Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Friday, June 12, 2009

Memohon Penjelasan Berhubung Status Diploma Pendidikan KUiTTHO

Merujuk kepada luahan seorang bekas penuntut yang disiarkan di akhbar Berita Harian iaitu di dalam ruangan Surat & E-mel yang bertajuk “Status Diploma Pendidikan KUiTTHO Dipersoal” pada Khamis, 11hb Jun 2009 di muka surat 30. Kami amat berharap agar pihak Timbalan Naib Canselor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk segera tampil memberikan penjelasan kepada umum sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik berhubung isu tersebut.


Menurut kenyataan pengirim terbabit, beliau yang kami percaya merupakan salah seorang dari sebilangan lagi bekas mahasiswa yang mengalami nasib yang serupa telah menyebutkan bahawa, beliau memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik & Pendidikan pada 2005 dari Kolej Universiti Tun Hussein Onn, KUiTTHO serta Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM pada 2008 namun gagal ditempatkan sebagai guru sandaran terlatih siswazah, Kementerian Pelajaran Malaysia meskipun telah melalui temuduga. Beliau seterusnya menghubungi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan kepastian berkenaan kegagalan tersebut dan amat terperanjat apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai bahawa Diploma Pendidikan KUiTTHO tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA.

Berikutan tindakan pengirim terbabit yang hanya menggunakan penama “MIS” dan berasal dari Johor Bahru, kami beranggapan dari satu sudut bahawa ia dikhuatiri akan menjejaskan reputasi dan tanggapan umum terhadap Universiti khususnya kepada pelajar-pelajar baru yang bakal mendaftar kelak sekiranya ia tidak dijelaskan dengan segera oleh pihak UTHM serta memuaskan hati mahasiswa-mahasiswa terbabit.

Kami mewakili mahasiswa UTHM jauh sekali dari ingin menyalahkan mana-mana pihak namun, sangat berharap agar mahasiswa berkenaan serta umum mendapat penjelasan yang sebenar berhubung isu tersebut. Kami juga memohon penjelasan dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi sendiri kerana Universiti Tun Hussein Onn Malaysia adalah tergolong sebagai salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam, IPTA. Kemusykilan timbul kerana bagaimana sebuah universiti di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi tidak mendapat pengiktirafan dari JPA. Selain itu, kami juga memohon agar permasalahan yang melanda bekas mahasiswa-mahasiswa berkenaan dapat diambil langkah terbaik oleh pihak berkaitan bagi membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kami juga turut mencadangkan agar mahasiswa-mahasiswa berkenaan agar dapat segera tampil bersemuka dengan pihak pentadbiran akademik universiti mahupun pihak KPT sendiri bagi menyelesaikan masalah terbabit. Itulah langkah yang pada pandangan kami adalah langkah yang terbaik buat masa ini selain pihak Universiti dan pihak yang terlibat harus menjelaskan semula kepada umum demi memberikan gambaran yang sebenar kepada seluruh masyarakat sebagai jawapan setelah ia dibangkitkan. Kami juga mengucapkan tahniah dan syabas buat bekas mahasiswa terbabit kerana berani menyuarakan luahan hati serta memohon penjelasan pihak yang terlibat.

Muhd Syafiq B Mat Jap,
Setiausaha Peribadi Presiden Kelab Iqra’,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,
Batu Pahat, Johor Darul Takzim

No comments:

Post a Comment