Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Monday, May 4, 2009

Ikhtilaful Hadith : Ilmu Yang Perlu Dipelajari


Perkongsian dari Akhi Fadlullah Aceh

InsyaAllah, saya akan berkongsi dengan sahabat-sahabat pembaca sekalian berkenaan sebuah masalah di dalam ilmu Hadith.


Di dalam ilmu hadith, dibahagikan kepada beberapa perbahasan ilmu lagi. Antaranya adalah perbahasan mengenai beberapa Hadith Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam yang dilihat bertentangan ( ada kontra ) dengan Hadith yang lain. Ilmu ini disebut Ilmu Ikhtilaful Hadith.




Contohnya adalah seperti berikut :

1) Menyentuh kemaluan

a) Ada hadith yang menyatakan terbatal wudhu’.

b) Ada hadith yang menyatakan tidak batal wudhu’.

2) Minum berdiri


a) Ada hadith para sahabat melihat Nabi minum duduk.

b) Ada hadith para sahabat melihat Nabi minum berdiri.

3) Buang air menghadap kiblat


a) Ada hadith larangan Nabi daripada membuang air menghadap kiblat.

b) Ada hadith sahabat melihat Nabi membuang air menghadap kiblat.

4) Tidur dalam keadaan berjunub

a) Ada hadith Nabi berwudhu’ sebelum tidur apabila berjunub.

b) Ada hadith Nabi tidak berwudhu’ dan tidur dalam keadaan berjunub.

5) Menyamak kulit haiwan


a) Ada hadith Nabi mengatakan kulit apa sahaja yang disamak menjadi suci.

b) Ada hadith Nabi melarang memanfaatkan bangkai baik kulitnya mahupun tulangnya.

6) Pakai kasut putus tali


a) Ada hadith Nabi melarang memakai kasut sebelah sahaja jika tali kasut yang sebelah lagi putus.

b) Ada hadith sahabat melihat Nabi memakai kasut sebelah apabila yang satu lagi terputus.

7) Masuk syurga

a) Ada hadith Nabi menyatakan bahawa tidak masuk syurga jika dalam hati ada kesombongan sebesar biji sawi dan tidak masuk neraka bagi orang yang ada sebesar biji sawi sekalipun imannya.

b) Ada hadith Nabi menyatakan mengucapkan Lailaha illallah boleh masuk syurga walaupun berzina dan mencuri.

8) Kekufuran

a) Ada hadith Nabi mengatakan jadi kafir seseorang tidak membunuh ular kerana takut ditimpa musibah.

b) Ada hadith Nabi mengatakan boleh masuk syurga dengan mengucapkan Lalilaha illallah walaupun dia berzina dan mencuri. ( padahal membunuh ular lebih kecil dari masalah zina dan mencuri )

9) Penyakit merebak


a) Ada hadith Nabi melarang masuk atau bersama orang-orang yang terkena penyakit merebak.

b) Ada hadith Nabi pernah duduk dan makan bersama orang yang terkena penyakit merebak.

10) Melebihkan antara Nabi

a) Ada hadith Nabi mengucapkan bahawa Baginda adalah penghulu kepada orang terdahulu dan kemudian.

b) Ada hadith Nabi melarang melebihkan Baginda keatas Nabi-Nabi yang lain.

11) Kehancuran dunia


a) Ada hadith Nabi mengatakan bahawa Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang mengucapkan Lailaha illallah atas muka bumi.

b) Ada hadith Nabi mengatakan bahawa manusia yang paling buruk adalah mereka yang sempat mendapati ( menemui ) Hari Kiamat dan mereka masih hidup.


Jika dilihat secara zahirnya, maka seolah-olah antara Hadith-Hadith ini ada kontra. Namun, bagi yang mempelajarinya, InsyaAllah akan memahami dengan baik permasalahn-permasalahan ini tanpa membuat dakwaan-dakwaan bahawa tindakan mereka sahaja yang benar. Ini kerana kebanyakan masalah itu berlaku kerana seseorang itu hanya menemui sebuah hadith tentang bab itu dan tidak pula menemui hadith lain yang berkaitan.

Sahabat-sahabat pembaca sekalian,

Saya akan mulakan sambungan artikel berkenaan Iktilaful Hadith pada beberapa masalah yang sering disalah fahami dikalangan kita terlebih dahulu. Selain dari masalah-masalah yang masyhur tersebut, akan saya susulkan pada artikel berikutnya nanti. InsyaAllah. Adapun, dalam permasalahan-permasalahan ini, saya usahakan meringkas sekadar untuk difahami mengapa berlaku perbezaan dalam memahami hadith tersebut sahaja.

a) Menyentuh kemaluan –

Hadith 1: Sabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa menyentuh kemaluannya, maka hendaklah ia berwudhu’.

Hadith 2: Sabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa yang menyentuh kemaluannya, maka janganlah ia solat sehingga dia berwudhu’.

Hadith 3 : Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah dan bertanya tentang orang yang menyentuh kemaluannya, apakah ia perlu berwudhu’. Sabda Rasulullah : “Sesungguhnya itu hanyalah sepotong daging darimu”.

Masalah : Hadith 1 dan 2 dilihat bertentangan dengan hadith ke-3.

Penjelasan : Ulama’ mazhab Syafi’I berpendapat menyentuh kemaluan membatalkan wudhu’ berdasarkan hadith 1 dan 2. Bagi ulama’ mazhab Hanafi berpendapat tidak membatalkan wudhu’ berdasarkan hadith ke-3.

Pandangan ulama’ menyatakan bahawa terbatal wudhu’ bagi orang yang mengenggamnya iaitu menyentuh dengan tapak tangan bahagian dalam dan mungkin menimbulkan rangsangan. Ini tidak diragukan lagi dan wajiblah berwudhu’ berdasarkan hadith 1 dan 2.

Adapun hadith ke-3 itu merujuk kepada orang yang sudah lanjut usia. Maka, itu tanpa sengaja atau tanpa syahwat, tidaklah membatalkan wudhu’nya. Wallahua’lam.

b) Kencing berdiri –

Hadith 1: Nabi s.a.w tidak pernah kencing berdiri.

Hadith 2: Nabi s.a.w melarang seseorang kencing dengan berdiri.

Hadith 3: Kata Aisyah r.a : Siapa yang menceritakan kepada kalian bahawa Nabi buang air berdiri, maka janganlah kalian percayainya. Beliau tidak pernah buang air kecil kecuali dengan duduk.

Hadith 4: Kata Huzaifah “aku melihat Nabi mendatangi tempat pembuangan sampah sebuah kaum, lalu baginda membuang air kecil dengan berdiri”.

Masalah : Hadith 1, 2 dan 3 dilihat bertentangan dengan hadith ke-4.

Penjelasan : Nabi s.a.w kencing berdiri di tempat pembuangan sampah ( tempat buang pelepah kurma di Madinah ) kerana kesukaran untuk Nabi duduk ditempat yang sebegitu dengan kondisi sampah dan kemungkinan kotoran lain. Maka Nabi pun berdiri dan berlindung dibelakang seseorang sebagai pendindingnya.

Maka, jika ada yang mengatakan Nabi kencing berdiri, itu benar tetapi dalam kondisi darurat sahaja yang dibenarkan berdasarkan kaedah Fiqh : Keadaan darurat mengharuskan hal-hal yang dilarang.

c) Minum berdiri –

Hadit 1: Sabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa yang minum berdiri, maka hendaklah ia muntahkannya.

Hadith 2: Ada sahabat yang melihat Nabi minum berdiri di tepi telaga Zam-Zam.

Masalah : Hadith 1 dilihat bertentangan dengan hadith ke-2.

