Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Wednesday, May 27, 2009

Kepimpinan dan Perubahan



Sememangnya berat untuk memikul tanggungjawab memikirkan perubahan,melaksanakan perubahan dan seterusnya menerima perubahan. Itulah perkara yang sangat dikhuatiri oleh mana-mana individu yang bergelar pimpinan Islam. Sehinggakan ramai dari golongan pimpinan yang zuhud ini apabila ditawarkan apa-apa jawatan kepada mereka, ada sebahagian dari mereka yang akan menolaknya.

Namun,atas dasar amanah dan tuntutan dari Allah yang diputuskan atas syura kaum muslimin. Maka, mahu atau tidak mahu, berat ataupun ringan itulah taklifan. Tanggungjawab untuk memimpin ummat adalah wajib. Ummat tetap memerlukan seorang pemimpin untuk menghalatujukan arah dan destinasi mereka. tanpa pemimpin, maka kucar-kacirlah keadaan dunia Islam. Inilah prinsip wehdah, kesatuan yang Islam tonjolkan. Ramai mana pun bilangan kamu,banyak mana pun percanggahan pemikiran dan pendapat di kalangan kamu. Kamu mesti berbalik kepada satu.

Begitu juga pemimpin. Tidak ada negara atau masyarakat yang memiliki 2 pemimpin dalam satu-satu masa. Tidak ada 2 perdana menteri dalam satu kerajaan. Melainkan di negeri Perak pernah wujud 2 Menteri Besar. Itulah salah satu kesan buruknya punyai dua nakhoda. Tidak ada 2 maharaja dalam satu dinasti.

Malah rasulullah sendiri menyatakan apabila wujudnya 2 khalifah berkuasa, maka hendaklah ‘dibunuh’ salah seorang dari mereka. Maksud dibunuh dihuraikan dengan panjang lebar adakah dibunuh dengan senjata seperti pedang atau dengan persengketaan peperangan. Atau maksudnya adalah digulingkan salah seorang dari mereka yang berkuasa itu. Walau apapun huraiannya ia membuktikan bahawa kepimpinan adalah satu. Kepimpinan juga adalah bentuk kesatuan, al-wehdah. akhir sekali kepimpinan yang satu itu mengahala kepada satu matkamat. Maka,matlamat yang satu itu tak lain adalah Allah sebagaimana di sebeut, Allahughoyatuna…Allah adalah matlamat kita semua..



Tanggungjawab yang sangat besar untuk memimpin ummat dan sedaya upaya membuat perubahan dalam masyarakat sememangnya berat dan memerlukan kesatuan pemikiran. Sebagaimana yang disebutkan tadi, membentuk al-wehdah. Pemimpin antaranya yang sangat perlu memainkan peranan dalam menyatukan setiap golongan masyarakat di bawahnya. Bahkan, perubahan yang ingin ditampilkan juga sangat memerlukan kesatuan pemikiran. Sememangnya sukar untuk membentuk kesatuan pemikiran kerana setiap orang mempunyai pemikiran dan cara fikir masing-masing. Maka, kebijaksanaan pimpinan dalam menyatupadukan ahli masyarakat di bawahnya adalah sangat diperlukan.

Walaubagaimanapun, asas dan platform membentuk kesatuan mestilah betul berada di atas kebenaran. Menyatupadukan manusia atas paksi kebatilan adalah salah dan mesti dipecahkan kesatuan tersebut. Merujuk kembali kepada sejarah, kaum kafir quraisy juga dahulunya bercakap berkenaan isu perpaduan nasionalisme, kaum Arab. Manakala, Nabi s.a.w pula bercakap dan bersuara atas dasar kesatuan Aqidah dan Tauhid. Maka, asas kebenaran iaitu mentauhidkan Allah mestilah dipilih.

Sedarkah atau tidak, kini perubahan susah untuk dilakukan kerana pemimpin tidak mampu memecahkan tembok pemikiran lama yang bersarang dalam minda masyarakat. Maka kesatuan pemikiran sukar berlaku dek keterikatan masyarakat dengan method pemikiran cara lama masih berlaku. Teringat saya akan kata ustaz Kamal Sha'ari. ”Dulu kita nak berkuliah susah..Sekarang kita nak berkuliah pula payah.” Mesti ramai yang tidak faham. Apa sebenarnya yang dimaksudkan beliau? Beliau mengatakan bahawa dahulu sebelum PR memenangi di Selangor ustaz-ustaz seperti beliau sangatlah sukar untuk menembusi surau-surau dan masjid-masjid di sekitar selangor kerana beliau dan ustaz-ustaz lain mudah dilabelkan sebagai pembangkang dan pastinya akan diburu oleh pihak-pihak tertentu apabila mereka ingin menyampaikan kuliah-kuliah. Namun, kini apabila PR sudah berjaya memerintah di Selangor dan beliau pun sudah kembali bebas berkuliah tanpa lagi perlu risau diburu, realitinya menjadi satu cabaran baru pula kepada diri beliau untuk memecahkan pemikiran masyarakat. Itulah yang beliau maksudkan dulu nak berkuliah susah,kini nak berkuliah pula payah.

