Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Friday, October 23, 2009

Disinggahkan-Nya Sebentar Di Dunia Untuk Kemudiannya Ke Syurga...Takziah Buat ust. Ramadhan Fitri & Isteri

Anak adalah permata paling berharga buat ibu dan ayah. Tidak pernah mana-mana pun ibu dan ayah di dunia ini yang berasa benci apabila dikurniakan Allah peluang menimang cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup yang telah dirancang bersama. Melainkan golongan yang tidak tentu hala kehidupannya dan berpenyakit tidak waras akal.

Kehadiran anak sulung apatah lagi. Meskipun saya belum pun berkahwin,apatah lagi diberikan peluang untuk menimang cahaya mata namun, saya memahami perihal keadaan tersebut. Maka, tidak ada jawapan yang lain melainkan hanya kegembiraan dan kesyukuran akan nikmat dikurniakan-Nya cahaya mata yang dinanti-nanti.

Namun, tidak semua yang kita kehendakkan dan yang menggembirakan itu akan berkekalan untuk selamanya. Allah sentiasa menguji hati hamba-hambanya. Realiti kehidupan, kita tidak akan sentiasa dapat apa yang kita suka maka, kita perlu belajar untuk suka apa yang kita dapat.


Ustaz Mohd Ramadhan Fitri yang kukenali, adalah figure dakwah pemuda masakini,figure yang banyak membantu mencetuskan rasa diri ini ingin berubah,figure yang banyak merawat penyakit malas berfikir yang bersarang dalam mindaku dan perwatakannya tidaklah sangat jauh berbeza dengan murobbi internetku, ustaz Hasrizal Abd Jamil.

Baru-baru ini beliau dan isterinya yang tercinta diuji dengan ujian yang cukup besar dari Allah,iaitu kehilangan anak sulungnya yang tersayang.

Aku sangat mendoakan beliau berbahagia bersama isteri tersayang, ustazah Khadijah Ismail tatkala diuji Tuhan dengan kehilangan permata pertama mereka itu, anak sulungnya almarhumah Nur Fatimah Bt Mohd Ramadhan Fitri telah pulang ke rahmatullah pada pagi Khamis 22hb Oktober 2009 jam 6.20pagi.

Si kecil itu disinggahkan Allah sementara di muka dunia untuk menggembirakan hati kedua ibu dan ayahnya untuk kemudiannya ke syurga menanti menyambut mereka.

Saya mengucapkan takziah buat ustaz dan ustazah atas dugaan ini. Semoga Allah tabahkan hati kalian berdua untuk terus mengharung kehidupan walaupun tanpanya lagi di sisi yang selalu menceriakan dan menjadi penyeri hidup buat ustaz dan ustazah.



Read more...

Sunday, October 4, 2009

Monday, September 21, 2009

Selamat Hari Raya 'Eidulfitri



Kemaafan dipohon pada hari yang berbahagia ini...
Maaf Zahir & Batin...



Read more...

Friday, September 4, 2009

Slot Terbaru KP2I






Read more...

Mahasiswa : Dari Kampus Ke Lapangan Ummah

Mahasiswa adalah golongan pemuda yang berada pada kelasnya yang tersendiri. Kalimah keramat M.A.H.A.S.I.S.W.A memberikan satu definisi yang jelas kepada kita betapa mereka adalah satu golongan yang berbeza dari golongan pelajar atau murid di sekolah. Hakikatnya menara gading menghamparkan seribu satu ruang buat anak muda bergelar mahasiswa berpencak demi membangunkan ummah. Kerangka perkataan Maha yang digabungkan dengan Siswa bermaksud mereka adalah golongan terpilih yang bukan sekadar menempatkan diri di menara gading untuk menjadi satu spesies seperti yang lazimnya didefiniskan kepada kita. Berlapikkan alasan mengatakan universiti adalah hanya sekadar medan untuk menumpukan kepada menghabiskan pengajian semata-mata sangat tidak bertepatan dengan fitrah kejadian golongan ini. Bahkan mereka dibiayai masyarakat demi memperjuangkan nasib bangsa. Perlu juga diketahui, suara anak muda kampus pernah meledakkan satu nostalgia berharga dalam lipatan sejarah dunia.


Prof. Di-Raja Ungku Aziz mendefinisikan mahasiswa sangat tepat mengena dengan psikologi dan jiwa kepemudaan mereka selaku generasi yang mempunyai cita-cita yang tinggi dan jiwa yang bergelora,beridealisme,penuh keazaman,bersemangat dan gagah berani, Beliau menyebut “Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tak akan termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan selepas itu mereka belajar.” Beliau sangat memahami hakikat sebenar jiwa golongan pemuda ini khususnya mahasiswa dan apakah peranannya.

Lihatlah bagaimana pula Al-Quran menceritakan kepada kita implikasi apabila golongan muda ini ditidurkan. Dunia menyaksikan, runtuhnya ketamadunan apabila golongan pemuda ini ditempurungkan dan dilekakan dari bersama membangunkan tamadun. Peristiwa pemuda al-Kahfi menjadi bukti dan pengajaran bagaimana kebangkitan golongan muda selepas dari ketiduran yang amat lama memberikan impak kepada dunia, mereka bingkas bangun melaksanakan perubahan dan transformasi demi memelihara ketamadunan dari terus diruntuhkan. Surah al-Kahfi ayat ke-14 menceritakan keyakinan dan keteguhan mereka yang bermaksud:

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran."

Seorang pensyarah dalam bidang pengajian masa depan, Zentrum Future Study, Universiti Malaya, UM iaitu Prof. Dr. Abu hassan Hasbullah menjelaskan betapa kini era kurun ke-21 adalah merupakan kurun yang dinamakan kurun Strategi dan beliau sangat optimis dan percaya bahawa golongan pemuda adalah pengurus strategi terbaik. Bermakna, kemandirian dan survival ketamadunan kini bukan lagi dinilai dari sudut pengalaman dan pengaruh, tetapi berlandaskan kepada siapakah yang bijak mencatur strategi dengan baik. Maka, golongan muda adalah aset berguna bagi tujuan itu.

Beliau turut mengemukakan pandangan bahawa golongan pemuda ini adalah generasi Al-‘Adiyat iaitu segerombolan gerakan tempur kuda-kuda perang. Melalui pengamatan beliau mengenai tindakan dan gerak kerja serta perilaku anak-anak muda ini, beliau melihat ada persamaan sebagaimana yang diceritakan Allah di dalam al-Quran di dalam surah tersebut. Begitulah hebatnya peranan golongan muda ini. Diibaratkan seperti gerakan kuda tempur.

Tidak terlepas juga, Nabi adalah seorang rasul yang hidup di kelilingi oleh golongan pemuda-pemuda yang hebat, diasuh dan dibinanya jiwa mereka demi memperjuang dan membawa agenda besar Islam. Sebut sahaja Mus’ab bin Umair, siapa yang tidak mengenali kisah perjalanan hidupnya. Pemuda kacak dari golongan bangsawan ini menginfakkan sepenuh jiwanya demi Allah dan Rasul meskipun dikeji ibunya sendiri yang musyrik. Kekayaannya tergadai demi mengiringi perjuangan Rasulullah s.a.w.

Di sekeliling baginda juga adanya Talhah bin Ubaidillah, Saidina ‘Ali Abi Talib, Uthman Affan, Zubir Al-Awwam, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Umar al-Khattab. Bahkan pemuda seusia belasan tahun seperti Usamah bin Zaid yang mengimpikan Rom ditewaskan ditangannya turut merupakan sebahagian dari barisan kepimpinan pemuda yang ditarbiyyah oleh Rasulullah s.a.w. Begitulah Rasulullah melihat betapa perlunya peranan pemuda dimainkan di dalam menegakkan Islam. Maulana Al-Maududi, seorang tokoh gerakan Islam di Pakistan pernah menyebut, “Seandainya kamu ingin melihat masa depan Islam, kamu lihatlah bagaimana generasi muda di hadapan mata kamu sekarang.”

Sejarah dunia juga tidak pernah menipu betapa golongan mahasiswa dan pemuda juga adalah yang mewarnai lakaran gemilang dalam menunjukkan aksi penentangan terhadap penjajahan ketika era kolonialisme atau imperialisme Barat. Jose Rizal di Filipina adalah merupakan mahasiswa yang menjadi ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis. Gerakan Huk Balahap dan Katipunan terus mengempur penjajah malah terus bernyawa di zaman Marcos sehinggalah regim itu berantakan lewat demonstrasi anak-anak kampus di jalanraya-jalanraya bandar Manila.

Sheikh Muhammad Abduh dengan idealisme Pan Islamisme ketika masih bergelar penuntut di Universiti terulung dunia iaitu Universiti Al-Azhar. Idealisme beliau sangat mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir Barat ketika itu. Beliau meskipun dibuang dari Universiti berprestij itu namun, semarak perjuangan kepemudaannya menjulang tinggi sehingga ke seluruh pelusuk bumi Mesir.

Susuk tubuh Imam Assyahid Hassan Al-Banna juga merupakan seorang anak muda di Menara Gading tatkala mengasaskan gerakan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada tahun 1928. Sehinggakan gerakan ini menjadi sangat fenominal pada abad ke-20. Assyahid merupakan lulusan Darul Ulum. Perjuangannya berterusan memancarkan sinar sehingga kini meskipun susuk tubuhnya sudah tiada untuk ditatap dan gerakannya diharamkan di Mesir.

Di China pula, tokoh anak kampus seperti Mao Tze Tung adalah penggerak kepada peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya telah meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunisme pada tahun 1949 di China. Begitu juga Revolusi Bolshevik 1917 di Russia yang turut digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah didoktrinkan dengan fahaman Komunisme. Tzar Nicholas akhirnya jatuh tersungkur dan menggelongsor dari takhta istananya.

Bumi Jihad Afghanistan yang berlatar belakangkan bukit bukau dan tanah kontang tidak membawa maksud jiwa dan semangat mereka juga kering. Bahkan ia menyaksikan kebangkitan mahasiswa menentang penjajahan Russia pada 1979. Gulbuddin Hekmatyar seorang pemimpin kampus Universiti Islam Kabul telah menyeru kepada kebangkitan semangat jihad buat rakan-rakan seperjuangannya di kampus. Maka, lahirlah kumpulan yang bergelar ‘pelajar-pelajar’ iaitu Taliban yang menyaksikan bagaimana ‘beruang putih’ Russia berjaya dihalau keluar dari bumi Afghanistan pada tahun 1989.

Kesedaran untuk membaiki diri bangsa dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan pada awal abad ke-20 telah digerakkan oleh anak-anak kampus al-Azhar seperti Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Kalali sehingga mereka turut dicurigai di tanahair sendiri. Melalui pembinaan madrasah moden ala Mesir dan menerusi penulisan telah menyebar luaskan kepedulian sosial politik masyarakat Melayu untuk menuju Merdeka. Kepulangan Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi dari Universiti Aligarh, India menyemarakkan lagi idealisme dan momentum perjuangan kemerdekaan. Beliau melontarkan kritikan bernas buat British sehinggalah beliau dipenjarakan pada tahun 1937.

Di Algeria, bumi yang merdeka dari Perancis pada tahun 1962 ini telah menyaksikan simbahan darah-darah para syuhada dan anak muda kampus yang berani berselut lumpur menentang kezaliman penjajah sehingga dalam dekad kebangkitan Islam, telah tertubuhnya Front Islamic Salvation, FIS di Algeria hasil tangan dua tokoh kepimpinan mahasiswa IR Abdul Kader Hachani dan Ustaz Ali Benhaj pada penghujung dekad 1980an, selain berlakunya Revolusi Islam di Tehran, Iran sehingga menggulingkan kerajaan kuku besi, Shah Iran semuanya menunjukkan bukti bahawa suara mahasiswa adalah suara keramat yang menjadi cerminan kepada kegelisahan suara rakyat marhain.

