Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Monday, March 29, 2010

‘Hantu-hantu’ yang menghantui jiwa & pemikiran


“Awak dah tengok ke belum filem ‘Santau’? saya baru je tengok, best giler saya cakap kat awak” Seorang teman, sangat teruja bila berpeluang menyaksikan filem seram dari produksi filem Metrowealth Sendirian Berhad itu baru-baru ini, seolah-olah baru kali pertama beliau menonton filem bergenre mistik dan tahyul itu.

Best? Takkan melihat hantu yang hodoh itu pun awak katakan best?” Sengaja saya bergurau dengannya sambil cuba mendapatkan kepastian, mana satukah yang dimaksudkan best itu.

“Ish, tak ada la hantu itu yang saya maksudkan, tapi jalan ceritanya, effect & lakonan filem tersebut menjadilah pada saya. Kalau nak dibandingkan dengan filem-filem seram yang lain di negara kita ni, filem tersebut bagi saya adalah yang paling menarik pernah industri kita hasilkan.” Kagum betul beliau selah temenyaksikan filem tersebut. Gayanya memberikan feedback sudah seperti wartawan hiburan.

“Awak ni dah tengok ke belum?Mesti awak tak layan filem-filem macam ni kan?” Soalnya cuba menduga saya. Seolah-olah faham bahawa saya bukanlah tahi filem atau kaki wayang.

“Haah, pandai betul awak. Saya memang tak layan filem-filem sebegitu. Tapi, saya tonton sebagai satu penilaian terhadap tahap pemikiran masyarakat kita.”Sambil tersenyum saya memberikan jawapan cuba melarikan sedikit dari fokusnya bercerita tentang kesantauan filem itu, agar kami tidak ‘tersantau’ dan diheret bermain di lingkungan ‘mistik’ serta apa yang tersurat dalam filem itu sahaja.

“Oh, jadi awak pun tengok juga la ye?Meleset rupanya jangkaan saya ni.” Beliau tersenyum suka bila tahu saya juga turut menonton filem tersebut. Maklumlah, saya ini skeptik dengan cerita-cerita sebegitu.

“Hmmm, awak tengok filem itu sebagai penilaian kepada pemikiran masyarakat? Maksudnya?” Beliau cuba berfikir sambil mendapatkan kepastian apa yang saya maksudkan.


Pembudayaan GMS : Gossip, Mistik, Seks

Saya senyum kepadanya. Teringat pula kepada kata guru saya, "orang Melayu ni cukup mudah nak tarik perhatian mereka. Hendak lariskan jualan atau hangatkan sesuatu perbincangan memang sangat mudah bila berhadapan dengan golongan ini. Gunakan sahaja senjata GMS : Gossip, Mistik, Seks" Contohnya seperti jualan akhbar dan majalah. Jika tajuk muka hadapan berkisar tentang seks, mistik, misteri dan gossip, mesti penjualannya laris ibarat pisang goreng panas. Tertimbus segala macam masalah Negara dan krisis umat yang lain. Tidak hairanlah ada pihak akhbar mendakwa akhbarnya adalah akhbar terlaris pilihan nombor satu rakyat di Malaysia meskipun tidak pasti apakah methodology & skala yang digunakan bagi mengukurnya.

Risaukan Hantu yang mana?

Saya amat risau dengan pemikiran masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu yang telah diracuni dengan fikrah ‘berhantu’ ini. Baik filem mahupun cerita-cerita dari mulut ke telinga seperti itu mampu untuk menjengah ke minda dan tertanam membentuk pemikiran dalam masyarakat. Kalau cerita hantu yang dihidangkan setiap hari Khamis malam Jumaat, ditambah pula dengan kisah mistik yang dipaparkan di dada-dada akhbar dan majalah, filem pula bergenre sama di pawagam-pawagam tanahair maka, apalah yang kita mampu harapkan untuk masyarakat berasa takut kepada Tuhan lebih daripada takutkan hantu dan perkara-perkara khurafat.

Kesan dari menonton filem-filem tersebut bukanlah kesemuanya akan membawa penonton mengkagumi pada hasil karya pengarahnya, kesan grafik atau seni lakonan filem tersebut, tetapi lebih memberikan kesan kepada membentuk jiwa masyarakat menjadi penakut tidak menentu dan suka membayangkan perkara yang bukan-bukan. Anak-anak hendak ke bilik air, hendak tidur di bilik seorang diri, malah hendak bersendirian pun merasa ketakutan. Hantu dibayangkan berada di belakang pintu, di dalam cermin, tiba-tiba muncul dari bawah katil, hilang dari satu sudut lalu muncul di satu sudut yang lain dan hadir dalam pelbagai rupa bentuk. Mungkin itulah yang dimaksudkan ‘effect’ yang mengkagumkan barangkali.

