Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Friday, May 29, 2009

Tukar Tiub : Pengajaran Berguna dari Seorang Tauke Cina



Hari ini saya ingin berkongsi satu pengalaman menarik buat semua pembaca. Sejak dua minggu lalu tayar motor saya asyik bocor saja. Dah tak larat nak tukar tayar motor apatah lagi nak menuntun motor ke kedai motor berhampiran. Boleh dikatakan sudah 3 atau 4 kali juga berturut-turut tayar belakang motorsikal saya bocor dalam tempoh yang sangat singkat

Kali pertama bocor seingat saya adalah ketika saya berada di kampus dan semasa itu saya 'park' motorsikal di Masjid UTHM. Bila didapati tayar motor saya bocor,lalu terpaksalah saya menuntunnya ke kedai berhampiran. Kedai tersebut taukenya adalah seorang berbangsa melayu. Selesai saja beliau menukar tayar motor,saya bertanyakan kepadanya apa sebab tayar saya bocor. Balas tauke tersebut, "Alah, biasa saja. mungkin bocor kot? dah tukar tiub ok la tu." Saya pun malas bercakap banyak disebabkan keletihan dan penat menuntun motorsikal tadi yang agak jauh juga jaraknya dari kampus. Dalam hati 'tubik' juga monolog, "Memang la pancit sebab bocor,kalau tak buat apa nak tukar tiub tayar?" Selesai tukar tiub, saya pun bergegas pulang.

Peristiwa kedua pula berlaku tak sampai beberapa hari selepas peristiwa yang pertama. Ketika itu,saya di rumah bersama sahabat-sahabat yang lain. Betapa malasnya saya hendak menuntun motorsikal sekali lagi ke kedai. Lalu, dibiarkan selama beberapa hari dan saya hanya meminjamkan sebentar motor sahabat-sahabat di rumah. Kebetulan pula, motor seorang senior saya masih ada di rumah. beliau kini sudah mendapat tawaran untuk mengajar di Sabah. Abang Irwan Budiana namanya. Maaf abang ya kerana pinjam motor tak beritahu terlebih dahulu.

Keesokan harinya barulah saya ke kedai motorsikal dan meminta agar pekerjanya yang datang ke rumah membuka tayar motorsikal saya seterusnya memasangkan tiub tayar yang baru. Akibat kemalasan yang amat sangat dan faktor masa yang suntuk kerana seingat saya pada petangnya, saya terpaksa ke Shah Alam, menghadiri Konvensyen Mahasiswa Islam anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Disebabkan 2 faktor tersebut maka,terpaksalah saya menjemput seorang formen di kedai motorsikal terbabit untuk 'out station' sebentar. Kosnya juga sedikit bertambah berbanding kos biasa.

Setelah 2 hari berada di Shah Alam, pulang sahaja dari konvensyen belum pun sempat menaiki motorsikal yang baru ditukar tayar 2 hari sebelumnya,tiba-tiba sekali lagi tayarnya bocor. Kesabaran memang betul-betul teruji. Di dalam hati hanya menyebut "Tarbiyah...tarbiyah..." Memandangkan ramai sahabat-sahabat yang telah pulang bercuti di kampung halaman masing-masing, saya terpaksa menuntun motorsikal sekali lagi ke kedai motorsikal berhampiran. Kali ini kedai lain pula. Pemiliknya dalah seorang yang berbangsa cina.

Soal bangsa apakah dia bukanlah nak di'highlight'kan sangat, bahkan saya bukanlah seorang yang terlalu memikirkan soal perkauman ini. Selagi tidak melanggar prinsip dan batas agama, apa salahnya saling membantu meskipun berlainan bangsa dan agama. Ketika bertemu beliau yang saya terlupa bertanyakan namanya, mungkin lepas ini boleh lihat semula di papan tanda kedai beliau. Beliau sangat bersimpati dengan saya, "Aiyya, lu... belum balik kampung aa... Kesian wa tengok lu solang-solang tuntun lu punya motor bawak mali sini..." Saya menjawab, "apa boleh buat bos,tayar asyik pancit 2 3 hari ni." Dia mengerutkan dahi."Aiyya...Lu aa..menda kecik macam ni aa..lu pon boleh repair sendiri apa...bukan susah sangat pon...bukak tayar mudah saja..."Dia pula menasihati aku. Dalam hati, aku bermonolog,"Ish...Pelik betul dia ni, orang datang kedai dia patut berterima kasih la sikit...bertuah la aku datang kedai kau...ini tidak,macam-macam pulak kata kat aku..macam nak tolak rezeki pulak apek ni"

