan kepemimpinan mahasiswa nasionalis-Melayu dan sebagainya, menjaukau sedekad juga didapati idea faham Islam berkembang subur dan bernadi dalam gerakan mahasiswa di Malaysia.

Isu hak asasi, politik kepartaian, perundangan, autonomi serta kebejatan nilai mewarnai pergerakan mahasiswa. Pelbagai aksi revolusi boleh dilihat dalam pergerakan mahasiswa secara sedar atau tidak.

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (kini Se-Malaysia / GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GPMS) merupakan antara pemain penting yang mewarnai gerakan pada waktu itu.
Masing-masing lebih mementingkan soal keluhuran semula nilai keadilan dalam negara. Masing-masing lebih mementingkan peranan generasi mahasiswa dan anak muda secara amnya untuk merobah nilai pemerintahan yang dilihat tidak selari dengan naluri mereka.

Akhirnya, didapati seolah-olah wujudnya asimilasi idea faham antara pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang plural itu. Soal keagamaan, status quo Melayu nasional, etniksiti bukan lagi menjadi halangan utama untuk masing-masing perperanan secara kolektif dan sepadu.

KAREKTORISTIK MAHASISWA DAN WAJAH POLITIK BARU MALAYSIA

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kepemimpinan mahasiswa serta aksi revolusi masing-masing sekarang ini banyak dipengaruhi oleh suatu kepercayaan baru; yang kalau boleh disebut-sebut sebagai demokrasi liberal relatif.

Kepercayaan baru ini boleh dilihat sendiri secara langsung dalam kepemimpinan mahasiswa dan boleh juga dilihat secara simplistik dalam wajah pemikiran rakyat muda Malaysia. Apa sebenarnya kepercayaan demokrasi liberal relatif yang dituntaskan sebagai wajah politik baru Malaysia?

Berdasarkan pada observarsi rawak Penulis, antara karektoristik pemimpin-pemimpin mahasiswa nasional dan dogma rakyat muda yang sedang wujud secara revolusi dan tabi’e belakangan ini adalah:-

1. menganut idea faham politic of hope hatta dengan tersendirinya memusuhi politic of fear ciptaan pemerintah. Contoh, penyalahgunaan AUKU, ISA dll; ugutan, fitnah dan penindasan.

2. Kepemimpinan yang mempunyai kebolehan mengakses dan mengupaya dunia maklumat secara bebas, cepat dan sahih. Contoh, budaya blog, website, portal, flyers, akhbar dll.

3. Kepemimpinan yang mengamalkan politik budiman, jauhari, integriti; hatta menolak politik lama amalan pemerintah – perkauman sempit, Governence always know-all, politik wang (rasuah) dll.

4. Kepemimpinan yang tidak mahu diikat dengan mana-mana fraksi kekuasaan, parti-parti politik (sama ada pemerintah atau oposisis), namun mahu menyertai politik nasional dalam rupa perayaan demokrasi dan hak asasi semata-mata.

5. Kepemimpinan yang menganggap menjadi mahasiswa di Universiti sebagai profesyen profesional, popular dan eksklusif; hatta menganggap pihak-pihak yang mengamalkan ‘politik kekuasaan’ (politic of power) sebagai musuh atau pesaing mereka.

Bertitik-tolak pada beberapa karektoristik di atas inilah, maka kaum pemerintah harus mencermati akar-akar revolusi yang sedang digemblingkan dalam kepemimpinan dan fikrah mahsiswa; bukan asyik dalam konseptual ‘lama’ – mahasiswa adalah agen pembangkang.

Aksi-aksi mahasiswa adalah natijah semata-mata. Kelahiran Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang mengambil keputusan nekad umpamanya – mencabar bekas Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi di Parlimen Kepala Batas dalam pilihanraya umum ke-12 lepas – malah mengkritik sikap-sikap ‘politik lama’ yang wujud dan segar dalam parti-parti oposisi (PAS, PKR dan DAP sendiri); seharusnya menuntut kaum pemerintah mengenal pasti apakah akar-akar permasalah serta revolusi mental yang harus dipacu bersama.