Lebih menyayat hati dan membimbangkan, peranan golongan alim ulama, para agamawan dan ayat-ayat Allah yang menjadi mangsa untuk disalahgunakan. Ianya sangat disalahtafsirkan dalam cerita-cerita mistik sebegini.


Alim Ulama' & Agamawan Sebagai Dukun?

Beliau cuba menjelaskan kepada saya lagi “Tengoklah, dalam cerita hantu ni mereka juga nak tunjukkan bahawa ahli agama dan ayat-ayat al-Quran digunakan bagi mengalahkan makhluk-makhluk tersebut” bila tok imam datang dengan berserban dan berkopiah, memutar-mutar biji tasbih dijari, membacakan ayat-ayat Allah dan akhir sekali hantu pun ditewaskan, terbakar atau keluar dari badan mangsa tersebut.

“Benarlah, tiada siapa di kalangan makhluk yang mampu menandingi kuasa-Nya. Namun,Al-Quran dibacakan bukan untuk menghalau jin, hantu yang itu semata-mata. Tetapi untuk difahami, dihayati dan diamalkan agar manusia tak menjadi ‘hantu’ dan ‘jin’ yang lebih ganas dan dahsyat dari hantu yang ditonton itu.” Saya cuba melontarkan hujah.

Al-Quran Yang Dipinggirkan

“Apa maksud awak?”

“Apabila kehidupan tidak dihiasi dengan al-Quran, malah meminggirkan al-Quran maka akan menjelmalah 'lembaga' dalam masyarakat yang berwajah manusia tetapi berperangai seperti hantu. Hantu-hantu inilah yang membuang bayi, yang merempit, menjadi peragut, perogol bersiri, penjenayah, menjadi pembunuh sehingga sanggup membunuh ahli keluarga sendiri, penagih dadah, perasuah, mendedahkan aurat, menyalahgunakan kuasa dan pangkat serta mempelopori budaya hidup hedonisme dalam kalangan masyarakat umat Islam sendiri. Hakikatnya, hantu-hantu inilah yang lebih menakutkan dan dahsyat dari polong, pontianak, penanggal atau pocong yang digembar-gemburkan tu.”

Teringat lagi saya kepada kata-kata seorang ustaz sewaktu menyampaikan ceramah di sebuah masjid, katanya, “Hantu dari kalangan jin ni mudah sikit kalau nak dihalau, kita halau dengan ayatul Qursi aja dia akan lari. Tetapi kalau berdepan dengan hantu dari kalangan manusia ni cukup payah, baca ayatul Qursi pun belum tentu dia akan lari, barangkali kena gunakan Kursi (kerusi) baru dia lari.” Katanya berseloroh tetapi sangat mendalam maknanya.

Agamawan Bukan Dukun Dan Bomoh

Peranan golongan agama bukanlah sebagai penghalau jin dan hantu semata-mata, malah peranan mereka sangat besar sebagai pendidik, murobbi dan pendakwah di dalam masyarakat, sekaligus menjadi contoh dalam semua bidang termasuk bidang professional. Manakala, ayat al-Quran untuk dibaca, ditadabbur dan dihayati bagi menyuburkan iman dalam diri dan dilaksanakan sebagai sistem dalam hidup manusia secara keseluruhannya.

Realiti ahli agama hari ini hanyalah diberikan peranan yang sangat tidak bersesuaian kepada mereka. Ada yang sebahagiannya cuma diperuntukkan peranannya untuk membacakan doa pada permulaan sesuatu majlis tertentu bagi memohon rahmat dan melancarkan perjalanan majlis. Kemudiannya ketika itu majlis berlangsung, entah apa isi kandungan agendanya pun tidak tahu sama ada mengena tepat dengan apa yang dimohon melalui permintaan doa yang dibacakan sebelumnya tadi. Mudah untuk dikatakan, majlis yang membelakangkan syariat yang dijalankan dengan doa para alim sebagai tempelan.

Ahli Agama & Agama Hanya Tempelan

Maka, sama jugalah hari ini apabila ahli agamawan hanya dijemput pada penghujung cerita sebagai penghalau hantu dan jin sedangkan hampir 90% babak dalam filem tidak langsung memaparkan tentang budaya hidup sebagai orang yang mengamalkan Islam. Ayat-ayat Allah kadang-kala hanya dijadikan tempelan di permulaan cerita atau muncul di akhir cerita untuk menghalalkan cerita yang penuh dengan nilai-nilai syirik dan tahyul itu supaya, mampu membuatkan penonton berasa lega bila melihat terpaparnya ayat suci al-Quran. “Ada saranan ayat Quran dalam cerita ni,kira ok la.Tidak bercanggah dengan Islam...”

Tanpa kita statik dalam membicarakannya dari sudut hukum-hakam sama ada dibolehkan atau tidak dalam ajaran Islam untuk meletakkan ayat-ayat suci al-Quran dengan tujuan sebegitu, apa yang lebih penting untuk diperjelaskan ialah, kita amat bimbang apabila ayat-ayat Allah sudah tidak dijadikan bahan bagi mentarbiyah dan mendidik hati manusia lagi lantaran konteks ia digunakan sangat bersalahan dari tuntutan sebenar.