Penjelasan : Nabi minum berdiri ditepi telaga zam-zam kerana pada saat itu suasana ditepi telaga itu penuh sesak dengan orang ramai. Jika Nabi duduk disitu, pasti akan mengganggu orang lain yang menghampiri telaga untuk mengambil air. Keduanya, sengaja Nabi berdiri agar perbuatannya minum air zam-zam dapat dilihat oleh para sahabat sebagai makluman kepada mereka bahawa antara manasik (perkara-perkara sunat ) dalam musim haji adalah minum air zam-zam. Jika Nabi minum duduk, mungkin sahabat tidak nampak.

Maka, jika ada yang mengatakan Nabi membenarkan minum berdiri, itu tidak benar kecuali dalam suasana seperti Nabi dan jika ada yang mendakwa bahawa minum air zam-zam itu sunat sambil berdiri, maka itu juga tidak benar. Wallahua’lam.

d) Buang air menghadap kiblat –

Hadith 1: Sabda Rasulullah s.a.w : Jangalah kalian menghadap kiblat saat membuang air besar atau air kecil.

Hadith 2: Ibnu Umar r.a berkata “ketika aku naik ke rumah Hafsah, aku melihat Rasulullah sedang buang hajat dengan menghadap arah Syam dan membelakangi kiblat.

Masalah : Hadith 1 dilihat bertentangan dengan hadith ke-2. Sedangkan Nabi melarang buang air menghadap ke kiblat atau membelakangi kiblat.

Penjelasan : Nabi membuang air menghadap arah Syam dan membelakangi kiblat dirumah Hafsah kerana Baginda duduk dalam bangunan tertutup ( jamban ). Maka, larangan Nabi agar tidak menghadap kibalt atau membelakanginya hanya pada kawasan yang terbuka seperti padang dan seumpamnya yang tidak mempunyai bangunan atau tabir yang melindungi kita. Adapun jika dalam bangunan yang tertutup, dibenarkan.

e) Pakai kasut tali putus –

Hadith 1: Sabda Rasulullah s.a.w: Jika putus tali sandal (kasut ) salah seorang dikalangan kamu, maka janganlah ia berjalan dengan kasut sebelah.

Hadith 2: Tali kasut Nabi putus, lalu Baginda berjalan dengan kasut sebelah hingga beliau memperbaiki yang lainnya.

Masalah : Hadith 1 dilihat bertentangan dengan hadith ke-2.

Penjelasan : Nabi melarang memakai kasut sebelah apabila putus sebelah lagi kerana Nabi melihat seorang lelaki yang melakukannya begitu dan memegang kasut yang putus itu ditangannya. Lalu ia berjalan seperti orang pincang. Ia kelihatan amat buruk dengan keadaan begitu jika berjalan dalam jarak yang jauh dan lama dan tidak enak dilihat. Pun begitu, larangan ini hanya bersifat makruh.

Adapun Nabi pula putus tali kasut dan Nabi berjalan perlahan sehingga selesai perbaiki kasutnya. Kerana saat itu, Baginda dekat sahaja dari rumahnya. Baginda mengikat kasutnya dengan sesuatu. Sampai dirumah, Baginda lalu memperbaikinya. Maka, bezanya adalah jarak yang dekat dan jauh, lama atau dekat. Itu sahaja. Wallahua’lam.

Sumber rujukan : Hadith Shohih Yang Disalah Fahami – Pustaka At-Tazkia, Jakarta.
Karangan : Prof.Dr Umar bin Abdul Aziz Quraisyi.

Penjelasan penulis : Maka dalam mempelajari hadith, bukan sahaja perlu kita tahu mensyarahkan hadith, namun sebelumnya juga perlu mengetahui ilmu berkaitan Asbabul Wurud Hadith iaitu ilmu yang mengkaji sebab-sebab disabdakan hadith yang meliputi bila Nabi bersabda, kepada siapa Nabi bersabda dan dimana Nabi bersabda sebagaimana di dalam Al-Qur’an juga ada Asbabun Nuzul. Mudah-mudahan Allah permudahkan kita memahami Islam. InsyaAllah. SILA MAKLUM JIKA ADA KESALAHAN DALAM TULISAN INI.

No comments:

Post a Comment