Kesimpulannya

Penulis secara peribadi yakin, kepercayaan demokrasi liberal relatif adalah sesuatu yang perlu dan benar menurut al-Quran sendiri. Sesungguhnya kepercayaan ini telah lama disinggungkan Allah di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Tanpa menafikan peranan dan kebaikan yang dilakukan oleh pemerintah dan pemimpin-pemimpin parti politik, Penulis menyeru semua pihak untuk menggalakkan al-Isti’mar atau kemakmuran (11:61), al-Istiklaf atau urus tadbir baik (24:55).

Renungkanlah kata-kata Bapak Mohamad Natsir, seorang tokoh cendikiawan Islam Nusantara yang hidup sezaman dengan Sukarno dan Hamka;

“ Bisa ada percetakan yang mampu mencetak mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah dan tutorial, tetapi tumbuh dari hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan-rakan seangkatan, lalu diangkat dan dijulang oleh ummat”

Wallahu ‘alam.

Read more...

Saturday, June 27, 2009

Terkenangkan Karya-Karyanya...Muhasabah diri dan Respon...


"Satu lagi gejala yang memburukkan shaksiyah Islamiah hari ini ialah menerima realiti dan tunduk kepadanya. Ini menjadikan natijah dan hasil semata-mata bergantung kepada apa yang ada, bukan apa yang sepatutnya (sewajibnya) berlaku. Oleh sebab itu pemuda Islam wajib ditarbiyyahkan dan dididik supaya bercita-cita tinggi atas kebenaran dan merasa mulia dari kebatilan. Mereka juga harus dididik supaya tidak menggadaikan haq kerana waqi' untuk membolehkan mereka melaksanakan Perubahan Islam yang dicita-citakan"(m.s 35, AsSyabab wa AtTaghyir(Generasi Muda & Perubahan)

Saya amat terkesan apabila mengkaji dan melihat semula penulisan-penulisan almarhum Syeikh Fathi Yakan. Entah bagaimana, tiba-tiba timbul di hati saya satu semangat untuk menelaah dan melihat kembali karya dan kata-kata tokoh ini setelah pemergian beliau baru-baru ini. Seingat saya, saya hanya sempat membaca beberapa buah sahaja karya dan cetusan pemikiran beliau. Antara yang sangat popular adalah "Apa Ertinya Saya Menganut Islam."

Terus terang lagi jujur saya katakan, saya amat banyak memiliki buku-buku hasil penulisan tokoh-tokoh besar gerakan Islam termasuklah buku-buku penulisan almarhum namun, apa yag sering berlaku adalah semangat yang berkobar-kobar ketika saat pertama mula-mula membelek karya-karya tersebut di kedai buku amat jarang ianya dapat diteruskan dalam pembacaan saya. Sering berlaku gejala "futur" ditengah jalan. Inilah salah satu sikap lama saya dahulu dan kini saya sangat berazam untuk melakukan perubahan dalam diri.

Bukanlah saya berniat untuk menceritakan apa-apa berkaitan beliau pada ketika ini namun, azam saya adalah untuk meneruskan sebanyak mana pun pembacaan saya terutamanya karya-karya beliau yang mesih belum sempat saya habiskan.

Keintelektualan dan keilmuan

Keintelektualan dan Keilmuan,itulah yang sangat-sangat diperlukan oleh anak muda seperti saya. Perlu memperbanyakkan pembacaan bagi menambahkan ilmu, mempraktikkannya agar sebati dengan jiwa lalu berkongsi mudah-mudahan menjadi manfaat buat masyarakat di sekeliling. Teringat sewaktu menjalani 'Taining of Trainer' (TOT) sebagai pembantu Minggu Haluan Siswa pagi tadi. Walaupun banyak juga perkara yang saya sangat tidak berpuas hati dengan cara pengisiannya yang pada saya sangat stereotaip dan sangat tidak membentuk jiwa kemahasiswaan yang berani dan suka mencabar namun, ada juga beberapa manfaat yang dapat saya refresh semula dalam diri. Salah satunya iaitulah berkaitan mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri.

Saya amat tidak kisah apa sahaja orang akan katakan kepada saya. Sebab, salah satu kekuatan saya adalah boleh menerima apa sahaja kritikan kawan dan lawan. Meskipun kadang-kala beremosi juga saya ni sebenarnya. Antara teguran yang selalu saya terima adalah, saya amat kuat berangan, suka sangat memikirkan masalah, suka merapu-rapu, tak relevan dalam bagi pandangan, Malas buat kerja tapi bercakap bukan main lagi. Fuh, kadang-kala pedih juga mendengarnya dan maaflah, sebenarnya ada lagi yang saya rasa perlu di'sir'kan. Cukuplah saya seorang sahaja yang memuhasabahnya sendirian. =)

Namun, dalam entri kali ini ingin juga saya sentuh beberapa pandangan orang terhadap saya. Seronok juga sebenarnya =)

Saya selalu mengatakan pada diri saya, usah takut mencabar status quo dalam diri sendiri hatta dalam masyarakat sekali pun. Tapi dalam masa yang sama perlukan juga keterbukaan dalam menerima pandangan orang lain yang bertentangan dan kritikan pedas orang lain kerana itulah sebenarnya makanan asasi para ulama'. Budaya pendekatan secara ilmiyyah,akademik dan intelektual. Saya bukan mengatakan saya ulama',namun itulah tarbiyah dari nabi dan menjadi pakaian ulama' yang seharusnya juga menjadi pakaian saya sebagai seorang mahasiswa. Mahasiswa ialah satu golongan yang berani mencabar tapi dalam masa yang sama belajar.

Ukhuwwah dan Persaudaraan

Perkara yang sering juga dikritikkan terhadap saya adalah dalam soal berkaitan keperibadian diri saya. Saya ini dilihat sangat 'tidak tsiqoh' dan 'tiada 'Izzah' ketika bersama dengan sahabat-sahabat saya. Suka ketawa,senyum-senyum ketika meeting, hantar sms ada smiley,YM,selalu hantar email dan banyak beri komen dalam YahooGroups dan lain-lain lagi. Dalam satu keadaan, saya amat suka dan terpaksa merespon kepada kenyataan-kenyataan dari sahabat-sahabat saya tersebut agar ia dapat memperbetulkan segala kesalahtanggapan mereka terhadap pembawaan saya dan perlahan-lahan memecahkan paradigma mereka.

Saya akui perkara ini hanyalah persoalan remeh namun, suka untuk saya memecahkan perkara yang berkaitan dengan paradigma dan pemikiran. Kita lahir dalam satu golongan yang telah terbiasa dengan sesuatu keadaan sehingga apabila melihat perkara bertentangan dengannya adalah salah meskipun tidak berdosa.

Pertamanya, saya sering terfikir kenapakah manusia sentiasa bersikap suka mencari kesalahan orang 'atasan' sehinggakan soal-soal kecil yang tak merosakkan syari'at mahupun aqidah juga dipertikaikan. Adakah 'training' yang diterima selama ini membuahkan jiwa-jiwa 'pembangkang' yang kuat dan membangkang setiap masa. Saya tinggalkan ia agar menjadi sesuatu yang akademik untuk dibincangkan. Pada saya, perkara berkaitan soal perbezaan pembawakan,keperibadian seseorang usahlah dimomokkan sangat. Saya tidak kisah kalau dalam soal yang melanggar syari'at lalu saya ditegur. Pemikiran yang salah juga mesti ditegur. Namun, dalam soal pembawakan, berilah peluang agar setiap individu membawa pembawakan mereka sendiri asalkan tidak melanggar ketetapan. Inilah kepelbagaian dan perbezaan yang sepatutnya diraikan Agar tidak lagi timbul isu kepimpinan dahulu buat itu, kepimpinan kini buat apa?

Soal tsiqoh atau tidak sering dibangkitkan sehingga membuahkan jiwa-jiwa retorik dalam gerakan. Terus terang saya katakan, seorang yang jiwanya "Happy Go Lucky" pasti tak akan lama bertahan berada dalam gerakan kerana masing-masing dengan sikap saling ingin menunjukkan 'Izzah masing-masing. Hilangnya bunga-bunga kemesraan dan ukhuwwah sesama ahli gerakan kerana egoistik yang disemai. Maka, tidak hairanlah kenapa ukhuwwah hanya di mulut menjadi ungkitan bila mana diri dalam kesusahan. "Mana sahabat-sahabat, tak tolong pon aku dalam kesusahan, katanya ukhuwwah." Buka minda,fikir-fikirkan...Siapalah yang akan tolong dengan orang yang sentiasa nak tunjukkan 'Izzah dan egonya pada orang lain.

Layakkah 'Izzah diletakkan pada sesama ahli gerakan?satu persoalan. Soal tsiqoh dibangkitkan yang sebenarnya adalah persoalan kewarakan. Muslimin 'huha-huha' tidak tsiqoh atau tidak wara'?Sekiranya tidak tsiqoh (saling mempercayai) bagaimanakah dia boleh bersama dengan gerakan dan ditempatkan sekeluarga dengan ahli gerakan bagi menumpahkan seluruh taat setianya pada jama'ah?

Apa yang disebutkan Al-Quran dalam surah Al-Ma'idah ayat 36 adalah jelas bahawa bersikap "Azillah" iaitu menonjolkan kasih sayang (menonjolkan ukhuwwah,berkongsi luahan rasa, saling menghiburkan antara satu sama lain dll)terhadap sesama mukmin,sahabat-sahabat seperjuangan. Terhadap musuh barulah tonjolkan 'Izzah (Kemegahan,Ego,Kekuatan dll).

Pesanan saya, jadilah diri sendiri dan buangkanlah segala lakonan dalam diri. Menjadi ahli gerakan yang retorik sangat bahaya kerana menunjukkan sikap tidak ikhlas dan tidak jujur pada diri. Didikan melalui pentarbiyyahan tidak semestinya melahirkan 'amilin yang serius setiap masa dan ketika sehingga tiada langsung kenikmatan air muka yang manis yang boleh dirasai oleh orang lain darinya. Bahkan itu sebenarnya adalah kegagalan tarbiyyah kerana tidak dapat mendidik hatinya berlembut dalam sesetengah keadaan.

Saya sempat berbual bersama seorang sahabat baik saya yang pada saya, dia merupakan seorang 'tokoh' JIM yang agak hebat juga di UTHM. Dalam perbualan tersebut satu titik pertemuan antara kami adalah, sebagai pendakwah kita bukanlah penghukum dan janganlah menjadi golongan yang terlalu 'Fiqh' sehingga mengabaikan elemen 'tasauf' serta jangan pula terlalu 'tasauf' sehingga mengabaikan 'fiqh'.

Read more...

Tuesday, June 16, 2009

Respon UTHM terhadap isu Diploma Pendidikan KUiTTHO tak diiktiraf JPA

Diploma UTHM diiktiraf JPA
Sumber:Berita Harian

MERUJUK aduan pengadu 'MIS', Johor Bahru bertajuk 'Status Diploma KUiTTHO dipersoal' yang disiarkan pada 11 Jun lalu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) ingin mengesahkan bahawa semua program diploma yang ditawarkan, termasuk Diploma Kejuruteraan Elektrik serta Pendidikan seperti aduan sudah mendapat pengiktirafan kelayakan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) melalui surat bertarikh 20 November 2006.

Program itu setaraf Diploma Kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang lain bagi maksud lantikan ke jawatan bersesuaian dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Pengesahan pengiktirafan semua program yang ditawarkan di UTHM boleh dilihat melalui laman web JPA di ruangan pengiktirafan kelayakan.

Berhubung aduan pembaca dari Batu Pahat di ruangan ini pada 4 Jun pula, iaitu mengenai penempatan graduan, pihak UTHM ingin menyatakan ia di luar bidang kuasa universiti. Bagaimanapun, persoalan ini akan dibangkitkan kepada pihak berkenaan di Kementerian Pelajaran.

UNIT PERHUBUNGAN AWAM,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia



Read more...

Sunday, June 14, 2009

Rakyat hutang kerajaan,kena bayar balik...Kerajaan hutang rakyat???

Respon terhadap laporan Berita Harian : PTPTN kaji syor potong gaji peminjam

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam transformasi minda mahasiswa

Isu yang berlarutan sejak lama dahulu dan kini dibangkitkan semula iaitu berkaitan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, PTPTN yang katanya telah pun mengenakan tindakan terhadap peminjam yang masih belum membayar semula pinjaman terbabit termasuk 'Blacklist' kira-kira 15,000 bekas pelajar dari ke luar negara. Kini dalam rangka mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan tindakan pemotongan gaji peminjamnya terus melalui majikan seperti Potongan Cukai Berjadual (PCB) atau caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sekiranya bekas pelajar masih ingkar dan berdegil untuk membayar hutang.

Bagi saya, adalah positif untuk melaksanakan apa sahaja cadangan termasuk cadangan terbabit bagi cepat melangsaikan segala hutang bekas pelajar dengan pihak berkenaan atas alasan "hutang mestilah dibayar balik." Ya, apa cara sekali pun, hutang mesti dibayar balik.

Tetapi, saya juga ingin menyarankan kepada pihak Kerajaan agar jangan lagi bercakap soal membanteras ceti haram, ah-long dan sebagainya atas alasan tindakan ah-Long dan ceti haram yang menggunakan kekerasan termasuk menyeksa dan mengurung mangsa mereka yang gagal menjelaskan hutang sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas.

Sekiranya Kerajaan terus bersuara dalam soal membanteras kegiatan ceti haram,pada saya ianya adalah ibarat meludah ke muka sendiri. Hampir tiada sedikit pun perbezaan antara tindakan Kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi yang dilihat lebih bersifat mengugut dan mengertak bekas mahasiswa dengan kegiatan Ah-Long dan Ceti Haram yang turut melakukan perkara menurut kaedah yang sama. Kedua-duanya mengongkong dan menjerat penghutang.

Lebih berat lagi, Kerajaan terus menafikan hak mahasiswa khususnya Bumiputera dalam perkara (153) berkaitan Hak Istimewa Bumiputera, antaranya adalah biasiswa. Ianya lebih zalim dari tindakan Ceti Haram yang saya pasti, mereka menggunakan budi bicara dan diplomasi terlebih dahulu sebelum menjerat dan memerangkap mangsa mereka. Hasil pujuk rayu mereka barulah akhirnya mangsa berjaya diperdayakan sedangkan dalam soal pinjaman PTPTN, mahasiswa awal-awal lagi dinafikan hak biasiswa mereka lalu dihumban ke kancah hutang piutang secara terpaksa.


Saya lebih cenderung untuk membincangkan isu ini di luar dari 'kepompong' idea yang diketengahkan oleh kebanyakan media arus perdana tempatan. Saya lebih suka melihat apakah kesannya secara tidak langsung kepada soal pembangunan negara dan Modal Insan yang selalu disebut-sebutkan.

Saya melihat melalui perbandingan dengan negara-negara maju yang lain termasuklah dengan negara Republik Islam Iran dan Jerman di mana mereka mengkaji dan melihat bahawa pendidikan negara mereka semestinya dapat melahirkan graduan yang akan kembali menyumbangkan kepada negara mereka. Bagaimanakah langkah untuk mahasiswa mereka kembali menyumbangkan kepada negara telah diteliti dan dikaji sehinggakan mereka berjaya menghilangkan hampir kesemua bebanan berbentuk material buat seluruh mahasiswa mereka.

Biasiswa, kemudahan pembelajaran & pelajaran serta lain-lain lagi diberikan khusus kepada pelajar mereka tanpa berlaku sedikit pun pertikaian berkaitan isu "Mahasiswa tak boleh dimanjakan" dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka melihat isu yang lebih besar iaitu pembangunan negara dan modal insan yang betul-betul berkualiti bagi menyumbangkan kepada negara. Malah, soal pendidikan adalah perkara pokok dan isu kononnya mahasiswa tak perlu dimanjakan tidak sekalipun menjengah ruang perbincangan mereka.

Soal kebajikan terhadap mahasiswa inilah yang yang diutamakan oleh negara-negara dunia yang maju dan wajar untuk kita belajar dari mereka. Mahasiswa mereka kelak akan keluar dengan penuh rasa tanggungjawab kepada negara dan dapat memberikan sumbangan tenaga,idea,dan buah fikiran secara maksimum bagi tujuan membangukan negara mereka tanpa perlu memikirkan lagi bebanan berbentuk material yang perlu dilangsaikan selepas mendapat pekerjaan.

Di negara kita pula, sudahlah suara mahasiswa dikekang habis-habisan dengan akta drakonian, AUKU si Kuku Besi (Walaupun dipinda,kami tetap mahu ia dimansuhkan terus kerana mendengar namanya saja pun sudah benci) dan segala macam lagi tindakan otokratik pihak-pihak tertentu bagi menghalang suara dan luahan mahasiswa didengari masyarakat kini, dalam soal tanggungan perbelanjaan pembelajaran juga turut sama dinafikan hak yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Jika Mat-Rempit, (Samseng Jalanan) bebas melakukan apa saja tanpa sebarang akta yang mengekang mereka ditambah biayaan ibu bapa, mengapa mahasiswa dikerjakan habis-habisan sedangkan mereka berusaha membangunkan kesedaran ummah.