Saya hanya tersenyum saja bila dikatakan begitu oleh si apek tauke Cina tadi. Dengan nada berseloroh, saya katakan kepada beliau, "Aiyya tauke, kalau motor saya tak pancit macam mana lu mau repair?bila lu tak repair, macam mana lu punya income mau masuk?heheh..." Saya menjangkakan bahawa dia akan senyum atau turut sama ketawa dengan selorohan saya tadi,sebaliknya anggapan saya jauh meleset. Sambil dia membuka tayar motorsikal saya, dia mengalih pandangannya ke arah saya yang duduk di atas kerusi dengan muka yang seolah-olah tidak puas hati akan kenyataan saya sebentar tadi. Lalu dijawabnya, "Lu aaa...olang muda...manyak mau senang woo...lu tengok sendri aa...ekonomi sikalang manyak tak bagus woo...lagi lu mau manyak keluar duit ka??Bukak ini tayar aaa...paling mudah woo..itu pon mau bawak sini ka??Lagi baik lu belajar bukak sendri woo..murah pon murah...susah sikit saja maa". Panjang lagi celotehnya, terpaksa saya potong.

Saya agak terkedu mendengar ceramah santai dari beliau. Walaupun dalam diri ada sedikit rasa geram mendengar apa yang si tauke itu katakan kepada saya. Namun, ada betul juga apa yang beliau sebutkan. Keadaan yang berlaku hari ini, duit sangat susah hendak dicari tetapi mudah pula untuk terbang keluar. Harga barang keperluan asas semuanya semakin mahal sedangkan gaji jarang pula dinaikkan. Saban hari akan ada sahaja pengumuman dari pihak kerajaan berkaitan kenaikan harga keperluan asas tertentu. Petrol naik, harga tambang pengangkutan naik dan berbagai lagi akan turut naik. Alasannya, World Economic Crisis.

Sesuatu yang mengkagumkan saya adalah, dalam suasana susah mendapat upah dan sumber kewangan begini pun, si tauke tadi masih boleh menasihatkan saya sedemikian. Sedangkan membaiki motorsikal termasuklah menukar tayarnya adalah pekerjaan utama beliau. Kalau difikir dari sudut mencari keuntungan, maka, saya ini adalah 'mangsa' beliau untuk menambah pendapatan hariannya. Selalunya, kalau pemandangan biasa kita akan lihat, tauke-tauke ini pastinya akan berkata,"Tak Mengapa...Bagus-bagus...datang la selalu ya..skru jatuh ka motor tak dapat hidup ka,mari la bawak ke sini ya...jangan malu-malu..." Tetapi sebaliknya tauke ini tidak seperti itu. Malah, dia telah memberikan saya pengajaran yang amat berguna. Berusahalah sedaya upaya terlebih dahulu, berusaha untuk seboleh-bolehnya berjimat dan kurangkan kos pengeluaran dalam suasana ekonomi tak menentu kini. Kemudian barulah minta pertolongan kalau tak mampu sangat.

Pengajaran Di Mana-Mana.


Kalau difikirkan mengikut skema biasa penilaian kita dalam menilai kata-kata manusia, mungkin persoalan siapakah yang memberi nasihat,apakah pangkatnya,apakah darjatnya,pekerjaannya malah apakah bangsa dan agamanya pasti menjadi ukuran dan nilaian kita terlebih dahulu sebelum memikirkan sama ada untuk menerima atau tidak teguran dan nasihat yang diberikan.