Minda masyarakat yang selama ini ditanam dengan doktrin-doktrin yang mengatakan bahawa Islam itu tidak mampu dilaksanakan kerana masyarakat kita adalah majmuk,malah ada juga yang mengatakan Islam hanya sesuai di zaman Nabi sahaja dan banyak lagi doktrin-doktrin sesat telah menyebabkan masyarakat cenderung untuk beriman dengan kenyataan itu menambahkan kekusutan untuk ia dirungkaikan. Minda yang dicucuk dan disuntik ubat pelali lebih 50 tahun sehingga menampakkan bahawa susahnya Islam jika hendak dilaksanakan.

Lebih bahaya lagi apabila, berlaku pengalaman-pengalaman tertentu yang menambahkan lagi keyakinan mereka sedangkan ianya adalah perkara yang ditambah-tambah oleh pihak tertentu sehingga menampakkan susahnya Islam seperti isu akad nikah. Kadangkala, akad nikah pun sehingga 16 kali lafaz akad nikah tetap tak lepas-lepas seperti yang berlaku kepada seorang artis yang lebih dikenali sebagai, Mazlan Pet-Pet. Sedangkan ia perkara paling mudah jika berlandaskan syariat yang tidak ditokok tambah. Inilah yang mencacatkan Islam. Itu dilihat tidak kena,ini tidak kena. Si bakal suami terlambat beberapa saat untuk menyahut lafaz akad nikah juru nikah pun kadang kala menjadi hal sehingga perlu diulang semula akad nikah. Itulah realitinya kadang-kala berlaku dan boleh dijadikan contoh. Menurut ustaz Kamal Sha'ari lagi, sebenarnya akad nikah tanpa perlu berjabat tangan pun dikira sah. Sudahlah nak menikah pula mesti melalui banyak proses sehinggakan masyarakat merasakan sesuatu yang membuang masa dan wang mereka. Maka, Islam disusahkan oleh penganutnya sendiri,itulah masalah utama kini dalam membetulkan kembali perspektif ini ke dalam masyarakat.



Setelah 50 tahun didoktrinasi dan melalui suasana dan keadaan begitu,sememangnya agak sukar nak membetulkan semula pemikiran sempit dan mindset lama masyarakat. Ibaratnya kita berputar atau berpusing dalam keadaan setempat sebanyak 50kali kemudian kita berhenti berpusing dan cuba untuk berjalan lurus ke hadapan. Bayangkan, sudah tentu kita belum pasti akan dapat berjalan betul-betul lurus ke hadapan. Pastinya kita akan terhuyung-hayang ke sana ke mari. Apa yang ingin dinyatakan di sini adalah ancaman kepada perubahan itu sendiri adalah diri sendiri dan mentaliti kita. Mindset dalam kepala kita harus berubah. Apabila hendak melakukan perubahan, tentangan pasti akan datang dari golongan sebegini yang terlalu rigid dengan pemikiran lama. Menjadi kewajipan kepada golongan pemimpin untuk sedaya upaya memecahkan mentaliti lama ini demi memperlihatkan kecantikan Islam dan kemudian menyatukan semula masyarakat dalam suatu suasana baru berlandaskan kesyumulan Islam…

Islam menyatakan bahawa prinsipnya adalah thabat (tetap) dari sudut hukum-hukumnya adalah tetap. Namun, pelaksanaan,methodoly,pendekatannya adalah bersifat murunnah(fleksibel). Inilah prinsip Islam yang menjadi bukti bahawa Islam itu sebenarnya adalah mudah,tidak jumud. Malah, anjal dan berkembang mengikut keadaan semasa. malah, Islam sangat meraikan pandangan-pandangan yang membuka minda agar akal berfikir secara kritikal.

Ayuh. Majulah kehadapan bersama Islam. Lenyapkan dan runtuhkan kejahilan yang bersarang di dalam minda-minda kita. Pandulah perubahan dengan ilmu,insya-Allah akan berjaya dan lebih maju. Sesungguhnya di dunia ini, Perkara yang kekal adalah perubahan.

No comments:

Post a Comment