Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Tuesday, May 26, 2009

Kesan Kenaikan Harga Tambang Pengangkutan Awam Pasti Membebankan

Pengumuman kenaikan tambang pengangkutan awam yang dibuat oleh kerajaan pada 24 Mei 2009 lalu dan dikatakan akan berkuatkuasa pada bulan hadapan sekali lagi bakal mengundang ketidakpuasan hati kebanyakan rakyat bukan sahaja di kalangan masyarakat umum bahkan di kalangan mahasiswa dan pelajar-pelajar sendiri. Kegusaran dan ketidakpuasan hati di peringkat umum sudah dijangkakan berlaku berikutan sebahagian besar masyarakat adalah terdiri dari kalangan golongan yang berpendapatan rendah dan miskin dan mereka juga rata-ratanya merupakan pengguna 'setia' pengangkutan awam.

Sebagai golongan penuntut di sekolah-sekolah mahupun di seluruh Institut Pengajian Tinggi, IPT baik awam atau swasta, kesan kenaikan tambang pengangkutan ini juga sudah tentunya turut sama dikongsi kesusahannya di kalangan mahasiswa dan pelajar-pelajar sekolah.

Bagi pelajar sekolah baik sekolah rendah ataupun menengah, kesan kenaikan tambang pengangkutan awam pastinya membebankan ibu bapa yang menjadi tempat bergantung penuh anak-anak mereka khususnya bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Alasan yang dikemukakan iaitu demi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam dilihat sangat tidak munasabah kerana ia sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut dan tidak sewajar dikenakan 'charge' kepada pengguna. Bagi pengguna, mereka hanya mahukan perkhidmatan pengangkutan awam untuk membawa mereka ke sesuatu destinasi sahaja. Ia sepatutnya ditanggung sama ada oleh syarikat pengangkutan itu sendiri atau dibantu oleh kerajaan bukannya dibebankan semula kepada rakyat.

Masyarakat pastinya mempertikaikan semula beberapa saranan kerajaan sebelum ini yang berkempen supaya menggunakan pengangkutan awam khususnya bagi menjimatkan kos dan mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya dalam situasi cengkaman ekonomi kini dengan kenaikan kos bahan bakar yang turut diumumkan kerajaan baru-baru ini sehinggakan ada ura-ura mengatakan kerajaan mahukan menukar jenis minyak dari Ron 97 kepada Ron 95. Saranan kerajaan amat baik dalam hal tersebut namun, tindakan menaikkan tambang ibaratnya hanya saranan dan cakap kosong. Apakah bezanya lagi menaiki kenderaan awam dengan berkenderaan sendiri? Malah, masyarakat lebih selesa berkenderaan sendiri sekiranya hal ini tidak dikaji semula.

Terhadap golongan mahasiswa, kerajaan seharusnya menilai impak dan kesan yang dihadapi mereka kelak dengan pengumuman berkenaan. Bukanlah kesemua mahasiswa ini mendapat tajaan biasiswa bahkan ramai di kalangan mahasiswa adalah peminjam setia PTPTN dan berbagai lagi pinjaman.

Kesannya kelak, kemungkinan ramai di kalangan mahasiswa yang akan mengambil keputusan untuk bekerja sampingan sewaktu menuntut. Bukan tidak boleh bekerja, namun perlu difikirkan juga kesannya terhadap akademik mereka. Sudahlah bebanan akademik perlu ditanggung, ditambah pula dengan kerja-kerja yang dilakukan demi menampung sara hidup. Jika sebelum ini, AUKU disokong dengan katanya mahasiswa sepatutnya hanya perlu menumpukan kepada akademik mereka semata-mata dan bukannya berpolitik, bagaimana pula dengan keadaan yang bakal berlaku kelak jika sekiranya situasi mahasiswa bekerja ini terjadi. Adakah mahasiswa akan dapat menumpukan perhatiannya kepada akademik sepenuh masa?

Selain itu, bagi penuntut-penuntut yang tinggal berjauhan dari keluarga mereka, kesannya yang bakal dilihat ialah dari sudut kesukaran untuk mereka pulang bercuti bersama keluarga sama ada pada penghujung semester atau pada hari-hari cuti umum dan perayaan. Perkara yang perlu kita sedari, mahasiswa sepatutnya dibentuk hati mereka agar sentiasa berada dekat dengan keluarga bagi menimbulkan rasa kecintaan dan kasih sayang terhadap keluarga mereka serta menimbulkan motivasi diri yang tinggi. Dengan sekali sekala pulang ke rumah menjenguk keadaan keluarga pastinya menimbulkan rasa sayu dan mampu membakar semangat serta meningkatkan motivasi dalam diri mereka untuk terus maju ke depan. Ianya sangat berbeza dengan kehidupan bersama rakan-rakan di kampus yang jauh dari keluarga dan keseronokan bergaul bersama rakan-rakan kadang kala melupakan sejenak keadaan keluarga di kampung halaman.

Sekiranya kesukaran untuk pulang ke rumah bagi penuntut-penuntut yang tinggal berjauhan dari keluarga ini adalah disebabkan kenaikan kos pengangkutan awam yang meningkat, pastinya ia turut memberikan impak yang negatif dalam pembentukan jati diri mahasiswa yang seharusnya dibentuk agar mereka berada dekat dengan keluarga.

Lebih dikhuatiri, saat mahasiswa lain bercuti dan beraktiviti bersama keluarga masing-masing, mereka yang tidak dapat pulang ke rumah untuk bersama keluarga ini akan melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat pula ketika waktu cuti. Tidak dinafikan ada mahasiswa yang terlibat dengan gejala yang meruntuhkan akhlak kemahasiswaan seperti bersekedudukan dengan teman-teman mereka di kala orang lain tiada di kampus, terlibat dengan gejala samseng jalanan, menjadi kaki disco dan lain-lain lagi.

Tidak mustahil perkara sebegini boleh berlaku kerana sewaktu tempoh cuti semester, kolej-kolej kediaman juga pastinya perlu dikosongkan. Apabila kolej kediaman dikosongkan, di manakah mahasiswa yang tidak pulang ke rumah ini akan tinggal? Satu persoalan besar yang seharusnya dinilai seandainya ia turut memberikan kesan hasil dari kenaikkan tambang pengangkutan awam.

Himpitan demi himpitan dalam kehidupan seperti kenaikan harga barang,kenaikan harga bahan bakar,pinjaman kewangan yang membebankan ditambah lagi dengan kenaikan kos pengangkutan pastinya memberikan kesan yang besar terhadap peningkatan kadar jenayah dalam negara. Keterdesakan masyarakat untuk memperoleh kemudahan asas masih lagi menghantui mereka dan tidak mustahil bakal lahir golongan yang bersikap sanggup melakukan apa sahaja demi menyara hidup yang susah. Bukanlah soal mereka malas berusaha ataupun tidak, kerana faktor rezeki ditentukan Allah ini kadang-kala tidak menentu. Sedangkan graduan universiti pun masih ramai lagi yang belum mendapat kerja
sedangkan mereka adalah bekas penuntut di menara gading, bagaimanakah pula dengan golongan yang tidak berjaya menempatkan diri di universiti? Pastinya mengungkap seribu satu persoalan dalam dada masyarakat tentang kehidupan mereka kelak. Seterusnya memberikan impak kepada pembentukan modal insan juga.

Banyak yang boleh diulas sebenarnya berkaitan isu kenaikan harga apa juga keperluan asas dan perkhidmatan kepada masyarakat. Akhirnya,ia akan berbalik kepada persoalan responsibility pihak atasan dalam menangani kemelut yang berlaku.

No comments:

Post a Comment