Suara mahasiswa adalah suara yang suci bersih yang lahir dari hati naluri mereka yang menuntut di menara gading tanpa dipengaruhi mana-mana unsur luar yang berkepentingan. Perjuangan dan laungan nyaring mereka adalah detak hati yang dirindui masyarakat agar keadilan tertegak di muka bumi tercinta ini. Bangunlah anak muda. Bangkitkan semangat dan jiwamu untuk muncul menjadi kelompok the catalyst buat rakyat marhain dan ‘check and balance’ kepada Negara.

Rujukan:

1. Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, Ridhuan Mohamad Nor
2. Revolusi Mahasiswa & Politik Baru Malaysia, Mohd Ridzuan Mohammad, YDP MPMUM 09/10.
3. Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, Ridhuan Mohamad Nor
4. www.isiukm.blogspot.com


Read more...

Tuesday, August 25, 2009

Mengimbau Kezaliman ISA dan Drakonian AUKU







Read more...

Sunday, July 19, 2009

Pemuda & Halatuju Tarbiyyah



maksud surah al-kahfi ayat 14:

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran."

Ketamadunan dalam mana-mana penulisan sejarah telah banyak membuktikan kepada kita bahawa generasi muda adalah golongan sangat berperanan besar dalam menjayakan transformasi kepada sesuatu ketamadunan.

Sejarah ketamadunan yang ditonjolkan oleh Al-Quran juga sangat jelas membuktikan bahawa apabila golongan pemuda-pemudi ini dilekakan, didiamkan serta ditempurungkan dari turut sama terlibat memastikan kemandirian sesuatu tamadun, maka berlakulah kerosakan dan keruntuhan sesuatu ketamadunan itu.

Dalam peristiwa golongan al-Kahfi juga, Allah menunjukkan peristiwa besar yang menjadi bukti di mana 3 ketamadunan iaitu Hammurabi, Nebuchadnedzer,dan Namrud hancur dan musnah sama sekali apabila golongan pemuda ini ditidurkan oleh Allah s.w.t. Signifikan dari kisah pemuda-pemuda al-Kahfi ini menjadi satu pengajaran yang berguna kepada kita bahawa sekiranya golongan pemuda dilekakan, masih tidur, tidak proaktif, penakut dan tidak berperanan dalam menjadi agen penyedar kepada ummah maka, berlakulah kehancuran yang maha dahsyat di dalam masyarakat sehingga meruntuhkan ketamadunan bangsa itu sendiri.

Sebaliknya, Apabila Allah s.w.t membangkitkan golongan pemuda ini dari suatu tempoh ketiduran yang agak lama. Maka, kita sendiri melihat bagaimana Al-Quran menjelaskan bahawa mereka bangkit lalu memimpin perubahan dengan penuh keberanian , cita-cita yang tinggi sebagaimana diungkapkan dalam ayat 14 surah al-kahfi di atas lalu menjatuhkan kezaliman pemerintah.

Menurut Dr. Abu Hassan Hasbullah, yang merupakan seorang pensyarah di dalam bidang pengajian masa depan dan juga pengasas kepada Jabatan Zentrum Future Study di Universiti Malaya, UM. Beliau telah mengungkapkan hakikat dari sudut pandang sisi beliau yang sangat bernas berkenaan gerakan kepemudaan itu sendiri dengan menyifatkan pemuda adalah sebagai Al-'Adiyat iaitu sekawanan gerakan tempur kuda-kuda perang.



Pemerhatian tajam beliau terhadap tindak-tanduk gerakan dan kuasa tempur sekawanan kuda-kuda perang sebagaimana yang diungkapkan Allah s.w.t di dalam surah Al-'Adiyat tersebut sangat menyerupai perwatakan, psikologi perasaan dan gaya persembahan golongan yang dinamakan sebagai, As-syabab ini. Pemuda mempunyai jiwa yang bergelora, Fizikal dan mental di tahap keupayaan maksimum, punyai jiwa yang "rakus" dalam mencapai matlamat dan aggresif dalam melakukan tindakan. Inilah pemuda ataupun generasi ar-Rijal.

Perubahan zaman serta proses evolusi dan revolusi masyarakat dunia telah membawa kepada satu kesimpulan yang cukup menarik untuk dikongsikan bersama. Dr. Abu Hassan Hasbullah antara lain menyebutkan bahawa, kurun ke-21 ini adalah masanya untuk kita bukan lagi bercakap soal pengaruh dan pengalaman dalam melahirkan kepimpinan kerana persoalan pengalaman adalah pencapaian dan sejarah pada masa-masa lampau. Tetapi kurun ke-21 ini adalah suatu kurun yang dinamakan sebagai kurun strategi. Beliau amat optimis dan yakin bahawa, golongan pemuda adalah kelompok pengurus strategi terbaik. Generasi muda adalah kelompok yang disebutkan sebagai catalyst, pemangkin dan agen perubahan dalam masyarakat. Mereka juga menjadi agen "check & Balance" kepada sesuatu ketamadunan. Soal tamadun yang akan survive pada masa-masa akan datang dan mempunyai jangka hayat yang lama bertahan sangat bergantung kepada kekuatan strategi dicampurkan dengan keimanan yang kukuh tanpa mampu diganggu gugat dan bukan lagi semata-mata berdasarkan soal siapa paling berpengaruh dan siapa yang lebih berpengalaman. Bermaksud, pemuda adalah pelakar kepada sejarah baru ketamadunan bangsanya sendiri.


"Satu lagi gejala yang memburukkan shaksiyah Islamiah hari ini ialah menerima realiti dan tunduk kepadanya. Ini menjadikan natijah dan hasil semata-mata bergantung kepada apa yang ada, bukan apa yang sepatutnya (sewajibnya) berlaku. Oleh sebab itu pemuda Islam wajib ditarbiyyahkan dan dididik supaya bercita-cita tinggi atas kebenaran dan merasa mulia dari kebatilan. Mereka juga harus dididik supaya tidak menggadaikan haq kerana waqi' untuk membolehkan mereka melaksanakan Perubahan Islam yang dicita-citakan"
(m.s 35, AsSyabab wa AtTaghyir)

Kata-kata di atas diungkapkan oleh al-marhum syeikh Fathi Yakan di dalam buku bertajuk, Generasi Muda dan Perubahan.

Gerakan yang bercita-cita tinggi, (Beridealisme)

Golongan pemuda seharusnya dibuka minda mereka agar melihat masa depan berpandukan gambaran semasa pada zaman mereka kini. Persoalan survival ummah dan ketamadunan harus menjadi suatu wacana dan renungan kepada kelompok pemuda ini. Biarkan mereka diajar menjadi seorang yang futuristik dan proaktif ke arah membawa bangsa dan ketamadunan mereka maju ke hadapan..

Ditarbiyyah agar idealisme dipandu dengan keilmuan, (mendokong al-haq dan meruntuhkan al-batil).

Fikrah golongan pemuda Islam harus ditanam dengan hakikat kebenaran Al-Quran agar dipandu ke arah kebenaran serta mendokong cita-cita perjuangan nabi s.a.w. Pemuda mesti ditarbiyyah agar potensi mereka digilap lalu memaksimumkan aktivisme gerakan kepemudaan itu sendiri di dalam kesemua sudut dan sektor yang ada. Sebagaimana yang baginda Rasulullah s.a.w sendiri tunjukkan garis panduan pembinaan sahabat-sahabat baginda dalam menghadapi peristiwa-peristiwa besar seperti hijratunnabi,method perkaderan golongan muda untuk mendokong cita perjuangan baginda,siri-siri peperangan serta pelbagai peristiwa lagi.

Kita sendiri melihat betapa hebatnya nabi mencatur keperluan human resource dengan menggunakan kepakaran dan kemahiran sahabat-sahabat baginda secara optimum. Di zaman nabi, sahabat yang paling mempercayai nabi dan dipercayai nabi seperti saidina Abu Bakar as-siddiq bolehlah diibaratkan seperti setiausaha politik dan setiausaha peribadi kepada Nabi s.a.w atas kapasiti keikhlasan dan kepercayaannya kepada nabi yang tidak berbelah bahagi. Daya kepimpinan umar al-khattab yang bukan semata-mata berbakat dalam kepimpinan, malah berfikiran kritis dan tajam serta bolehlah dikategorikan sebagai antara kelompok "eksklusif" yang dibina khusus dan dipelihara nabi. Umar dipelihara oleh nabi dan tidak diizinkan turun dalam beberapa siri peperangan kerana beliau adalah "think-tank" yang sangat hebat dan dikhuatiri terbunuh dalam peperangan. Umar Al-Khattab sangat memiliki idea-idea yang bernas, berfikiran kritis dan kadang-kala berani menyampaikan teguran ikhlas kepada nabi s.a.w sendiri.

Ada juga sahabat yang hebat dari sudut melaksanakan hubungan dan diplomasi sebagaimana uthman affan, maka kemahirannya dipergunakan sebaik mungkin dalam beberapa peristiwa diplomasi termasuklah dalam peristiwa al-Hudhaibiyyah sehingga tercetusnya peristiwa, Al-Fathul Makkah, pembukaan semula Makkah.

Selain itu, Saidina Ali yang sangat terkenal atas daya kepimpinan bercorak pemudanya selain berilmu tinggi dan bolehlah dianggap sebagai tokoh anak muda ketika itu yang tidak salah jika saya katakan, mahasiswa sepatutnya mencontohi sifat kepimpinan dan corak gerakan sebagaimana Ali abi Talib. Beliau punyai Idealisme kepemudaan yang digarapkan dengan keilmuan yakni intelektualisme yang tinggi. Gagah perkasa dari sudut jasadi,cerdas dan matang dalam berfikir serta sangat ilmiyyah dalam tutur bicara.

Selain itu, sejarah Islam menterjemahkan berbagai potensi sahabat-sahabat baginda seperti Sa'ad abi waqas, pemanah tepat yang tidak pernah tersasar dalam bidikannya dan berperanan besar dalam beberapa siri peperangan, perancang strategi perang seperti khalid al-walid, sahabat yang memiliki kepakaran dalam selok belok ilmu perniagaan dan sangat berperanan dalam penjanaan ekonomi ummat seperti Abdul Rahman 'Auf dan ramai lagi.

Kita melihat bagaimana 'usrah' baginda dengan para sahabat telah berjaya melahirkan kemantapan dari sudut penggilapan potensi yang sangat jitu, rapi dan dapat dipergunakan secara optimum. Penyusunannya dilakukan oleh Nabi s.a.w. sendiri menunjukkan betapa hebatnya baginda yang dipandu oleh wahyu dalam penyusunan HR serta menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua.

Read more...

Thursday, July 16, 2009

Tahniah GAMIS atas Penganjuran Ko-Spin'09

Gamis tubuh sekretariat rejuvenasi pendidikan Islam

sumber:Malaysiakini
Kuala Lumpur 14 Julai 08:02a.m│Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan berusaha untuk mengintegrasikan pendidikan Islam kepada bukan Islam dan memperjuangkan Islam dalam sistem pendidikan supaya tidak dilihat sebagai subjek semata-mata.

Perkara tersebut adalah antara cadangan gerak kerja sekretariat bertindak rejuvenasi sistem pendidikan Islam di Malaysia yang bakal dibentuk.

Pembentukan sekretariat tersebut merupakan resolusi yang diputuskan dalam kongres pertama rejuvenasi sistem pendidikan Islam negara (Ko-Spin), Sabtu lalu di Auditorium Muzium Shah Alam, Shah Alam.


Pengarah Ko-Spin, Siti Nurul Munawirah Mohamad Roslan berkata, pihaknya tidak mahu Islam itu dilihat bersifat eksklusif, yang khusus untuk orang Islam sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya mahu Islam dilihat sebagai agama yang bersifat inklusif.

“Ciri-ciri Islam dapat disebarkan kepada bukan Islam, dengan menyatakan bahawa Islam itu syumul, agar mereka tidak prejudis kepada Islam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Siti Nurul Munawirah yang juga setiausaha agung Gamis berkata, kongres sehari itu dihadiri kira-kira 400 peserta termasuk wakil NGO seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Katanya, seorang peserta tunggal bukan Islam yang hadir, memuji penganjuran kongres tersebut bagi membolehkan beliau mengenali Islam dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata, peserta tersebut daripada salah sebuah institusi perguruan berpendapat pendidikan dalam Islam dapat mesejahterakan manusia yang turut mementingkan jasmani, emosi dan intelektual.

Lantik Prof Naquib penasihat

Dalam perkembangan berkaitan, sekretariat yang bakal dibentuk itu akan bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkasakan sistem pendidikan dan memartabatkan profesion perguruan.

“Kita mahu penyerapan kaedah-keadah dalam Islam yang mementingkan kajian dan tidak hanya mementingkan hanya buku teks (menghafal) dan meluahkannya dalam peperiksaan,” katanya.

Katanya, Gamis juga diminta untuk bertemu dengan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Sidek Baba bagi mendapatkan modul sistem pendidikan Islam dalam usaha untuk membina identiti dan sahsiah serta membangunkan modal insan.

Dalam usaha untuk memantapkan sekretariat tersebut, Siti Nurul Munawirah berkata, Gamis berhasrat melantik tokoh intelektual, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai penasihatnya.

Katanya, ini kerana tokoh tersebut adalah tokoh pemikir Islam yang amat disegani di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

“Amat rugi kalau beliau dipuji di luar (negara) tetapi kita tidak melantiknya sebagai penasihat,” katanya.

Menurutnya, beberapa NGO telah menyatakan kesediaan mereka untuk berkerjasama dengan sekretariat tersebut, antaranya, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Syura) dan Teras Keupayaan Melayu (Teras).-malaysiakini

Read more...

Monday, July 13, 2009

Tolong Kaji Kenyataan Ini...Amalan "Politic of Fear" berterusan



Kenyataan TPM ini sangatlah melukakan hati kami anak-anak muda dan jelas membuktikan bahawa Kelantan khususnya di kawasan Manek Urai telah dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat yang kononnya selepas menang nanti ingin menjadikan manek urai sebagai "anak angkat" Kerajaan Pusat. Kezaliman dan diskriminasi menyebabkan Kerajaan Pusat terlupa bahawa Manek Urai adalah anaknya sendiri. Kalau saya menjadi penduduk di Manek Urai, saya pasti terkilan dengan kenyataan ini. Sudahlah Royalti Petroleum dinafikan kepada Kelantan yang menjejaskan sumber pendapat kerajaan negeri dan menafikan hak rakyat. Saya amat mengharapkan Allah memenangkan kaum yang ditindas.





Read more...

Sunday, July 5, 2009

Kenyataan GMUKM respon terhadap TNC UM

Bangi 2 Julai 02.45p.m│Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyifatkan kenyataan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Datuk Prof. Madya Dr. Azarae Hj. Idris di dalam akhbar Sinar Harian hari ini bahawa dua mahasiswa kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ perlu diadili di bawah AUKU adalah satu bentuk pencabulan hak asasi yang serius.

Pengerusinya, Hishamuddin Che Ali menyifatkan cadangan itu tidak berasas dan zalim kerana apabila seseorang dituduh di bawah kesalahan Kanun Keseksaan, ia mestilah diadili oleh undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang Universiti.

Katanya merujuk kepada pendakwaan ke atas Mohd Izzudidn Hilmi dan Mohd Syahruldin Rosli atas tuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan, melakukan khianat dengan menggunakan api di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan serta kesalahan menconteng dinding dewan utama fakulti itu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan ketiga-ketiga kesalahan dengan hukuman penjara maksimum atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Kalau kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, jelas Perkara 7 (2) Undang-undang tertinggi itu tidak membenarkan seseorang individu dijatuhkan hukuman untuk kali kedua atas kesalahan serupa,”tambah beliau lagi.

Katanya tindakan pihak Universiti untuk membawa kes itu di bawah tatatertib AUKU adalah salah dan bersifat double jeorpardy atau hukuman dua kali untuk kesalahan yang sama.

“TNC HEP perlu sedar bahawa tindakan pihak universiti membuat laporan polis telah menyebabkan kes itu diadili di bawah undang-undang jenayah dan bukannya tatatertib di bawah peruntukan seksyen 10 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan) 2008 yang melibatkan kesalahan bukan melibatkan tahanan pencegahan atau keselamatan dalam negeri.

“Inilah sebabnya AUKU walaupun dipinda beratus kali pun, ia perlu dimansuhkasn kerana ia sudah tidak relevan dan menimbulkan kecelaruan undang-undang”, tegasnya.

Tambahnya lagi bahawa belum tentu jawatankuasa tatatertib universiti bersifat bebas kerana pembuat keputusan serta pendakwaraya adalah orang sama dan keberangkalian untuk berlaku adil adalah mustahil.

“Biarlah dua mahasiswa terbabit diadili di mahkamah terbuka dengan syarat badan kehakiman bebas daripada campurtangan pihak tertentu dan mahasiswa perlu bangkit jika tindakan mengadili kesalahan sama dilakukan di bawah tindakan tatatertib”, ujarnya.

Beliau turut mencadangkan Karpal Singh mewakili dua mahasiswa terbabit atas pengalaman dan kemahiran peguam itu dalam mengendalikan kes-kes jenayah.

Mengulas mengenai isu OKT yang ditahan buat kali pertama bermula 24 hingga pagi 30 Jun atas tuduhan tidak mempamerkan plat motosikal di bawah Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,beliau menyatakan bahawa ia adalah satu prosedur pentidak sah.

“Apa-apa kesalahan kecil yang diperuntukkan di bawah pihak pengurusan Universiti secara jelas tidak boleh dibawa kepada kes polis kecuali atas arahan pentadbiran dan nasihat mahkamah university dan dalam kes ini, jelas mahasiswa terbabit dianiayai”, ujarnya.

Mengenai kebimbangan ramai pihak bahawa dua mahasiswa terbabit akan digantung pengajian, beliau menyatakan ia adalah bergantung kepada budi bicara Naib Canselor dan keputusan itu perlu dibuat selepas mahkamah selesai membuat penghakiman.

“Sememangnya wujud dalam peruntukkan Seksyen 12 (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan) 2008 yang memberikan budi bicara kepada Naib Canselor untuk memutuskan sama ada penggantungan seseorang pelajar yang dituduh atas suatu kesalahan jenayah dilakukan tetapi saya melihat ia adalah satu ketidakadilan jika dua mahasiswa terbabit digantung sebelum dibuktikan bersalah”, ujarnya.

Tambahnya lagi bahawa mahasiswa perlu berani menongkah arus dan melihat kes ini dan hukuman ke atas 5 mahasiswa pada 13 Jun lalu yang terlibat dalam perhimpunan anti-ISA adalah lebih kepada konspirasi untuk menakutkan mahasiswa agar terus meniskus walaupun terus dizalimi.-mahasiswakini

Read more...

Conteng Dinding anti-Rosmah di UM : Tindakan Membelakangkan Keputusan Jamaah?

Dipetik dari : Zainulfaqar Yaakob

WALAUPUN Perang Badar berakhir dan Sahabat r.a.hum sudah pulang ke Madinah, masih kedengaran sikap-sikap perlawanan oleh beberapa pihak yang sejak dari awal memusuhi Islam dan zalim.



Antaranya, Ashma’ binti Marwan masih memberi motivasi kepada Yazid bin Zaid al-Khuthami.



Wanita itu memang benci kepada peribadi Rasulullah s.a..w serta memperkecilkan usaha dakwah umat Islam dengan syair-syair jahili.



Sikap kedua-dua penzalim itu sampai pada pengetahuan salah seorang Sahabat r.ahu, Umair bin Adi al-Khuthami.




Sahabat r.a itu bertekad untuk membunuh wanita zalim itu pada malam hari, sesudah sampai di Madinah.



Sahabat itu menyusup masuk ke dalam rumah Ashma’ dengan menyembunyikan pedang di dalam bajunya, lalu menusuk dari dada Ashma’ hingga ke punggung Si Perempuan Zalim itu.



Selepas selesai, Umair terus menyertai solat berjamaah bersama Rasulullah s.a.w.



Selepas selesainya solat, Rasulullah s.a.w melihat peribadi Umair lalu berbisik:

“Adakah kamu telah membunuh puteri Marwan (iaitu Ashma’)?”

Jawab Umair kepada Rasulullah s.a.w:

“Benar, wahai Rasulullah s.a.w…”

Sabda Rasulullah s.a.w lagi:

“Kamu telah menolong (berjihad kepada) Allah dan Rasul-Nya, wahai Umair…”

Tanya Umair lagi:

“Apakah ada sesuatu yang perlu saya tunaikan (dam atau diat) kerana telah membunuhnya (Ashma’ bin Marwan), wahai Rasulullah s.a.w?”

Qias (perumpamaan) demikian diberikan oleh Rasulullah s..a.w:

“Tidak ada dua kambing yang saling menanduk kerananya…”

Lalu Rasulullah s.a.w berpaling kepada Sahabat r.a.hum yang lain; yang sedang melihat perbualan baginda dengan Umair, lalu bersabda:

“Jika kalian suka melihat seseorang yang memberi pembelaan kepada Allah dan Rasul-Nya secara diam-diam, lihatlah Umair bin Adi…”

Lalu bersuara Umar al-Khattab r.a yang kebetulan ada bersama Rasulullah s.a.w:

“Lihatlah orang buta yang menjual dirinya demi ketaatannya kepada Allah ta’ala…”

Tegur Rasulullah s.a.w kepada Umar al-Khattab r.a:-

“Kami jangan mengatakan dia buta, dia dapat melihat…”

Waktu Umair pulang ke rumahnya, Si Perempuan Zalim itu sedang dikebumikan oleh beberapa pemimpin.

Mereka bertanya kepada Umair:

“Woi Umair! Adakah kamu yang pembunuhnya?”

Jawab Umair menbalas pertanyaan itu dengan berkata:

“Benar! Silakan kalian semua membuat jahat kepadaku. Jangan kalian tunda-tunda! Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, jika kalian semua mengucapkan sebagaimana yang diucapkannya (Si Pezalim Wanita Ashma’ binti Marwan), akan aku tentang kalian semua dengan pedangku hingga aku mati atau aku yang membunuh kalian…”

Pada saat itu, Islam mendapat kemenangan di Khuthmah. Hassan memuji Umair bin Adi al-Khuthami.



Pembunuhan itu berlaku pada hari kelima terakhir bulan Ramadhan, tahun Perang Badar.



Tetapnya, pada bulan ke-19 selepas Hijrah Rasulullah s.a.w.



Demikian kisah Sahabat terpuji bernama Umair bin ‘Adi, dipetik dari Manhaj Haraki li as-Siratun an-Nabawiyyah (I).



Lebih jelas, jika dirujuk terus kepada al-Maqrizi di Imta’ul Amma’ [I/102-102].



Walaupun Sahabat r.a ini melaksanakan sesuatu diluar pengetahuan/ arahan Rasulullah s.a.w, selagi tindakan itu adalah menentang musuh serta Si Penzalim, maka ianya tetap ‘adil di sisi Allah s.a.w.



Sebab itu, Rasulullah s.a.w memuji peribadi Umair bin Adi al-Khuthami sebagai yang disebut di atas.



Tentunya, pujian Rasulullah s.a.w itu jugalah adalah pujian Allah s.a.w. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan (sesungguhnya) tiadalah yang diucapkannya itu (iaitu al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain kecuali wahyu yang diwahyukan kepadanya (Nabi Muhammad s.a.w).. [53:3-4]

Sebab itu jugalah, Umar al-Khattab memuji anak muda itu, walaupun dia dikenali sebagai Si Buta..



Ucapan Umair bin Adi kepada pemimpin-pemimpin zalim di perkuburan Ashma’ bin Marwan mengingatkan saya kepada sepotong ayat al-Quran yang lain, yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang Mukminm diri serta harta mereka dengan mahar syurga kepada mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu (ada dalam kalangan) mereka membunuh dan terbunuh. (Iaitu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurah, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji-janjinya (selain) daripada Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar…”

Mendengar beberapa sindiran segelintir mantan pimpinan PMiUM, saya menjadi jelik dan takut kepada Allah.



Bukan peribadi mereka yang saya benci. Antara dalam diri mereka yang jauh lebih berilmu dan saya (bekas ahli PMiUM), masih ada ikatan aqidah salimah dan ukhwah Islamiyyah.



Saya benci dengan sindiran-sindiran yang liar dari ‘mulut jahil’ mereka itu kepada adik-adik aktivis Islam di kampus Universiti Malaya.



Saya bencikan sindiran-sindiran mereka yang terbabit selepas membaca potongan firman Allah di bawah ini:

“Orang-orang yang mengatakan kepada sanak-saudaranya dan (sedangkan) mereka tidak pergi berperang: ’sekiranya mereka mengikuti kita, tentu mereka tidak terbunuh’. Katakanlah: ‘Tolaklah kematian itu daripada dirimu, jika kamu orang-orang yang benar…” [3:168]

Meneladani sikap Umar al-Khattab memuji Umair bin Adi, sejurus Rasulullah s.a.w memuji tindakan Si Buta itu; walaupun tindakannya itu tidak diberitahu kepada Rasulullah s..a.w terlebih dahulu sebelum membunuh Si Perempuan Zalim Ashma’ bin Marwan itu; membuatkan saya terpaksa memuji tindakan-tindakan adik itu.

Ini pandangan saya:-

Tindakan aktivis-aktivis terbabit ada sandaran sunnah Rasulullah s.a.w.
Tidak memberitahu jamaah dibenarkan, sekiranya keputusan itu dilihat ‘tidak perlu’ diberitahu kepada jamaah.
Pihak yang mengatakan insiden itu sebagai ‘jamaah dalam jamaah’ ternyata tidak mendampingi sirah Rasulullah s.a.w dan ithar Sahabat r.a.hum.
Saya rela dan dan berani membuat pengakuan atas kebenaran tindakan adik-adik itu, walaupun mungkin mereka tidak terlebih dahulu mendapat pandangan mantan-mantan kepemimpinan PMiUM lepas @ Syura.



Semoga apa yang saya baca, dengar dan lihat berlaku dalam kalangan ahli syura PMiUM serta segelintir UKP, bukanlah suatu sindiran kepada aktivis-aktivis terbabit demi memuaskan hati mereka.



Semoga dalam fikrah mereka ini masih melihat dengan mata hati seperti Si Buta Umair bin Adi, bukannya hanya mementingkan ‘apa orang lain nak cakap tentang kita atau PMiUM.’



Semoga ayat-ayat kepentingan jihad yang ditintakan Allah s.w.t di dalam al-Quran al-Karim masih lagi ditiupkan dalam pembuluh darah mereka, setelah meninggalkan bumi tarbiyyah Universiti Malaya.



Semoga mereka mengambil ‘ibrah daripada sunnah agong Rasulullah s.a.w; yang saya singgungkan dalam posting ini.



Kalau lari dari tangkapan polis sekali pun 3 individu yang disyaki sebagaimana yang dilaporkan malaysiakini. com, apakah tindakan itu dikatakan tidak bertanggungjawab; atau bachul; atau tidak berlaku benar?



Sahabat-sahabatku yang berkata demikian, perlu terlebih dahulu memaki-hamun ashab al-kahfi yang lari dari kezaliman Si Penzalim Diqyanus.



Sahabat-sahabatku yang perkata demikian, perlu melihat juga sunnah agong Nabi Allah Ibrahim a.s, Nabi Shuib a.s, Nabi Zakaria a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan banyak lagi kisah-kisah lain yang boleh diambil ‘ibrah (pengajaran) .



Sesiapa di sini boleh mengatakan bahawa isteri Perdana Menteri Malaysia Datin Seri Rosmah Mansor seorang yang adil?



Sesiapa di sini boleh mengatakan bahawa kezaliman pemerintah tidak perlu lagi ditegur, walau dengan apa cara sekalipun asalkan masih berpijak atas ‘ibrah Sunnah Rasulullah s.a.w?



Persetankan anak muda lepasan kampus yang bacul dan senantiasa mencari alasan atas wazan emosi, akademik, senior-senior dan sebagainya.

Dalam kekecamukan itu, Alhamdulillah… masih ada yang memberi simpati dan doa.

Kegelisahan yang sedang menghimpit Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) Universiti Malaya, masih ada yang memberi inzar, nusrah serta doa. Antaranya:

“nak tanya…. ana ni x pandai sirah2 ni…. mcm mana nak bagi sumbangan kat adik2 ni yer. teringat masa kena tumbuk dulu… mcm ni gak, yang bagi sumbangan mulut banyak, dah ada gaji yang sikit ni rasa boleh bagi untuk ringankan beban adik2 ni… tolonglah fahami perasaan mereka…..< SAYANGILAH MEREKA DARIPADA PERUT ANDA>… [Muhammad Raqi bn Shafien, 25]

Saya pernah mendampinginya waktu menentang hegemoni zalim pemerintah di Universiti dan Malaysia.

Saya selalu diberitahu bahawa kami, ahli-ahli biasa PMiUM ini adalah khadam (hamba) kepada perjuangan Islam PMiUM. Dia juga selalu berkata demikian.

Dalam jiwa saya masih menerima muwajahah silmiyyah sebagaimana yang diijtihadkan oleh ulama’-ulama’ kita yang memperjuangkan Islam melalui pentas politik demokrasi di Malaysia.



Namun, saya tidak boleh/pernah menolak segala sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana yang disinggungkan di atas ini.



Selebihnya…. LAWAN TETAP LAWAN!




al-faqir ila Allah,

Zainulfaqar Yaacob al-Mashoori
bekas ahli biasa PMiUM (T35)

Read more...

Friday, July 3, 2009

Manusia Sering Begitu

Apalah nasib malang yang menimpa sahabatku. Aku sangat sedih mengenangkan nasib yang menimpamu. Aku tak mampu memahami keadaanmu lebih dari apa yang engkau sendiri rasai. namun, aku juga selalu memikirkan bagaimanalah jika aku yang berada ditempatmu. Pasti tak tertahankan apa yang menimpa. Aku pasti tewas lebih awal barangkali. Satu yang aku kagumi terhadapmu, kau seorang yang masih mampu bertahan.

Wahai sahabat, Aku tak mampu membantu engkau lebih dari hanya sekadar memberikan nasihat. Nasihatku ini pula, hanyalah sekadar kata-kata yang boleh hilang bila-bila masa saja dari kotak ingatanmu. Aku pula bukan siapa-siapa untuk engkau ambil kata-kataku ini dan digenggam jadikan suatu azimat berharga lalu membantumu. Namun, bagi menenangkan jiwamu buat sementara waktu ini. Itu sahaja yang aku mampu berikan secara zahirnya kepadamu.

Wahai sahabat, aku mengharapkan dikau tabah dan ikhlas dalam berjuang. Syarat berjuang memang begitu. Di samping aku juga turut berdoa dan mengharapkan dikau tidak mudah patah semangat. Berjiwa besarlah dalam menghadapi ujian dan cacian manusia, ditohmah dan dinista saudara-saudaramu sendiri, yang dulunya pernah berikrar sehidup semati tetapi hakikatnya mereka tidak pernah mengerti keadaan dirimu yang sebenarnya dan sering mengungkapkan kata-kata yang mereka sendiri tidak tahu berkaitan dirimu. Hanya prasangka mereka terhadapmu. Aku yakin, Tuhan Maha Mengerti situasi dan keadaan yang melanda dirimu. Apapun, maafkanlah juga mereka, sesungguhnya mereka berkata begitu kerana mereka tidak tahu.

Wahai sahabat...Engkau adalah hamba-Nya, serahkanlah semula segala apa yang engkau rasa kepada pemilik hati mu itu. sesungguhnya, Itulah jalan yang terbaik bagi menenangkan semula hatimu. Aku sangat mengharapkan engaku terus bertahan dan usah beralah dengan cabaran yang mendatang. tetapi, seandainya engkau mengambil keputusan untuk berundur jua, aku tidak mampu berkata apa-apa. Kerana aku sangat memahamimu. Aku tidak akan betah dan pertahankan lagi. Mungkin itu yang terbaik bagimu dan aku menghormati keputusanmu. Cuma satu kuharapkan, walaupun engkau mengundurkan diri dari taklifan dan jawatan, jangan sesekali engkau undurkan diri dari perjuangan. Andai kau undur dari perjuangan mungkin aku juga bukan lagi sahabat setiamu.

Teruskan berjuang dan bersabarlah menghadapi mehnah ujian dari Allah, wahai sahabatku...Aku sangat mencemburuimu kerana tidak terpilih untuk menerima ujian sebesar yang engkau tempuhi kini...

Read more...

Thursday, July 2, 2009

Kempen Bulan Rejab Bulan Sembahyang...Solat Tiang Agama






Read more...

Tok Guru vs Najib...Ust Nasrudin vs Khairy?

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam transformasi minda kemahasiswaan.

Saya amat tertarik dengan isu yang berlaku kini yang pastinya bakal merubah landskap dan bentuk politik dalam negara seandainya ia betul-betul berlaku kelak. Semalam Ketua Pemuda PAS yang baru, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi telah menghantar surat pelawaan untuk 'mujadalah',berdebat atau berwacana dengan UMNO yang disampaikannya sendiri di lobi Parlimen kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang telah disambut baik oleh Dato' Razali Ibrahim serta Ketuanya Sendiri, Khairy Jamaluddin.





Bagi saya ia suatu perkembangan yang positif ke arah transformasi masyarakat sepenuhnya dan keterbukaan kedua-dua pihak dalam membincangkan, berdebat, berdiskusi amat dinilai oleh masyarakat. Beginilah yang saya nampak jiwa kepemudaan diserlahkan oleh kedua-dua pihak baik pihak yang mencabar mahupun pihak yang menyahut cabaran.

Sebelum dari itu, Menteri Besar Kelantan iaitu Tuan Guru Dato' Seri Nik Abdul Aziz B Nik Mat juga telah mengajak Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk berdebat dengannya berkenaan isu fundamental yang menjadi perbalahan diantara PAS dan UMNO.



Dalam ajakan ini, Dato' Seri Najib menolak pelawaan tersebut dan saya melihat ke'izzahan atau kewibawaan seorang pemimpin boleh tercalar sekiranya bersikap takut dan pengecut dalam menerima cabaran untuk bersemuka.

Perkara yang berlaku kini saya sangat melihat sebagai satu perkembangan positif ke arah membawa budaya intelektual ke dalam hati sanubari masyarakat seterusnya membolehkan masyarakat menilai kepelbagaian pandangan dan ketulusan hati para pemimpin dalam menerajui negara.

Saya juga berpandangan bahawa diskusi ilmiyyah, intelectual Discourse sebegini wajar diperluaskan lagi skop perbincangannya bukan sekadar membincangkan isu yang menjadi pertikaian kedua pihak sahaja. Saya yakin, masyarakat khususnya mahasiswa juga ingin mengetahui apakah pandangan masing-masing dalam beberapa isu besar yang lain dan apakah hujah perbahasan kedua-dua pihak dalam mempertahankan pendirian masing-masing dalam sesuatu isu.

