Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Friday, May 29, 2009

Hadkan Hanya 10 Subjek Untuk SPM?


Sumber: Berita Harian

SPM had 10 subjek


Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


Bolehkan guru tumpu pengajaran mata pelajaran teras: Muhyiddin

SEREMBAN: Mulai tahun depan, calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.

"Langkah mengehadkan subjek itu turut memanfaatkan ibu bapa kerana ada yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen berikutan waktu pembelajaran subjek tambahan di sekolah tidak mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas meletakkan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek di sini, semalam.

Sistem persijilan terbuka sekarang tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran yang hendak diduduki calon SPM menyebabkan sesetengah pelajar mengambil sehingga 20 subjek. Tahun lalu, 48,000 pelajar atau kira-kira 10 peratus daripada 500,000 calon SPM mengambil lebih 10 subjek.

Muhyiddin berkata, selaras langkah mengehadkan subjek SPM, sistem penggredan peperiksaan itu juga akan diubah untuk memudahkan penilaian dalam penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Perubahan sistem penggredan ini penting supaya jika dapat A, kita mahu tentukan sama ada gred itu A, A+ atau A-. Begitu juga jika B, sama ada B, B+ atau B-. Ini supaya dalam soal mendapat biasiswa, pelajar dinilai berdasarkan bilangan subjek diambil dan gred diperoleh," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, sistem penggredan baru itu turut meliputi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan. Sistem itu sudah dilaksanakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Sistem ini akan menjadikan keputusan peperiksaan lebih terperinci. Sebagai contoh di peringkat UPSR, kira-kira 48,000 murid mendapat A dalam semua subjek. Jadi dengan sistem baru, lebih mudah untuk pemilihan murid memasuki sekolah berasrama penuh," katanya.

Alimuddin berkata, sistem penggredan itu masih dikaji untuk diperhalusi, tetapi kementerian tidak menghadapi masalah untuk melakukannya kerana hanya memerlukan sedikit penyusunan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya yang membincangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kelmarin, mahu usaha diperhebatkan untuk meningkatkan mutu pendidikan di luar bandar.

Usaha akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 untuk memperbaiki kemudahan prasarana di luar bandar serta menghantar guru terlatih dan berkelayakan, terutama bagi subjek bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Ini penting untuk merapatkan jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar serta antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Walaupun jurang itu tidak terlalu jauh, ada perbezaan ketara antara bandar dengan luar bandar. Ini dapat dilihat dari segi keputusan peperiksaan," katanya yang sebelum itu melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan Bandar Enstek.

Antara komponen utama kompleks pendidikan berharga kira-kira RM1.3 bilion itu ialah Institut Aminuddin Baki, Kolej Tunku Kursiah, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Fasa pertama dijangka siap akhir tahun depan, manakala fasa kedua dilaksanakan dalam RMK-10. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.



Respon Harakah

Mahfuz minta Muhyiddin kaji semula keputusan had ambil subjek SPM


Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | May 28, 09 | 5:11:07 pm MYT


KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan mengehadkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi mengulas isu tersebut.

Beliau mengharapkan kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula kesan negatif terhadap keputusan itu.

"Pertamanya mengapa perlu kita menghalang kecemerlangan pelajar dengan hanya isu remeh iaitu persoalan biasiswa, berapa kerat sangat mereka yang ambil subjek sehingga 20, dan berapa ramai sangat yang dapat 20, tahun ini hanya Nik Nurmadihah seorang sahaja yang dapat 20 A," katanya.

Keputusan kerajaan ini lebih dilihat bersifat meminggirkan sekolah agama yang kebanyakan pelajarnya akan mengambil lebih 10 mata pelajaran, katanya.

"Ramai pelajar sekolah agama yang mengambil lebih 10 mata pelajaran kerana subjek teras dan subjek elektif (agama) yang mesti mereka ambil menghampiri jumlah 10, dan untuk membuka peluang mereka menerokai kerjaya lain selain dari bidang agama, mereka perlu mengambil subjek elektif lain seperti Fizik, Kimia dan sebagainya," katanya.

Sudah terbukti, pelajar-pelajar keluaran sekolah agama berjaya mendapatkan keputusan yang baik walaupun mengambil lebih 10 subjek, katanya.

"Saya bimbang pertimbangan ini hanya kerana masalah biasiswa dan lebih parah lagi jika ada muslihat politik sebaliknya.

"Kita lihat sahaja keputusan kerajaan menarik kembali bantuan perkapita SAR ketika kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, akhirnya hanya kerana alasan SAR sarang pembangkang, ini satu helah yang kita akan lihat selepas ini buktinya, ini persepsi yang tak dapat dihalang," ujar Mahfuz.

Justeru beliau mendesak kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut demi masa depan dan kecemerlangan pelajar.

Muhyiddin dalam satu kenyataanya hari ini berkata, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.

Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek./wann

No comments:

Post a Comment