Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Monday, September 21, 2009

Selamat Hari Raya 'Eidulfitri



Kemaafan dipohon pada hari yang berbahagia ini...
Maaf Zahir & Batin...



Read more...

Friday, September 4, 2009

Slot Terbaru KP2I






Read more...

Mahasiswa : Dari Kampus Ke Lapangan Ummah

Mahasiswa adalah golongan pemuda yang berada pada kelasnya yang tersendiri. Kalimah keramat M.A.H.A.S.I.S.W.A memberikan satu definisi yang jelas kepada kita betapa mereka adalah satu golongan yang berbeza dari golongan pelajar atau murid di sekolah. Hakikatnya menara gading menghamparkan seribu satu ruang buat anak muda bergelar mahasiswa berpencak demi membangunkan ummah. Kerangka perkataan Maha yang digabungkan dengan Siswa bermaksud mereka adalah golongan terpilih yang bukan sekadar menempatkan diri di menara gading untuk menjadi satu spesies seperti yang lazimnya didefiniskan kepada kita. Berlapikkan alasan mengatakan universiti adalah hanya sekadar medan untuk menumpukan kepada menghabiskan pengajian semata-mata sangat tidak bertepatan dengan fitrah kejadian golongan ini. Bahkan mereka dibiayai masyarakat demi memperjuangkan nasib bangsa. Perlu juga diketahui, suara anak muda kampus pernah meledakkan satu nostalgia berharga dalam lipatan sejarah dunia.


Prof. Di-Raja Ungku Aziz mendefinisikan mahasiswa sangat tepat mengena dengan psikologi dan jiwa kepemudaan mereka selaku generasi yang mempunyai cita-cita yang tinggi dan jiwa yang bergelora,beridealisme,penuh keazaman,bersemangat dan gagah berani, Beliau menyebut “Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tak akan termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan selepas itu mereka belajar.” Beliau sangat memahami hakikat sebenar jiwa golongan pemuda ini khususnya mahasiswa dan apakah peranannya.

Lihatlah bagaimana pula Al-Quran menceritakan kepada kita implikasi apabila golongan muda ini ditidurkan. Dunia menyaksikan, runtuhnya ketamadunan apabila golongan pemuda ini ditempurungkan dan dilekakan dari bersama membangunkan tamadun. Peristiwa pemuda al-Kahfi menjadi bukti dan pengajaran bagaimana kebangkitan golongan muda selepas dari ketiduran yang amat lama memberikan impak kepada dunia, mereka bingkas bangun melaksanakan perubahan dan transformasi demi memelihara ketamadunan dari terus diruntuhkan. Surah al-Kahfi ayat ke-14 menceritakan keyakinan dan keteguhan mereka yang bermaksud:

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran."

Seorang pensyarah dalam bidang pengajian masa depan, Zentrum Future Study, Universiti Malaya, UM iaitu Prof. Dr. Abu hassan Hasbullah menjelaskan betapa kini era kurun ke-21 adalah merupakan kurun yang dinamakan kurun Strategi dan beliau sangat optimis dan percaya bahawa golongan pemuda adalah pengurus strategi terbaik. Bermakna, kemandirian dan survival ketamadunan kini bukan lagi dinilai dari sudut pengalaman dan pengaruh, tetapi berlandaskan kepada siapakah yang bijak mencatur strategi dengan baik. Maka, golongan muda adalah aset berguna bagi tujuan itu.

Beliau turut mengemukakan pandangan bahawa golongan pemuda ini adalah generasi Al-‘Adiyat iaitu segerombolan gerakan tempur kuda-kuda perang. Melalui pengamatan beliau mengenai tindakan dan gerak kerja serta perilaku anak-anak muda ini, beliau melihat ada persamaan sebagaimana yang diceritakan Allah di dalam al-Quran di dalam surah tersebut. Begitulah hebatnya peranan golongan muda ini. Diibaratkan seperti gerakan kuda tempur.

Tidak terlepas juga, Nabi adalah seorang rasul yang hidup di kelilingi oleh golongan pemuda-pemuda yang hebat, diasuh dan dibinanya jiwa mereka demi memperjuang dan membawa agenda besar Islam. Sebut sahaja Mus’ab bin Umair, siapa yang tidak mengenali kisah perjalanan hidupnya. Pemuda kacak dari golongan bangsawan ini menginfakkan sepenuh jiwanya demi Allah dan Rasul meskipun dikeji ibunya sendiri yang musyrik. Kekayaannya tergadai demi mengiringi perjuangan Rasulullah s.a.w.

Di sekeliling baginda juga adanya Talhah bin Ubaidillah, Saidina ‘Ali Abi Talib, Uthman Affan, Zubir Al-Awwam, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Umar al-Khattab. Bahkan pemuda seusia belasan tahun seperti Usamah bin Zaid yang mengimpikan Rom ditewaskan ditangannya turut merupakan sebahagian dari barisan kepimpinan pemuda yang ditarbiyyah oleh Rasulullah s.a.w. Begitulah Rasulullah melihat betapa perlunya peranan pemuda dimainkan di dalam menegakkan Islam. Maulana Al-Maududi, seorang tokoh gerakan Islam di Pakistan pernah menyebut, “Seandainya kamu ingin melihat masa depan Islam, kamu lihatlah bagaimana generasi muda di hadapan mata kamu sekarang.”

Sejarah dunia juga tidak pernah menipu betapa golongan mahasiswa dan pemuda juga adalah yang mewarnai lakaran gemilang dalam menunjukkan aksi penentangan terhadap penjajahan ketika era kolonialisme atau imperialisme Barat. Jose Rizal di Filipina adalah merupakan mahasiswa yang menjadi ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis. Gerakan Huk Balahap dan Katipunan terus mengempur penjajah malah terus bernyawa di zaman Marcos sehinggalah regim itu berantakan lewat demonstrasi anak-anak kampus di jalanraya-jalanraya bandar Manila.

Sheikh Muhammad Abduh dengan idealisme Pan Islamisme ketika masih bergelar penuntut di Universiti terulung dunia iaitu Universiti Al-Azhar. Idealisme beliau sangat mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir Barat ketika itu. Beliau meskipun dibuang dari Universiti berprestij itu namun, semarak perjuangan kepemudaannya menjulang tinggi sehingga ke seluruh pelusuk bumi Mesir.

Susuk tubuh Imam Assyahid Hassan Al-Banna juga merupakan seorang anak muda di Menara Gading tatkala mengasaskan gerakan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada tahun 1928. Sehinggakan gerakan ini menjadi sangat fenominal pada abad ke-20. Assyahid merupakan lulusan Darul Ulum. Perjuangannya berterusan memancarkan sinar sehingga kini meskipun susuk tubuhnya sudah tiada untuk ditatap dan gerakannya diharamkan di Mesir.

Di China pula, tokoh anak kampus seperti Mao Tze Tung adalah penggerak kepada peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya telah meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunisme pada tahun 1949 di China. Begitu juga Revolusi Bolshevik 1917 di Russia yang turut digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah didoktrinkan dengan fahaman Komunisme. Tzar Nicholas akhirnya jatuh tersungkur dan menggelongsor dari takhta istananya.

Bumi Jihad Afghanistan yang berlatar belakangkan bukit bukau dan tanah kontang tidak membawa maksud jiwa dan semangat mereka juga kering. Bahkan ia menyaksikan kebangkitan mahasiswa menentang penjajahan Russia pada 1979. Gulbuddin Hekmatyar seorang pemimpin kampus Universiti Islam Kabul telah menyeru kepada kebangkitan semangat jihad buat rakan-rakan seperjuangannya di kampus. Maka, lahirlah kumpulan yang bergelar ‘pelajar-pelajar’ iaitu Taliban yang menyaksikan bagaimana ‘beruang putih’ Russia berjaya dihalau keluar dari bumi Afghanistan pada tahun 1989.

Kesedaran untuk membaiki diri bangsa dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan pada awal abad ke-20 telah digerakkan oleh anak-anak kampus al-Azhar seperti Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Kalali sehingga mereka turut dicurigai di tanahair sendiri. Melalui pembinaan madrasah moden ala Mesir dan menerusi penulisan telah menyebar luaskan kepedulian sosial politik masyarakat Melayu untuk menuju Merdeka. Kepulangan Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi dari Universiti Aligarh, India menyemarakkan lagi idealisme dan momentum perjuangan kemerdekaan. Beliau melontarkan kritikan bernas buat British sehinggalah beliau dipenjarakan pada tahun 1937.

Di Algeria, bumi yang merdeka dari Perancis pada tahun 1962 ini telah menyaksikan simbahan darah-darah para syuhada dan anak muda kampus yang berani berselut lumpur menentang kezaliman penjajah sehingga dalam dekad kebangkitan Islam, telah tertubuhnya Front Islamic Salvation, FIS di Algeria hasil tangan dua tokoh kepimpinan mahasiswa IR Abdul Kader Hachani dan Ustaz Ali Benhaj pada penghujung dekad 1980an, selain berlakunya Revolusi Islam di Tehran, Iran sehingga menggulingkan kerajaan kuku besi, Shah Iran semuanya menunjukkan bukti bahawa suara mahasiswa adalah suara keramat yang menjadi cerminan kepada kegelisahan suara rakyat marhain.

Suara mahasiswa adalah suara yang suci bersih yang lahir dari hati naluri mereka yang menuntut di menara gading tanpa dipengaruhi mana-mana unsur luar yang berkepentingan. Perjuangan dan laungan nyaring mereka adalah detak hati yang dirindui masyarakat agar keadilan tertegak di muka bumi tercinta ini. Bangunlah anak muda. Bangkitkan semangat dan jiwamu untuk muncul menjadi kelompok the catalyst buat rakyat marhain dan ‘check and balance’ kepada Negara.

Rujukan:

1. Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, Ridhuan Mohamad Nor
2. Revolusi Mahasiswa & Politik Baru Malaysia, Mohd Ridzuan Mohammad, YDP MPMUM 09/10.
3. Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, Ridhuan Mohamad Nor
4. www.isiukm.blogspot.com


Read more...