Pada saya, pinjaman PTPTN adalah doktrin baru terhadap mahasiswa bagi melahirkan golongan 'berfikrah' materialistik. Inilah kesannya apabila kapitalisme berleluasa sehingga menjengah ke dalam sistem pendidikan negara. Sudahlah pendidikan dijadikan suatu perniagaan, kini outputnya juga ditanamkan dengan minda yang sama. Apakan tidaknya, Mahasiswa yang berhutang adakah apabila mereka memperoleh pekerjaan kelak,mereka akan memikirkan soal memberikan sumbangan untuk negara? Tidak, mereka pastinya akan memikirkan bagaimanakah seharusnya mereka melepaskan diri dari bebanan hutang mereka. Sudahlah pula kini mereka diburu seperti penjenayah. Amat berbahaya sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang 'cerdik' ini menyalahgunakan kecerdikan mereka lantaran jiwa mereka yang terdesak. Matlamat barangkali menghalalkan apa sahaja cara bagi mereka. Maka, lahirlah golongan penjenayah keluaran universiti.

Bersama fikirkan...

Muhd Syafiq B Mat Jap,
Timbalan Presiden GAMIS Johor.

Read more...

Saturday, June 13, 2009

Selangkah lagi wahai kakakku, bersabarlah...

Alhamdulillah...
Jumaat bersamaan 12 JUN 2009 telah menyaksikan berlangsungnya peristiwa bersejarah buat kakakku yang seorang ni...
hmmm...Gembiranya kakak aku sampai menangis-nangis dia selepas majlis tu...
Orang perempuan ni memang aku pun susah nak faham..Waktu gembira pun mereka menangis...Waktu sedih apatah lagi.hehe..(jangan marah ya kaum hawa) Emm,tapi bagus juga kerana sedikit sebanyak telah menambah minatku untuk terus mengkaji psikologi manusia.

Apapun, Syukurlah majlis pertunangan kakak aku telah berjalan dengan lancar dalam suasana penuh kesederhanaan.

Ikuti Ulasanku selanjutnya:


Delegasi diketuai Perdana Menteri sebelah pihak lelaki beserta ahli kabinetnya tiba seawal 10.30 pagi dan disambut penuh ceria di hadapan 'Istana Negara'. Perdana Menteri pihak perempuan bersama Timbalan dan seluruh Menteri-menterinya menyambut ketibaan delegasi dan diarak masuk ke dalam Istana Negara.


Aik,baru bertunang dah berangan...tapi takpa,belajar dukung budak ya..hehe


Baik-baik lintas jalan,mat rempit banyak kampung ni...


Dewan Muslimat turut memainkan peranan dengan baik pada hari tersebut...Tahniah diucapkan...Muslimat sayap kiri perjuangan...Muslimat: Power!Power!!Power!!!... =)


Delegasi diarak masuk ke dewan mesyuarat.


Kedua-dua belah pihak memasuki ruangan tempat bermesyuarat untuk membincangkan berkaitan hubungan dua hala antara kedua belah pihak.


Perbincangan dilihat berjalan dengan lancar dan kadang-kala gelak ketawa dari semua perwakilan dan delegasi menceriakan lagi suasana yang pastinya tiada sebarang hiburan seperti nyaniyan mahupun tarian kuda kepang disediakan...


Kedua-dua belah pihak optimis dalam mencapai kata sepakat demi menjalin kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.


Kantoi!!!Ini budaya yang perlu dihabiskan,"Mesyuarat di luar mesyuarat"...heheh...melawak ja pakteh...jangan tak mengaku anak sedara pulak...

Jeng!!!Jeng!!!Jeng!!!



Alhamdulillah...Akhirnya rundingan telah berjaya mencapai kata putus. Kedua belah pihak sepakat untuk menjalin kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang. Diharap hubungan yang terjalin bagi fasa yang pertama ini dapat berkekalan dan dijauhi dari segala perkara yang tidak diingini. Hubungan dua hala kedua pihak bakal disahkan tidak lama lagi...Insya-Allah...

Bersabarlah kakakku...juga bakal abangku...
bersama kita doakan ianya akan membawa kepada pernikahan yang sah demi mencapai kebahagian dan cinta hakiki...


p/s: Maaf ya, gambar penuh kakak tak boleh disiarkan...marah cik abang nanti...