Saya juga menyeru kepada aktivis dan gerakan mahasiswa khususnya, selaku pelopor dalam bidang keintelektualan dan menjadi anatara denyut nadi masyarakat di kampus agar dapat bersama mewujudkan dan memperkasa budaya ilmu seperti diskusi, debat dan forum sama ada dilakukan sesama persatuan, kelab-kelab mahasiswa ataupun bersama pihak lain di dalam Universiti sebagai langkah memperkasakan lagi budaya intelektualisme mahasiswa.

Saya yakin, mahasiswa kini sangat mempunyai idealisme yang tinggi dan bukan lagi bercakap kosong dalam sesuatu isu. Mereka wajar diberikan tempat dan ruang untuk bersuara ketika masih bergelar mahasiswa.

Saya juga mengharapkan pihak pentadbiran Universiti memberikan ruang yang seluasnya kepada kelompok-kelompok mahasiswa yang ingin mewujudkan budaya perbahasan ilmu sebegini di Universiti masing-masing.

Sebelu saya berundur, berikut adalah surat pelawaan berwacana dari Ketua Pemuda PAS kepada Pergerakan Pemuda UMNO tersebut:

Yb. Sdra Khairi Jamaludin

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Tingkat 28 , Menara Dato' Onn
Jalan Tun Ismail 50480 Kuala Lumpur .
Saudara Yb.

WACANA ILMIAH TERBUKA :

BENARKAH PERJUANGAN UMNO TIDAK BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Perkara diatas adalah dirujuk

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat dengan ini mengajak Yb sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mengadakan Wacana Ilmiah Terbuka mengenai isu yang tercetus mutakhir ini berkait dengan perjuangan UMNO , benarkah ia tidak bertentangan dengan Islam .

Saya mencadangkan kepada pihak Yb. untuk kita berbincang secara terbuka dengan mengemukakan 4 [ empat ] wakil daripada Pemuda UMNO dan 4 [ empat ] wakil daripada pemuda PAS .

Saya menyerahkan pemilihan tarikh , tempat dan masa yang sesuai kepada pihak Yb. dan mencadangkan supaya ianya diadakan langsung di mana - mana saluran televisyen .

Saya berharap Yb. dapat memberikan jawapan dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini .

Sekian Terima Kasih

Yang Menjalankan Amanah

Nasrudin bin Hj. Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .

s.k ; Setiausaha Agung PAS

Read more...

Wednesday, July 1, 2009

Shoutul Harakah - Cita Pemuda (New Version)





Read more...

Sunday, June 28, 2009

Revolusi Mahasiswa & Politik Baru Malaysia (Kertas Kerja YDP MPMUM)


REVOLUSI MAHASISWA & POLITIK BARU MALAYSIA

sumber dari : Mohd Ridzuan Mohammmad

KERTAS KERJA INI DIBENTANGKAN SEMASA KONVENSYEN KEBANGSAAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) 2009 DI UNIVERSITI TUN HUSSAIN ONN MALAYSIA (UTHM) PADA 15-20hb MEI 2009

ABSTRACT
This paper was carried out to expound around issues on leadership’s revolution and New-Politics of Malaysia according student’s perspective. The studied focus on the leadership and its contribution that has been done by the students of University of Malaya from many aspects such to maintain the beauty of democracy-liberal-relative until Malaysian Neo-Politic in Malaysia nowadays. Through out this paper, we will explore how effective the University Malaya student’s revolusioner in encouraging the new Malaysian political culture. [mahasiswa, politik baru, revolusi, new politic]


Pendahuluan

Dalam siri-siri wacana kemahasiswaan Malaysia, istilah “revolusi” hampir tidak ditemukan. Berbeza oleh “evolusi” yang merujuk kepada proses pembentukan atau perubahan secara beransur-ansur. Revolusi pula menghasilkan perubahan secara cepat dan mendadak. Revolusi yang sebenar berpunca oleh perubahan asas pemikiran dan sistem yang mendasari sesuatu. Revolusi terjadi ekoran perencanaan dan dan tindakan segelintir individu/kepemimpinan ke arah perubahan tersebut.

Begitu juga dengan ‘politik baru’. Terminologi politik baru jua sudah lama dibincangkan secara sedar atau sebaliknya oleh kaum pemikir sebelum ini. ‘Politik Baru’ terhasil ekoran wujudnya permusuhan antara amalan berpolitik generasi baru yang mungkin mahasiswa sendiri dan kepemimpinan atau amalan politik yang sedia ada – sehingga disebut-sebut sebagai ‘politik baru’.

Oleh kerana Malaysia sendiri secara tabi’enya mengalami pelbagai perubahan – dari era kesultanan Melayu-Islam pada kolonialisme; kemudiannya era kemerdekaan sehinggalah era demokrasi liberal retatif sekarang ini; maka sudah tentu paradigma dan budaya kepolitikan masyarakat di dalamnya juga berubah-ubah.

Kepemimpinan mahasiswa Malaysia juga begitu; tidak terlepas dari menempuhi perubahan-perubahan tersebut yang akhirnya dirumuskan sebagai ‘politik baru’ dalam satu-satu periodisasi massa.Dalam kertas kerja ini, Penulis akan mengupas persoalan kepemimpinan mahasiswa sehinggalah budaya ‘politik baru’ sedang wujud belakangan ini.

REVOLUSI KEPEMIMPINAN DAN BENTUK-BENTUK ‘POLITIK BARU’

Sejak era kolonialisme sehingga era demokrasi berparlimen, sama ada suka atau tidak, telah banyak mengubah warna pemikiran dan rentak sikap kepemimpinan mahasiswa Malaysia sendiri. Boleh jadi bukan sahaja mahasiswa tidak wujud, malah mungkin tidak berperanan sejak awal era kemerdekaan negara, sekiranya tidak ada institusi pengajian tinggi tempatan sendiri.
Kalau boleh dikongsi tentang sejarah kepemimpinan mahasiswa di Malaysia sendiri, Universiti Malaya di Singapura (kini dikenali Universiti Kebangsaan Singapura) adalah antara pentas awal yang menyaksikan aksi revolusi kepemimpinan dan banyak mewarnai lanskap politik Malaysia akhirnya.

Era 1950an sehingga pertengahan era 1960an menyaksikan kepemimpinan mahasiswa banyak dipengaruhi oleh idea anti-kolonialisme. Kelab Sosialis Universiti Malaya (KSUM) merupakan antara kelompok pendesak (pressure group) yang lantang berdepan dengan pemerintah.
Bukan tidak ada pertubuhan lain di Universiti. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah ada.

Namun, yang menarik – kelantangan KSUM tersebut tidak disemak imbang oleh pertubuhan-pertubuhan lain secara serius dan konsistan. Akhirnya, KSUM dilihat dominan pada jendela ukur politik pemerintah walaupun sebenarnya KSUM hanya dianggotai oleh sebilangan kecil sahaja mahasiswa.

Dari segi lain, kelompok itu turut dilihat berpegang kuat dengan idea faham sosialisme sebagaimana beberapa parti politik pada waktu itu. Akhirnya, kelompok itu turut dilabelkan anti-establishment atau dalam ungkapan semasa kini – agen/pro pembangkang.
Hakikat itu turut diakui sendiri beberapa ahli sarjana falsafah di Universiti Malaya sendiri. Menurut Prof. Emeritius Dr. Khoo Kay Kim (2005), perkembangan idea sosialis dalam kalangan mahasiswa pada ketika itu bertitik-tolak pada penentangan kuasa-kuasa kolonial di peringkat Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Malayan Democratic Union (MDU) (1945) , Pan-Malayan Labour Party (1952) dan Malaya Indian Congres (MIC) (1946) dilihat antara beberapa parti politik awal yang menggerakkan idea tersebut.

Selepas era tersebut, revolusi mahasiswa lebih terarus oleh nasionalisme Melayu dan kemudiannya nasionalisme Melayu-Islam.
PBMUM dilihat sebagai pemain utama pergerakan ketika itu kerana majoriti penuntut Universiti lebih cenderung pada pertubuhan itu.

Menurut Prof. Dr. Mohammad Abu Bakar, fenomena itu berlaku ekoran kebanjiran masuk etnik Melayu-Islam bermula pada tahun 1962; di mana mereka ini telahpun melihat sendiri kemunduran ummat ketika menjadi pendidik di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Dari tahun 1965 sehinggalah tahun 1974, demontrasi Papan Tanda sehinggalah beberapa konvensyen kebudayaan nasional, bahasa Melayu dan kemiskinan rakyat merupakan antara respon mahasiswa terhadap sikap-sikap pemerintah.

Aksi-aksi ini jugalah menjadi pemangkin (catalyst) pada wujudnya Akta Bahasa Kebangsaan (1963, pindaan 1967/71); Dasar Kebudayaan Nasional (1967) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannya di peringkat nasional.

Sesuatu yang menarik, walaupun revolusi mahasiswa terarus oleh idea faham nasionalisme Melayu, namun mereka tetap tidak bersekongkol dengan kaum pemerintah yang secara asasnya menganut kepercayaan yang sama.

Banyak penulis menggambarkan bahawa revolusi gerakan mahasiswa Islam yang berlaku di Universiti Kabul, Afghanistan bermula pada tahun 1972 dan kemudiannya revolusi Islam di Iran
pada 1979 banyak mewarnai pergerakan mahasiswa di Malaysia.

Di kebanyakan kampus utama turut mengalami fenomena yang sama – iaitu lahirnya ‘Islamic Group’. Di Universiti Malaya sendiri, antara Sdr. Siddiq Fadhil melalui PMIUM merupakan antara pemain utama yang sedaya upaya membawa mahasiswa Islam keluar dari idea faham nasionalis-Islamic kepada idea faham Islam yang hakiki.

Tanpa menafikan kewujudkan kepemimpinan mahasiswa nasionalis-Melayu dan sebagainya, menjaukau sedekad juga didapati idea faham Islam berkembang subur dan bernadi dalam gerakan mahasiswa di Malaysia.

Isu hak asasi, politik kepartaian, perundangan, autonomi serta kebejatan nilai mewarnai pergerakan mahasiswa. Pelbagai aksi revolusi boleh dilihat dalam pergerakan mahasiswa secara sedar atau tidak.

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (kini Se-Malaysia / GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GPMS) merupakan antara pemain penting yang mewarnai gerakan pada waktu itu.
Masing-masing lebih mementingkan soal keluhuran semula nilai keadilan dalam negara. Masing-masing lebih mementingkan peranan generasi mahasiswa dan anak muda secara amnya untuk merobah nilai pemerintahan yang dilihat tidak selari dengan naluri mereka.

Akhirnya, didapati seolah-olah wujudnya asimilasi idea faham antara pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang plural itu. Soal keagamaan, status quo Melayu nasional, etniksiti bukan lagi menjadi halangan utama untuk masing-masing perperanan secara kolektif dan sepadu.

KAREKTORISTIK MAHASISWA DAN WAJAH POLITIK BARU MALAYSIA

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kepemimpinan mahasiswa serta aksi revolusi masing-masing sekarang ini banyak dipengaruhi oleh suatu kepercayaan baru; yang kalau boleh disebut-sebut sebagai demokrasi liberal relatif.

Kepercayaan baru ini boleh dilihat sendiri secara langsung dalam kepemimpinan mahasiswa dan boleh juga dilihat secara simplistik dalam wajah pemikiran rakyat muda Malaysia. Apa sebenarnya kepercayaan demokrasi liberal relatif yang dituntaskan sebagai wajah politik baru Malaysia?