Sekarang pun kita sudah melihat bagaimana dinding-dinding rumah dihiasi dengan kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran namun, isi rumahnya entah mengambil atau tidak pengajarannya apatah lagi mengamalkannya. Lantaran banyak sungguh kejadian dan kelakuan seperti haruan makan anak, pembunuhan sesama ahli keluarga, pasangan tinggal serumah tanpa menikah dan lain-lain lagi kejadian ‘paranormal’ dan kepelikan yang berlaku dalam masyarakat muslim tanpa Islam ini. Begitulah juga tahap kerisauan kita kepada hal ini, lambat-laun ayat-ayat suci ini akan hanya menjadi azimat dan tangkal yang digantung di pintu dan dinding rumah semata-mata untuk menghalau hantu.

Optimumkan Kerja Yang Sepatutnya

Jika difikirkan kembali, Apakah hikmahnya Allah menciptakan makhluk-makhluk halus seperti jin, syaitan dan iblis ini dalam keadaan yang ghaib dan tidak boleh dirasai pancaindera mata kasar manusia? Sesungguhnya sudah cukup baik kepada manusia apabila Allah menciptakan makhluk tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita. Maka, tidak perlulah kita bersusah payah menjadi ‘seekers’ atau penjejak ‘entiti paranormal’ pula untuk bertemu dan merasai kewujudan makhluk ini. Tugas dan amanah kita sebagai khalifah dan pentadbir alam sepatutnya boleh ditumpukan secara optimum. Tumpukan sahaja tugas kita yang itu.

Tidak dinafikan Allah tetap memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya yang tertentu untuk melihat dan merasai kehadiran makhluk ini dengan mata hati dan deria mereka.
Namun, bukanlah bermakna kita menafikan peranan ulama’,guru-guru yang pakar dalam ilmu sedemikian dalam menangani permasalahan berkaitan makhluk tersebut, bahkan ia juga sangat penting. Apatah lagi, dalam keadaan masyarakat yang hanya pada namanya sahaja manusia bertamadun namun, amalan segelintir dari mereka masih lagi karat dengan menuntut ajaran ilmu-ilmu sihir yang menyesatkan ini. Bahkan, Rasulullah s.a.w sendiri serta ulama’-ulama’ yang hebat juga berdakwah kepada golongan jin dan apabila ada anggota masyarakat yang diganggu jin mereka tampil menghulurkan bantuan. Tetapi, itu semua sebagai tugasan sampingan yang sangat minima dilakukan mereka. Peranan utama mereka tetap adalah sebagai pengajak, pendakwah dan mendidik masyarakat. Bukanlah sebagai bomoh atau dukun sepenuh masa.

Usaha Menghalau 'Hantu'

Sejarah perjuangan baginda Rasulullah s.a.w sendiri lebih banyak dipenuhi dengan kesabaran, kecekalan dan istiqomah baginda menghadapi golongan manusia daripada menghadapi kelompok jin. Jika manusia menurut perintah dan menegakkan ajaran Allah dalam kehidupan mereka, jin secara sendirinya akur untuk menghampiri mereka tetapi, jika manusia melakukan sebaliknya, maka merekalah hamba kepada hawa nafsu sendiri dan secara tidak langsung ‘jin’ yang merosakkan itu.

“Rasa-rasa awak lah, manakah yang lebih ramai? bayi yang dibuang manusia yang tidak bertanggungjawabkah atau bayi yang dilarikan Pontianak?Berapa ramai remaja mati sia-sia akibat merempit berbanding mati dicekik hantu?” Saya cuba menduganya.

Beliau tersenyum.

Filem Yang Mendidik

Peranan golongan cerdik pandai agama janganlah dimunculkan dalam cerita pada penghujungnya sahaja. Tapi sepatutnya disepanjang babak filem terbabit. Mereka muncul sebagai pihak yang membetulkan masyarakat, berdakwah dan mengubat punca masalah bukan sekadar menjadi dukun atau bomoh sahaja. Al-Quran adalah mesej tarbiahnya, bukannya ‘book of spell’ yang penuh dengan jampi serapah seperti dalam cerita ‘Charmed’.

Pada malam Jumaat pula, janganlah asyik terpaku di hadapan TV dengan ‘Keliwon’ dan pelbagai lagi versi hantu sahaja, tetapi isilah ia sebagai malam yang barakah memandangkan esoknya akan muncul penghulu segala hari. Hari raya dan kebesaran buat muslim dalam seminggu. Penuhilah ia dengan program-program yang mampu membentuk jiwa dan mengisi keperluan roh. Bangunkan jiwa dan bentukkan diri moga Islam tertegak berdiri dengan kesuburan nurani bukanlah 'hantu' yang menghantui

No comments:

Post a Comment