Read more...

Friday, June 12, 2009

Azimat Berharga Seorang Pemimpin Gerakan Mahasiswa

“Kebangkitan gerakan mahasiswa Islam sudah tiba masanya dan kita sendiri sudah tidak sabar untuk mempamerkan wajah kita yang sebenar. Menawan kampus, bermakna kita menawan negara. Tarbiah yang kita terapkan selama ini, sudah meraung-raung untuk dilepaskan dalam bentuk yang lebih kental. Lalu, jiwa-jiwa dan hati-hati kecil kita bagaikan soldadu yang sedia menerima arahan untuk bertindak. Ya, kebangkitan ini, diumpamakan tiupan angin lembut yang tiba-tiba meruap ganas. Ditiup gunung, gunung tercabut. Diterpa lautan, lautan bergelora.”

DzulKhairi Mohd Noor Presiden GAMIS 2007-2009



Read more...

Memohon Penjelasan Berhubung Status Diploma Pendidikan KUiTTHO

Merujuk kepada luahan seorang bekas penuntut yang disiarkan di akhbar Berita Harian iaitu di dalam ruangan Surat & E-mel yang bertajuk “Status Diploma Pendidikan KUiTTHO Dipersoal” pada Khamis, 11hb Jun 2009 di muka surat 30. Kami amat berharap agar pihak Timbalan Naib Canselor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk segera tampil memberikan penjelasan kepada umum sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik berhubung isu tersebut.


Menurut kenyataan pengirim terbabit, beliau yang kami percaya merupakan salah seorang dari sebilangan lagi bekas mahasiswa yang mengalami nasib yang serupa telah menyebutkan bahawa, beliau memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik & Pendidikan pada 2005 dari Kolej Universiti Tun Hussein Onn, KUiTTHO serta Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM pada 2008 namun gagal ditempatkan sebagai guru sandaran terlatih siswazah, Kementerian Pelajaran Malaysia meskipun telah melalui temuduga. Beliau seterusnya menghubungi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan kepastian berkenaan kegagalan tersebut dan amat terperanjat apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai bahawa Diploma Pendidikan KUiTTHO tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA.

Berikutan tindakan pengirim terbabit yang hanya menggunakan penama “MIS” dan berasal dari Johor Bahru, kami beranggapan dari satu sudut bahawa ia dikhuatiri akan menjejaskan reputasi dan tanggapan umum terhadap Universiti khususnya kepada pelajar-pelajar baru yang bakal mendaftar kelak sekiranya ia tidak dijelaskan dengan segera oleh pihak UTHM serta memuaskan hati mahasiswa-mahasiswa terbabit.

Kami mewakili mahasiswa UTHM jauh sekali dari ingin menyalahkan mana-mana pihak namun, sangat berharap agar mahasiswa berkenaan serta umum mendapat penjelasan yang sebenar berhubung isu tersebut. Kami juga memohon penjelasan dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi sendiri kerana Universiti Tun Hussein Onn Malaysia adalah tergolong sebagai salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam, IPTA. Kemusykilan timbul kerana bagaimana sebuah universiti di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi tidak mendapat pengiktirafan dari JPA. Selain itu, kami juga memohon agar permasalahan yang melanda bekas mahasiswa-mahasiswa berkenaan dapat diambil langkah terbaik oleh pihak berkaitan bagi membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kami juga turut mencadangkan agar mahasiswa-mahasiswa berkenaan agar dapat segera tampil bersemuka dengan pihak pentadbiran akademik universiti mahupun pihak KPT sendiri bagi menyelesaikan masalah terbabit. Itulah langkah yang pada pandangan kami adalah langkah yang terbaik buat masa ini selain pihak Universiti dan pihak yang terlibat harus menjelaskan semula kepada umum demi memberikan gambaran yang sebenar kepada seluruh masyarakat sebagai jawapan setelah ia dibangkitkan. Kami juga mengucapkan tahniah dan syabas buat bekas mahasiswa terbabit kerana berani menyuarakan luahan hati serta memohon penjelasan pihak yang terlibat.

Muhd Syafiq B Mat Jap,
Setiausaha Peribadi Presiden Kelab Iqra’,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,
Batu Pahat, Johor Darul Takzim

Read more...