Berdasarkan pada observarsi rawak Penulis, antara karektoristik pemimpin-pemimpin mahasiswa nasional dan dogma rakyat muda yang sedang wujud secara revolusi dan tabi’e belakangan ini adalah:-

1. menganut idea faham politic of hope hatta dengan tersendirinya memusuhi politic of fear ciptaan pemerintah. Contoh, penyalahgunaan AUKU, ISA dll; ugutan, fitnah dan penindasan.

2. Kepemimpinan yang mempunyai kebolehan mengakses dan mengupaya dunia maklumat secara bebas, cepat dan sahih. Contoh, budaya blog, website, portal, flyers, akhbar dll.

3. Kepemimpinan yang mengamalkan politik budiman, jauhari, integriti; hatta menolak politik lama amalan pemerintah – perkauman sempit, Governence always know-all, politik wang (rasuah) dll.

4. Kepemimpinan yang tidak mahu diikat dengan mana-mana fraksi kekuasaan, parti-parti politik (sama ada pemerintah atau oposisis), namun mahu menyertai politik nasional dalam rupa perayaan demokrasi dan hak asasi semata-mata.

5. Kepemimpinan yang menganggap menjadi mahasiswa di Universiti sebagai profesyen profesional, popular dan eksklusif; hatta menganggap pihak-pihak yang mengamalkan ‘politik kekuasaan’ (politic of power) sebagai musuh atau pesaing mereka.

Bertitik-tolak pada beberapa karektoristik di atas inilah, maka kaum pemerintah harus mencermati akar-akar revolusi yang sedang digemblingkan dalam kepemimpinan dan fikrah mahsiswa; bukan asyik dalam konseptual ‘lama’ – mahasiswa adalah agen pembangkang.

Aksi-aksi mahasiswa adalah natijah semata-mata. Kelahiran Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang mengambil keputusan nekad umpamanya – mencabar bekas Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi di Parlimen Kepala Batas dalam pilihanraya umum ke-12 lepas – malah mengkritik sikap-sikap ‘politik lama’ yang wujud dan segar dalam parti-parti oposisi (PAS, PKR dan DAP sendiri); seharusnya menuntut kaum pemerintah mengenal pasti apakah akar-akar permasalah serta revolusi mental yang harus dipacu bersama.

Kesimpulannya

Penulis secara peribadi yakin, kepercayaan demokrasi liberal relatif adalah sesuatu yang perlu dan benar menurut al-Quran sendiri. Sesungguhnya kepercayaan ini telah lama disinggungkan Allah di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Tanpa menafikan peranan dan kebaikan yang dilakukan oleh pemerintah dan pemimpin-pemimpin parti politik, Penulis menyeru semua pihak untuk menggalakkan al-Isti’mar atau kemakmuran (11:61), al-Istiklaf atau urus tadbir baik (24:55).

Renungkanlah kata-kata Bapak Mohamad Natsir, seorang tokoh cendikiawan Islam Nusantara yang hidup sezaman dengan Sukarno dan Hamka;

“ Bisa ada percetakan yang mampu mencetak mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah dan tutorial, tetapi tumbuh dari hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan-rakan seangkatan, lalu diangkat dan dijulang oleh ummat”

Wallahu ‘alam.

Read more...

Saturday, June 27, 2009

Terkenangkan Karya-Karyanya...Muhasabah diri dan Respon...


"Satu lagi gejala yang memburukkan shaksiyah Islamiah hari ini ialah menerima realiti dan tunduk kepadanya. Ini menjadikan natijah dan hasil semata-mata bergantung kepada apa yang ada, bukan apa yang sepatutnya (sewajibnya) berlaku. Oleh sebab itu pemuda Islam wajib ditarbiyyahkan dan dididik supaya bercita-cita tinggi atas kebenaran dan merasa mulia dari kebatilan. Mereka juga harus dididik supaya tidak menggadaikan haq kerana waqi' untuk membolehkan mereka melaksanakan Perubahan Islam yang dicita-citakan"(m.s 35, AsSyabab wa AtTaghyir(Generasi Muda & Perubahan)

Saya amat terkesan apabila mengkaji dan melihat semula penulisan-penulisan almarhum Syeikh Fathi Yakan. Entah bagaimana, tiba-tiba timbul di hati saya satu semangat untuk menelaah dan melihat kembali karya dan kata-kata tokoh ini setelah pemergian beliau baru-baru ini. Seingat saya, saya hanya sempat membaca beberapa buah sahaja karya dan cetusan pemikiran beliau. Antara yang sangat popular adalah "Apa Ertinya Saya Menganut Islam."

Terus terang lagi jujur saya katakan, saya amat banyak memiliki buku-buku hasil penulisan tokoh-tokoh besar gerakan Islam termasuklah buku-buku penulisan almarhum namun, apa yag sering berlaku adalah semangat yang berkobar-kobar ketika saat pertama mula-mula membelek karya-karya tersebut di kedai buku amat jarang ianya dapat diteruskan dalam pembacaan saya. Sering berlaku gejala "futur" ditengah jalan. Inilah salah satu sikap lama saya dahulu dan kini saya sangat berazam untuk melakukan perubahan dalam diri.

Bukanlah saya berniat untuk menceritakan apa-apa berkaitan beliau pada ketika ini namun, azam saya adalah untuk meneruskan sebanyak mana pun pembacaan saya terutamanya karya-karya beliau yang mesih belum sempat saya habiskan.

Keintelektualan dan keilmuan

Keintelektualan dan Keilmuan,itulah yang sangat-sangat diperlukan oleh anak muda seperti saya. Perlu memperbanyakkan pembacaan bagi menambahkan ilmu, mempraktikkannya agar sebati dengan jiwa lalu berkongsi mudah-mudahan menjadi manfaat buat masyarakat di sekeliling. Teringat sewaktu menjalani 'Taining of Trainer' (TOT) sebagai pembantu Minggu Haluan Siswa pagi tadi. Walaupun banyak juga perkara yang saya sangat tidak berpuas hati dengan cara pengisiannya yang pada saya sangat stereotaip dan sangat tidak membentuk jiwa kemahasiswaan yang berani dan suka mencabar namun, ada juga beberapa manfaat yang dapat saya refresh semula dalam diri. Salah satunya iaitulah berkaitan mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri.

Saya amat tidak kisah apa sahaja orang akan katakan kepada saya. Sebab, salah satu kekuatan saya adalah boleh menerima apa sahaja kritikan kawan dan lawan. Meskipun kadang-kala beremosi juga saya ni sebenarnya. Antara teguran yang selalu saya terima adalah, saya amat kuat berangan, suka sangat memikirkan masalah, suka merapu-rapu, tak relevan dalam bagi pandangan, Malas buat kerja tapi bercakap bukan main lagi. Fuh, kadang-kala pedih juga mendengarnya dan maaflah, sebenarnya ada lagi yang saya rasa perlu di'sir'kan. Cukuplah saya seorang sahaja yang memuhasabahnya sendirian. =)

Namun, dalam entri kali ini ingin juga saya sentuh beberapa pandangan orang terhadap saya. Seronok juga sebenarnya =)

Saya selalu mengatakan pada diri saya, usah takut mencabar status quo dalam diri sendiri hatta dalam masyarakat sekali pun. Tapi dalam masa yang sama perlukan juga keterbukaan dalam menerima pandangan orang lain yang bertentangan dan kritikan pedas orang lain kerana itulah sebenarnya makanan asasi para ulama'. Budaya pendekatan secara ilmiyyah,akademik dan intelektual. Saya bukan mengatakan saya ulama',namun itulah tarbiyah dari nabi dan menjadi pakaian ulama' yang seharusnya juga menjadi pakaian saya sebagai seorang mahasiswa. Mahasiswa ialah satu golongan yang berani mencabar tapi dalam masa yang sama belajar.

Ukhuwwah dan Persaudaraan

Perkara yang sering juga dikritikkan terhadap saya adalah dalam soal berkaitan keperibadian diri saya. Saya ini dilihat sangat 'tidak tsiqoh' dan 'tiada 'Izzah' ketika bersama dengan sahabat-sahabat saya. Suka ketawa,senyum-senyum ketika meeting, hantar sms ada smiley,YM,selalu hantar email dan banyak beri komen dalam YahooGroups dan lain-lain lagi. Dalam satu keadaan, saya amat suka dan terpaksa merespon kepada kenyataan-kenyataan dari sahabat-sahabat saya tersebut agar ia dapat memperbetulkan segala kesalahtanggapan mereka terhadap pembawaan saya dan perlahan-lahan memecahkan paradigma mereka.

Saya akui perkara ini hanyalah persoalan remeh namun, suka untuk saya memecahkan perkara yang berkaitan dengan paradigma dan pemikiran. Kita lahir dalam satu golongan yang telah terbiasa dengan sesuatu keadaan sehingga apabila melihat perkara bertentangan dengannya adalah salah meskipun tidak berdosa.

Pertamanya, saya sering terfikir kenapakah manusia sentiasa bersikap suka mencari kesalahan orang 'atasan' sehinggakan soal-soal kecil yang tak merosakkan syari'at mahupun aqidah juga dipertikaikan. Adakah 'training' yang diterima selama ini membuahkan jiwa-jiwa 'pembangkang' yang kuat dan membangkang setiap masa. Saya tinggalkan ia agar menjadi sesuatu yang akademik untuk dibincangkan. Pada saya, perkara berkaitan soal perbezaan pembawakan,keperibadian seseorang usahlah dimomokkan sangat. Saya tidak kisah kalau dalam soal yang melanggar syari'at lalu saya ditegur. Pemikiran yang salah juga mesti ditegur. Namun, dalam soal pembawakan, berilah peluang agar setiap individu membawa pembawakan mereka sendiri asalkan tidak melanggar ketetapan. Inilah kepelbagaian dan perbezaan yang sepatutnya diraikan Agar tidak lagi timbul isu kepimpinan dahulu buat itu, kepimpinan kini buat apa?

Soal tsiqoh atau tidak sering dibangkitkan sehingga membuahkan jiwa-jiwa retorik dalam gerakan. Terus terang saya katakan, seorang yang jiwanya "Happy Go Lucky" pasti tak akan lama bertahan berada dalam gerakan kerana masing-masing dengan sikap saling ingin menunjukkan 'Izzah masing-masing. Hilangnya bunga-bunga kemesraan dan ukhuwwah sesama ahli gerakan kerana egoistik yang disemai. Maka, tidak hairanlah kenapa ukhuwwah hanya di mulut menjadi ungkitan bila mana diri dalam kesusahan. "Mana sahabat-sahabat, tak tolong pon aku dalam kesusahan, katanya ukhuwwah." Buka minda,fikir-fikirkan...Siapalah yang akan tolong dengan orang yang sentiasa nak tunjukkan 'Izzah dan egonya pada orang lain.

Layakkah 'Izzah diletakkan pada sesama ahli gerakan?satu persoalan. Soal tsiqoh dibangkitkan yang sebenarnya adalah persoalan kewarakan. Muslimin 'huha-huha' tidak tsiqoh atau tidak wara'?Sekiranya tidak tsiqoh (saling mempercayai) bagaimanakah dia boleh bersama dengan gerakan dan ditempatkan sekeluarga dengan ahli gerakan bagi menumpahkan seluruh taat setianya pada jama'ah?

Apa yang disebutkan Al-Quran dalam surah Al-Ma'idah ayat 36 adalah jelas bahawa bersikap "Azillah" iaitu menonjolkan kasih sayang (menonjolkan ukhuwwah,berkongsi luahan rasa, saling menghiburkan antara satu sama lain dll)terhadap sesama mukmin,sahabat-sahabat seperjuangan. Terhadap musuh barulah tonjolkan 'Izzah (Kemegahan,Ego,Kekuatan dll).

Pesanan saya, jadilah diri sendiri dan buangkanlah segala lakonan dalam diri. Menjadi ahli gerakan yang retorik sangat bahaya kerana menunjukkan sikap tidak ikhlas dan tidak jujur pada diri. Didikan melalui pentarbiyyahan tidak semestinya melahirkan 'amilin yang serius setiap masa dan ketika sehingga tiada langsung kenikmatan air muka yang manis yang boleh dirasai oleh orang lain darinya. Bahkan itu sebenarnya adalah kegagalan tarbiyyah kerana tidak dapat mendidik hatinya berlembut dalam sesetengah keadaan.

Saya sempat berbual bersama seorang sahabat baik saya yang pada saya, dia merupakan seorang 'tokoh' JIM yang agak hebat juga di UTHM. Dalam perbualan tersebut satu titik pertemuan antara kami adalah, sebagai pendakwah kita bukanlah penghukum dan janganlah menjadi golongan yang terlalu 'Fiqh' sehingga mengabaikan elemen 'tasauf' serta jangan pula terlalu 'tasauf' sehingga mengabaikan 'fiqh'.

Read more...

Tuesday, June 16, 2009

Respon UTHM terhadap isu Diploma Pendidikan KUiTTHO tak diiktiraf JPA

Diploma UTHM diiktiraf JPA
Sumber:Berita Harian

MERUJUK aduan pengadu 'MIS', Johor Bahru bertajuk 'Status Diploma KUiTTHO dipersoal' yang disiarkan pada 11 Jun lalu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) ingin mengesahkan bahawa semua program diploma yang ditawarkan, termasuk Diploma Kejuruteraan Elektrik serta Pendidikan seperti aduan sudah mendapat pengiktirafan kelayakan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) melalui surat bertarikh 20 November 2006.

Program itu setaraf Diploma Kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang lain bagi maksud lantikan ke jawatan bersesuaian dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Pengesahan pengiktirafan semua program yang ditawarkan di UTHM boleh dilihat melalui laman web JPA di ruangan pengiktirafan kelayakan.

Berhubung aduan pembaca dari Batu Pahat di ruangan ini pada 4 Jun pula, iaitu mengenai penempatan graduan, pihak UTHM ingin menyatakan ia di luar bidang kuasa universiti. Bagaimanapun, persoalan ini akan dibangkitkan kepada pihak berkenaan di Kementerian Pelajaran.

UNIT PERHUBUNGAN AWAM,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia



Read more...

Sunday, June 14, 2009

Rakyat hutang kerajaan,kena bayar balik...Kerajaan hutang rakyat???

Respon terhadap laporan Berita Harian : PTPTN kaji syor potong gaji peminjam

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam transformasi minda mahasiswa

Isu yang berlarutan sejak lama dahulu dan kini dibangkitkan semula iaitu berkaitan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, PTPTN yang katanya telah pun mengenakan tindakan terhadap peminjam yang masih belum membayar semula pinjaman terbabit termasuk 'Blacklist' kira-kira 15,000 bekas pelajar dari ke luar negara. Kini dalam rangka mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan tindakan pemotongan gaji peminjamnya terus melalui majikan seperti Potongan Cukai Berjadual (PCB) atau caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sekiranya bekas pelajar masih ingkar dan berdegil untuk membayar hutang.

Bagi saya, adalah positif untuk melaksanakan apa sahaja cadangan termasuk cadangan terbabit bagi cepat melangsaikan segala hutang bekas pelajar dengan pihak berkenaan atas alasan "hutang mestilah dibayar balik." Ya, apa cara sekali pun, hutang mesti dibayar balik.

Tetapi, saya juga ingin menyarankan kepada pihak Kerajaan agar jangan lagi bercakap soal membanteras ceti haram, ah-long dan sebagainya atas alasan tindakan ah-Long dan ceti haram yang menggunakan kekerasan termasuk menyeksa dan mengurung mangsa mereka yang gagal menjelaskan hutang sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas.

Sekiranya Kerajaan terus bersuara dalam soal membanteras kegiatan ceti haram,pada saya ianya adalah ibarat meludah ke muka sendiri. Hampir tiada sedikit pun perbezaan antara tindakan Kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi yang dilihat lebih bersifat mengugut dan mengertak bekas mahasiswa dengan kegiatan Ah-Long dan Ceti Haram yang turut melakukan perkara menurut kaedah yang sama. Kedua-duanya mengongkong dan menjerat penghutang.

Lebih berat lagi, Kerajaan terus menafikan hak mahasiswa khususnya Bumiputera dalam perkara (153) berkaitan Hak Istimewa Bumiputera, antaranya adalah biasiswa. Ianya lebih zalim dari tindakan Ceti Haram yang saya pasti, mereka menggunakan budi bicara dan diplomasi terlebih dahulu sebelum menjerat dan memerangkap mangsa mereka. Hasil pujuk rayu mereka barulah akhirnya mangsa berjaya diperdayakan sedangkan dalam soal pinjaman PTPTN, mahasiswa awal-awal lagi dinafikan hak biasiswa mereka lalu dihumban ke kancah hutang piutang secara terpaksa.


Saya lebih cenderung untuk membincangkan isu ini di luar dari 'kepompong' idea yang diketengahkan oleh kebanyakan media arus perdana tempatan. Saya lebih suka melihat apakah kesannya secara tidak langsung kepada soal pembangunan negara dan Modal Insan yang selalu disebut-sebutkan.

Saya melihat melalui perbandingan dengan negara-negara maju yang lain termasuklah dengan negara Republik Islam Iran dan Jerman di mana mereka mengkaji dan melihat bahawa pendidikan negara mereka semestinya dapat melahirkan graduan yang akan kembali menyumbangkan kepada negara mereka. Bagaimanakah langkah untuk mahasiswa mereka kembali menyumbangkan kepada negara telah diteliti dan dikaji sehinggakan mereka berjaya menghilangkan hampir kesemua bebanan berbentuk material buat seluruh mahasiswa mereka.

Biasiswa, kemudahan pembelajaran & pelajaran serta lain-lain lagi diberikan khusus kepada pelajar mereka tanpa berlaku sedikit pun pertikaian berkaitan isu "Mahasiswa tak boleh dimanjakan" dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka melihat isu yang lebih besar iaitu pembangunan negara dan modal insan yang betul-betul berkualiti bagi menyumbangkan kepada negara. Malah, soal pendidikan adalah perkara pokok dan isu kononnya mahasiswa tak perlu dimanjakan tidak sekalipun menjengah ruang perbincangan mereka.

Soal kebajikan terhadap mahasiswa inilah yang yang diutamakan oleh negara-negara dunia yang maju dan wajar untuk kita belajar dari mereka. Mahasiswa mereka kelak akan keluar dengan penuh rasa tanggungjawab kepada negara dan dapat memberikan sumbangan tenaga,idea,dan buah fikiran secara maksimum bagi tujuan membangukan negara mereka tanpa perlu memikirkan lagi bebanan berbentuk material yang perlu dilangsaikan selepas mendapat pekerjaan.

Di negara kita pula, sudahlah suara mahasiswa dikekang habis-habisan dengan akta drakonian, AUKU si Kuku Besi (Walaupun dipinda,kami tetap mahu ia dimansuhkan terus kerana mendengar namanya saja pun sudah benci) dan segala macam lagi tindakan otokratik pihak-pihak tertentu bagi menghalang suara dan luahan mahasiswa didengari masyarakat kini, dalam soal tanggungan perbelanjaan pembelajaran juga turut sama dinafikan hak yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Jika Mat-Rempit, (Samseng Jalanan) bebas melakukan apa saja tanpa sebarang akta yang mengekang mereka ditambah biayaan ibu bapa, mengapa mahasiswa dikerjakan habis-habisan sedangkan mereka berusaha membangunkan kesedaran ummah.

Pada saya, pinjaman PTPTN adalah doktrin baru terhadap mahasiswa bagi melahirkan golongan 'berfikrah' materialistik. Inilah kesannya apabila kapitalisme berleluasa sehingga menjengah ke dalam sistem pendidikan negara. Sudahlah pendidikan dijadikan suatu perniagaan, kini outputnya juga ditanamkan dengan minda yang sama. Apakan tidaknya, Mahasiswa yang berhutang adakah apabila mereka memperoleh pekerjaan kelak,mereka akan memikirkan soal memberikan sumbangan untuk negara? Tidak, mereka pastinya akan memikirkan bagaimanakah seharusnya mereka melepaskan diri dari bebanan hutang mereka. Sudahlah pula kini mereka diburu seperti penjenayah. Amat berbahaya sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang 'cerdik' ini menyalahgunakan kecerdikan mereka lantaran jiwa mereka yang terdesak. Matlamat barangkali menghalalkan apa sahaja cara bagi mereka. Maka, lahirlah golongan penjenayah keluaran universiti.

Bersama fikirkan...

Muhd Syafiq B Mat Jap,
Timbalan Presiden GAMIS Johor.

Read more...

Saturday, June 13, 2009

Selangkah lagi wahai kakakku, bersabarlah...

Alhamdulillah...
Jumaat bersamaan 12 JUN 2009 telah menyaksikan berlangsungnya peristiwa bersejarah buat kakakku yang seorang ni...
hmmm...Gembiranya kakak aku sampai menangis-nangis dia selepas majlis tu...
Orang perempuan ni memang aku pun susah nak faham..Waktu gembira pun mereka menangis...Waktu sedih apatah lagi.hehe..(jangan marah ya kaum hawa) Emm,tapi bagus juga kerana sedikit sebanyak telah menambah minatku untuk terus mengkaji psikologi manusia.

Apapun, Syukurlah majlis pertunangan kakak aku telah berjalan dengan lancar dalam suasana penuh kesederhanaan.

Ikuti Ulasanku selanjutnya:


Delegasi diketuai Perdana Menteri sebelah pihak lelaki beserta ahli kabinetnya tiba seawal 10.30 pagi dan disambut penuh ceria di hadapan 'Istana Negara'. Perdana Menteri pihak perempuan bersama Timbalan dan seluruh Menteri-menterinya menyambut ketibaan delegasi dan diarak masuk ke dalam Istana Negara.


Aik,baru bertunang dah berangan...tapi takpa,belajar dukung budak ya..hehe


Baik-baik lintas jalan,mat rempit banyak kampung ni...


Dewan Muslimat turut memainkan peranan dengan baik pada hari tersebut...Tahniah diucapkan...Muslimat sayap kiri perjuangan...Muslimat: Power!Power!!Power!!!... =)


Delegasi diarak masuk ke dewan mesyuarat.


Kedua-dua belah pihak memasuki ruangan tempat bermesyuarat untuk membincangkan berkaitan hubungan dua hala antara kedua belah pihak.


Perbincangan dilihat berjalan dengan lancar dan kadang-kala gelak ketawa dari semua perwakilan dan delegasi menceriakan lagi suasana yang pastinya tiada sebarang hiburan seperti nyaniyan mahupun tarian kuda kepang disediakan...


Kedua-dua belah pihak optimis dalam mencapai kata sepakat demi menjalin kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.


Kantoi!!!Ini budaya yang perlu dihabiskan,"Mesyuarat di luar mesyuarat"...heheh...melawak ja pakteh...jangan tak mengaku anak sedara pulak...

Jeng!!!Jeng!!!Jeng!!!



Alhamdulillah...Akhirnya rundingan telah berjaya mencapai kata putus. Kedua belah pihak sepakat untuk menjalin kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang. Diharap hubungan yang terjalin bagi fasa yang pertama ini dapat berkekalan dan dijauhi dari segala perkara yang tidak diingini. Hubungan dua hala kedua pihak bakal disahkan tidak lama lagi...Insya-Allah...

Bersabarlah kakakku...juga bakal abangku...
bersama kita doakan ianya akan membawa kepada pernikahan yang sah demi mencapai kebahagian dan cinta hakiki...


p/s: Maaf ya, gambar penuh kakak tak boleh disiarkan...marah cik abang nanti...

Read more...

Friday, June 12, 2009

Azimat Berharga Seorang Pemimpin Gerakan Mahasiswa

“Kebangkitan gerakan mahasiswa Islam sudah tiba masanya dan kita sendiri sudah tidak sabar untuk mempamerkan wajah kita yang sebenar. Menawan kampus, bermakna kita menawan negara. Tarbiah yang kita terapkan selama ini, sudah meraung-raung untuk dilepaskan dalam bentuk yang lebih kental. Lalu, jiwa-jiwa dan hati-hati kecil kita bagaikan soldadu yang sedia menerima arahan untuk bertindak. Ya, kebangkitan ini, diumpamakan tiupan angin lembut yang tiba-tiba meruap ganas. Ditiup gunung, gunung tercabut. Diterpa lautan, lautan bergelora.”

DzulKhairi Mohd Noor Presiden GAMIS 2007-2009



Read more...

Memohon Penjelasan Berhubung Status Diploma Pendidikan KUiTTHO

Merujuk kepada luahan seorang bekas penuntut yang disiarkan di akhbar Berita Harian iaitu di dalam ruangan Surat & E-mel yang bertajuk “Status Diploma Pendidikan KUiTTHO Dipersoal” pada Khamis, 11hb Jun 2009 di muka surat 30. Kami amat berharap agar pihak Timbalan Naib Canselor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk segera tampil memberikan penjelasan kepada umum sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik berhubung isu tersebut.


Menurut kenyataan pengirim terbabit, beliau yang kami percaya merupakan salah seorang dari sebilangan lagi bekas mahasiswa yang mengalami nasib yang serupa telah menyebutkan bahawa, beliau memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik & Pendidikan pada 2005 dari Kolej Universiti Tun Hussein Onn, KUiTTHO serta Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM pada 2008 namun gagal ditempatkan sebagai guru sandaran terlatih siswazah, Kementerian Pelajaran Malaysia meskipun telah melalui temuduga. Beliau seterusnya menghubungi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan kepastian berkenaan kegagalan tersebut dan amat terperanjat apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai bahawa Diploma Pendidikan KUiTTHO tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA.

Berikutan tindakan pengirim terbabit yang hanya menggunakan penama “MIS” dan berasal dari Johor Bahru, kami beranggapan dari satu sudut bahawa ia dikhuatiri akan menjejaskan reputasi dan tanggapan umum terhadap Universiti khususnya kepada pelajar-pelajar baru yang bakal mendaftar kelak sekiranya ia tidak dijelaskan dengan segera oleh pihak UTHM serta memuaskan hati mahasiswa-mahasiswa terbabit.

Kami mewakili mahasiswa UTHM jauh sekali dari ingin menyalahkan mana-mana pihak namun, sangat berharap agar mahasiswa berkenaan serta umum mendapat penjelasan yang sebenar berhubung isu tersebut. Kami juga memohon penjelasan dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi sendiri kerana Universiti Tun Hussein Onn Malaysia adalah tergolong sebagai salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam, IPTA. Kemusykilan timbul kerana bagaimana sebuah universiti di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi tidak mendapat pengiktirafan dari JPA. Selain itu, kami juga memohon agar permasalahan yang melanda bekas mahasiswa-mahasiswa berkenaan dapat diambil langkah terbaik oleh pihak berkaitan bagi membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kami juga turut mencadangkan agar mahasiswa-mahasiswa berkenaan agar dapat segera tampil bersemuka dengan pihak pentadbiran akademik universiti mahupun pihak KPT sendiri bagi menyelesaikan masalah terbabit. Itulah langkah yang pada pandangan kami adalah langkah yang terbaik buat masa ini selain pihak Universiti dan pihak yang terlibat harus menjelaskan semula kepada umum demi memberikan gambaran yang sebenar kepada seluruh masyarakat sebagai jawapan setelah ia dibangkitkan. Kami juga mengucapkan tahniah dan syabas buat bekas mahasiswa terbabit kerana berani menyuarakan luahan hati serta memohon penjelasan pihak yang terlibat.

Muhd Syafiq B Mat Jap,
Setiausaha Peribadi Presiden Kelab Iqra’,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,
Batu Pahat, Johor Darul Takzim

Read more...

Saturday, May 30, 2009

Angel & Demon : Pendedahan Kelemahan Ajaran Kristian & Persengketaan Dengan Illuminati?



Bagi yang belum menonton filem Angel & Demon, saya menganjurkan supaya kawan-kawan semua dapat menontonnya walaupun sekali. Insya-Allah, tidak akan sesat dengan izin-Nya. Walaupun ia mengisahkan berkaitan ajaran Kristian namun, pada pandangan saya filem ini telah membongkarkan banyak fakta berkaitan kelemahan Kristian Ortodoks itu sendiri. Saya dapat menyimpulkan beberapa perkara dari filem ini setelah menontonnya.



Salah satu yang saya dapat simpulkan adalah berkaitan perseteruan di antara Kristian Katholik dengan golongan yang dinamakan sebagai Illuminati. Apa itu Illuminati? Saya juga tercari-cari sehingga kini dan kebetulan dahulu saya pernah terbaca di dalam buku bertajuk "Gerakan Freemasonary:Musuh dalam menghancurkan Islam". Di antara isi kandungannya ada juga diceritakan berkenaan pertubuhan Illuminati ini. Ia dikenali sebagai Pertubuhan Cahaya.

Persengketaan di antara pihak Vatican ataupun golongan gereja terhadap pihak Illuminati ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Malah ia adalah sejarah lama yang tidak mampu dipadamkan. Mengimbau kembali sejarah lampau bagaimana bermulanya luka perseteruan ini disebabkan oleh pihak gereja yang tidak dapat menerima hujah-hujah golongan ilmuwan dan pengkaji sains ketika itu seperti Galileo Galilei dan ramai lagi.




Kemuncak kepada penolakan golongan gereja terhadap pemikiran yang muncul ketika itu menyaksikan para saintis dan pakar-pakar ilmuwan ini telah dihukum dengan melampau dan sezalim-zalimnya oleh golongan gereja ketika itu. Bersandarkan alasan bahawa golongan tersebut telah sesat dan menyesatkan ia seolah-olah memberikan lesen kepada pihak gereja untuk bertindak sedemikian rupa. Maka, dari situ munculnya pihak yang tidak berpuas hati ini lalu mengumpulkan kekuatan dan membina pertubuhan secara 'Sir' dengan dinamakan sebagai Illuminati atau pertubuhan Cahaya.

Tanda-tanda khusus atau simbol-simbol tertentu digunakan bagi mengenali pertubuhan rahsia ini seperti Piramid, Mata, dan lain-lain lagi yang saya pun tak begitu mengingatinya. Pertubuhan ini bolehlah diibaratkan sebagai pertubuhan yang diasaskan demi membalas dendam terhadap golongan agama di dalam gereja, perseteruan di antara kelompok-kelompak 'professional' bagi membalas dendam dan menjatuhkan golongan agamawan di vatican. Maka, berlangsunglah perencanaan penuh berstrategi dan penuh dengan 'psy war' serta implementasi 'Art of war' yang menarik dari golongan Illuminati ini untuk merampas kuasa tertinggi di Vatican. Untuk mengetahui strategi-strategi yang telah diaplikasikan, kenalah tengok sendiri filemnya kerana penceritaan dalam bentuk penulisan kadang-kala tak menarik seperti apa yang ditonton.

Pengajaran yang mampu saya pungut dari filem terbabit salah satunya sangat berkait dengan propaganda media sempena muktamar pemilihan PAS akan datang iaitulah berkaitan isu sama ada golongan Professional atau golongan Ulama' yang sepatutnya menerajui kepimpinan tertinggi di dalam PAS. Sebagaimana yang telah saya ulas dalam penulisan saya yang lepas yang bertajuk, "Ulama' Atau Professional : Serangan Sekularisme Ke Dalam PAS?" saya sekali lagi menyatakan bahawa jangan sesekali mengaitkannya seperti apa yang berlaku dalam filem Angel & Demon ini. Kerana Islam tidak pernah memisahkan antara sains dari ketuhanan seperti di ajaran Kristian. Apa yang berlaku hanyalah permainan dan kesan dari sistem pendidikan lapuk negara ini yang terkesan dari sekularisme bawaan penjajah.

Saya juga ada berbincang dengan seorang sahabat berkaitan isu ini. Beliau memberitahu saya bahawa beliau ada terbaca dari sumber tertentu mengatakan bahawa isu ini timbul kerana kepelbagaian di dalam PAS dan terutama sekali apabila PAS turut meraikan taadudiyyah fil jamaah di dalamnya, iaitulah menaungi kepelbagaian jamaah di dalamnya. Wujud di dalam PAS ahli-ahli dan rakan-rakan dari JIM,ABIM dan sebagainya. Seperti yang kita lihat dan sedar, golongan seperti JIM rata-ratanya datang dari golongan yang akademik dan intelektual, bahkan terdiri juga dari golongan elit dan korporat. Ringkasnya, golongan professionalisme ramai dari kalangan mereka. Mereka juga seakan-akan ABIM yang turut terdiri dari kalangan orang-orang yang hampir sama. Isu Professional vs Ulama' ini lebih kepada propaganda media arus perdana yang mahukan PAS dilihat sebagai hanya parti ahli agamawan berikutan PAS sendiri yang mendokong kepimpinan Ulama'.

Kesimpulan ringkasnya, penting pentarbiyahan dalam PAS sendiri untuk membetulkan keadaan tersebut. Seperti Gerakan Ikhwan Muslimin, tidak kira sama ada professional atau pun dari mana-mana golongan, Al-Quran mestilah bukan lagi di mushaf,tetapi di dalam dada ahli-ahlinya selain bentuk pentarbiyahan yang lain. Maka, lahirlah golongan-golongan professional yang mempunyai ciri-ciri keulama'an dan golongan ulama' yang professional. Ringkasnya "Ulama' Professional" dan "Professional Ulama'."

Secara kesimpulannya, dapat saya nyatakan di sini bahawa filem Angel & Demon ini muncul sangat bertepatan dengan isu yang berlaku kini dan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada penontonnya bukan sahaja setakat mengkagumi jalan cerita dan corak lakonannya dalam filem terbabit. Fakta-fakta serta sejarah yang berkaitan dengan kedua-dua pihak tersebut baik Kritian Katholik mahupun Illuminati juga boleh dijadikan sebagai satu sumber pengetahuan dan mampu menyedarkan kita betapa kesesatan ajaran tersebut.

Pada akhiran kisah terbabit, golongan paderi-paderi di vatican telah sepakat secara 'syura' untuk melantik seorang yang bertaraf professional iaitu seorang Doktor untuk menggantikan Ketua Tertinggi Paderi Kristian di Vatican,Pope yang baru.

Tontonlah filem ini dengan mata hati dan pasti ia akan meyakinkan lagi kebenaran dan kesucian ajaran Islam berbanding ajaran lainnya. Kelemahan ideologi-ideologi dan agama yang diselewengkan pasti akan jelas di depan mata kita. Bahkan,filem ini secara tidak langsung menceritakan perseteruan dalaman pihak Kristian. Pesan saya lagi,bersikap terbuka dalam mengkaji sesuatu perkara amat penting, malah akhirnya pasti kalian akan menjumpai Kebenaran yang hakiki dan saya doakan melalui filem ini,dapat memperteguhkan lagi keyakinan kita betapa Islamlah ajaran terbaik. Banyak manfaat juga dari filem ini walaupun saya yakin dan percaya,tujuan filem ini adalah untuk mempromosikan Kristian secara tidak langsung sebenarnya.



Saksikan...The Illuminati...They Come For Their Revenge!!!

Read more...