Teringat kata-kata ustaz saya dahulu, Golongan kafir dan pemerintah-pemerintah dunia pada zaman dahulu terhalang dari hidayah Allah kerana terlalu mempersoalkan siapakah peribadi Muhammad s.a.w daripada apa yang disampaikannya. Muhammad s.a.w hanyalah seorang miskin, yatim piatu, malah buta huruf atau istilahnya Ummiy. Tiada apa-apa kelebihan duniawi yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w untuk dinilai golongan-golonagn pembesar Makkah ketika itu. Justeru, hati mereka disekat dari menerima hidayah dan pengajaran berguna yang disampaikan Rasulullah s.a.w.

Selain dari kisah itu, teringat juga kisah yang berlaku terhadap Imam Al-Ghazali iaitu seorang ulama' agung dalam sejarah Islam. Suatu hari, Imam Al-Gahazali tercari-cari jawapan terhadap suatu kemusykilan yang beliau alami,iaitulah bagaimana untuk mengetahui bahawa seekor anjing itu telah baligh atau tidak. Beliau tercari-cari di dalam banyak kitab-kitab tetapi tidak pernah berjumpa. Lalu, suatu hari ada seorang lelaki yang kelihatannya seperti orang kurang siuman yang siang malam kelibatnya hanya di kaki lima jalan telah memberikan jawapan kepada beliau. Lelaki tersebut menjawab persoalan yang beliau tercari-cari selama ini. Jawab lelaki itu, anjing yang telah matang atau masih belum matang boleh dilihat apabila ia kencing. Kalau kencingnya dengan mengangkat sebelah kaki belakang, maka anjing itu telah matang. Begitulah kisahnya sehinggakan suatu hari ketika imam Al-Ghazali sedang menyampaikan kuliah pengajiannya, tiba-tiba beliau bangun menghormati lelaki terbabit yang ketika itu hadir dalam pengajian beliau.

Satu lagi kisah yang juga berlaku kepada imam Al-Ghazali, di mana suatu hari seorang perompak telah menyerbu dan merompak kitab-kitab beliau. Lalu, imam Al-Ghazali merayu kepada perompak itu agar dipulangkan semula kitab-kitabnya kerana di dalam kitab-kitab itulah terletaknya segala ilmu-ilmu beliau. Perompak itu lalu memberikan respon, "Oh..Kalau begitu, tidak sehebat manalah engkau...Ilmu-ilmu engkau hanya apa yang ada di dalam kitab.." Setelah peristiwa itu, Imam Al-Ghazali menghafal kesemua yang tertulis di dalam kitab-kitab tersebut. Begitulah pengajaran yang bermanfaat diambil oleh seorang ulama' Islam meskipun datangnya dari golongan yang dipandang hina oleh masyarakat.

Bahkan Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Kebijaksanaan (Al-Hikmah) itu adalah milik golongan orang-orang yang beriman. Di mana sahaja ia ditemui maka, hendaklah dikutip dan dipungut,"

Kembali kepada kisah saya dengan si tauke Cina tadi. Betapa pengajaran yang besar saya dapat dari Tauke Cina itu. Beliau turut memberitahu saya, "Lu aaa.. datang sini tengok macam mana wa tukar lu punya tayar...balik lu cuba sendri aaa...cali itu spanar,tuil apa semua...nanti lu buat sendri aa...tak payah susah-susah woo datang jauh-jauh...keluar duti lagi mau tukar tiub tayar saja..."

Jadi, hari ini saya pun belajar secara praktikal bagaimana hendak membuka dan menukar tayar motorsikal saya tanpa perlukan bantuan formen-formen dan mekanik dari kedai motorsikal. kebetulan, tayar bocor lagi sekali dan Alhamdulillah, punca kebocoran juga telah dikenalpasti. Dawai yang melekat di tayar luar telah membocorkan tiub dalam tayar motorsikal saya.





Fuhh...berpeluh juga nak tukar tiub ni...




1 comment: