Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Wednesday, May 20, 2009

Ulama' Atau Professional ; Serangan Sekularisme Ke Dalam PAS?



Menjelang pemilihan PAS akan datang,antara isu yang hangat dibahaskan adalah berkaitan siapakah calon paling sesuai mengisi post-post penting Parti Islam tersebut. Munculnya isu adakah ulama' atau golongan professional yang paling sesuai dan layak untuk terajui kepimpinan utama parti Islam itu.

Bagi sesetengah pihak,ia ibarat perkara biasa apabila menjelang pemilihan PAS dan sememangnya di dalam PAS wujud dua golongan terbabit iaitu golongan ulama' dan golongan professional. Apakah takrifan ulama' yang kita fahami dan apakah pula takrifan professional yang kita imani cuba dirungkai satu per satu. Ada sesetengah berpendirian menyokong kepimpinan ulama' dengan bersandarkan beberapa nas-nas dan hujah-hujah tertentu,bahkan ramai juga yang mahu mengetengahkan golongan professional bagi menerajui kepimpinan tertinggi Parti Islam itu atas faktor hebatnya pengurusan dan idea bernas mereka. Maka,sekali lagi ahli dan penyokong PAS dihidangkan perdebatan yang cukup menarik untuk diikuti. Walaupun pada saat artikel ini ditulis, Presiden PAS iaitu Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah memenangi kerusi Presiden PAS untuk kali yang ke seterusnya,namun artikel ini ditulis tidak langsung bermaksud untuk mempertikaikan keputusan atau situasi yang berlaku. Malah, saya turut bergembira dan bersyukur atas kemenangan Tuan Guru memegang taklifan tersebut dan saya mengucapkan Tahniah buat beliau. Beliau sememangnya calon yang layak dan sesuai sebagai Presiden PAS memenuhi kelayakan sebagai seorang ulama' dan professional.



Melihat kembali kepada situasi yang dihangatkan tadi iaitu berkenaan kepimpinan Ulama' atau Professional. Seharusnya kita melihat dari skop dan kerangka yang lebih luas dan bukan dikecilkan hanya menjurus kepada persoalan dua sample perdebatan ini sahaja. Persoalan yang lebih besar ialah persoalan berkaitan pembinaan atau pembentukan kepimpinan di dalam PAS itu sendiri yang selalu kita sebut sebagai Tarbiyyah.

Pada pandangan saya secara peribadi, apabila isu ini diperdebatkan dengan sekencangnya, ia ibarat mempersoalkan dan mendedahkan kelemahan sistem tarbiyyah di dalam PAS itu sendiri yang sememangnya memerlukan penambahbaikan. PAS dilihat terikut-ikut dengan jejak langkah dan perangkap sekularisme yang ditentangnya sendiri.

Sebagaimana yang kita fahami, sekularisme khususnya di dalam bidang pendidikan telah mewujudkan blok-blok tertentu dengan melabelkan kelas-kelas manusia. Golongan yang mempelajari khusus dalam bidang agama akan dilahirkan menjadi ulama' di dalam masyarakat. Manakala yang mempelajari bidang lain selain dari bidang agama seperti jurutera,kedoktoran,guru dan sebagainya akan dihasilkan sebagai golongan yang disebut sebagai professional.



Inilah bahana dan kesan sistem sekularisme yang tidak berteraskan aqidah tauhid dan ia kini menyerang ke dalam gerakan Islam di negara kita. Ingin saya membuka pemikiran kita semua dengan melihat kepada satu suasana dalam gerakan Islam utama di luar negara. Sekali imbas ke dalam gerakan Islam terulung yang menjadi model kebanyakan gerakan Islam seluruh dunia iaitulah gerakan Ikhwanul Muslimin, kita pasti akan kehairanan melihat tampuk kepimpinan tertinggi mereka. Lihat sahaja kepada mursyidul 'am gerakan Islam itu iaitulah al-ustadh Muhammad Mahdi 'Akif. Tahukah kita apakah profesion beliau? Adakah beliau seorang ulama' seperti yang kita imani iaitu seorang yang mempelajari khusus dalam bidang agama? Beliau sebenarnya merupakan seorang yang ber'tittle' professional. Begitu juga dengan al-ustadh Fathi Yakan yang merupakan tokoh gerakan Islam di Turki. Beliau adalah dari golongan yang bergelar professional. lebih jelas lagi dengan melihat kepada as-syaheed Dr. Abdul Aziz Al-Rantissi yang pernah menerajui kepimpinan tinggi Gerakan Islam HAMAS sebelum dibunuh kejam oleh zionis Israel. Beliau yang paling jelas apabila namanya disebut dengan gelaran 'Dr.' bersekali dengan namanya. Mereka inilah antara model kepimpinan yang seharusnya dicontohi dan dibentuk oleh PAS tanpa perlu timbul lagi isu sama ada mereka ini dari golongan professional atau pun ulama'

Mengapakah saya mengatakan bahawa sekularisme menyerang PAS? Tidak lain kerana sistem tarbiyah PAS masih lagi gagal memecahkan blok-blok fahaman ini sehingga dalam isu melibatkan pemilihan kepimpinan masih lagi persoalan sebegini ditimbulkan. Sepatutnya tidak timbul lagi isu ulama' vs professioanal jika sistem tarbiyyah PAS berjaya menanganinya. Apa yang seharusnya berjaya dilahirkan di dalam PAS ialah golongan ulama' yang mempunyai daya professionalisme yang tinggi dan golongan professional pula adalah golongan professional yang mempunyai sifat keulama'an yang mantap. Ya, memang benar ia hanya mainan media,namun pastinya ada sesuatu yang membuatkan media bahkan masyarakat umum nampak sesuatu yang tidak kena khususnya berkaitan soal siapakah yang layak menjadi peneraju kepimpinan.

Bukanlah niat di hati mempertikaikan bahkan saya bukanlah orang yang layak membincangkan soal pentarbiyyahan PAS, namun hasrat di hati ini sangat ingin melihat suatu generasi yang memenuhi sifat sebagai ulama' dalam masa yang sama mempunyai kewibawaan dari sudut professionalismenya. Pembentukan dan pembinaan kelompok qiyadah dalam PAS sememangnya perlu ditumpukan bagi memperbetulkan keadaan yang berlaku kini.

Tidak ada lain harapan untuk melihat gerakan Islam ini terus memacu ummah dengan para Qiyadi yang menerajuinya adalah golongan yang disebutkan sebagai Ulama' Professional atau Professional Ulama'. Professional dari sudut pengurusannya yang bijaksana lagi mantap. Tetapi dalam masa yang sama,penguasaan ilmu agama,garapan ilmu pengetahuan,kewara'kan serta taqorrub dirinya dengan Allah bagaikan seorang ulama' terbilang.

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment