Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Thursday, May 28, 2009

Kritik adalah penentang, Setuju adalah penyokong?




"Pembangkang adalah salah dan jahat, tiada yang salah dan jahat melainkan pembangkang."
"Kerajaan adalah benar dan baik, kalau benar dan baik maka kerajaanlah ia."


Ayat-ayat di atas adalah sebahagian dari mentaliti yang terbentuk dan 'dibentuk' sekian lama ke dalam minda rakyat sehinggalah berlakunya era transformasi politik yang melanda negara kita mutakhir kini. Transformasi politik itu lebih digembar-gemburkan sebagai "Era Politik Baru" pasca 8 Mac 2008. Kini, bentuk pemikiran lama seperti yang disebutkan di atas sudah kian terhakis dan telah mengalami perubahan secara evolusi.

Kenapa situasi atau fenomena ini disebutkan sebagai politik baru? Walaupun bagi saya, istilah "politik baru" itu sebenarnya hanya layak disebut di dalam konteks kita di Malaysia sahaja. Hakikat sebenarnya ia sudah lama berlaku di negara-negara maju seperti di negara-negara Eropah. Di Britain sendiri sebagai contoh, bahkan di negara Amerika Syarikat yang dilabelkan sebagai negara paksi keganasan dunia yang menzalimi negara-negara dunia Islam pun telah lama berlaku keadaan politik baru yang lebih terbuka ini. Perbahasan-perbahasan,diskusi-diskusi secara berdepan dan terbuka dipraktikkan dengan hebat di negara-negara berkenaan dengan isu-isu yang menjurus kepada penggubalan polisi kerajaan, kepentingan rakyat dan negara serta hubungan luar diutamakan dan dijadikan topik hangat perbincangan mereka.

Sesuatu yang lebih menarik, amalan politik berteraskan sentimen kepartian hampir lenyap di sana. Meskipun mereka bertanding mewakili parti masing-masing,namun dalam sesuatu isu yang dibangkitkan, mereka tidak terikat dalam menyatakan sokongan dan persetujuan terhadap mana-mana pandangan dan pendapat. Bukanlah suatu kehairanan sekiranya hujah ketua pembangkang di parlimen Britain kadang-kala disokong sendiri oleh Perdana Menteri Britain. Mereka tidak diugut atau dipecat dari keahlian atau dari memegang apa-apa jawatan sekiranya bercanggah pandangan dengan kumpulan atau parti mereka sendiri. Sikap 'Yes Man' terhadap apa yang dibawa oleh pihak sendiri termasuk dalam perkara yang salah tidak berlaku.

Perkara yang harus kita kembali fikirkan. Persoalan berkenaan mentaliti lama sebahagian dari kalangan masyarakat kita yang masih menganggap bahawa Pembangkang adalah Jahat. Kritikan adalah satu kesalahan. Cuba kita buka kotak pemikiran kita, bagaimanakah boleh dikatakan pembangkang itu adalah jahat dan salah sedangkan pembangkang wujud di dalam sistem demokrasi dan diiktiraf sebagai salah satu komponen dalam sistem tersebut? Jika pembangkang adalah jahat dan salah, maka sepatutnya tempatnya tiada dalam sistem sesebuah negara apatah lagi dalam demokrasi sendiri. Hanya kerajaan bersifat dan bersikap diktator yang tidak mempunyai pembangkang. Pemerintahnya beranggapan bahawa dia berhak melakukan apa sahaja terhadap rakyatnya sendiri walaupun kadang-kala perkara yang dilakukan tidak disukai. Maka, berlakulah kadang-kala rakyatnya sendiri bertukar watak menjadi pembangkang bila mana pemerintah tersebut tidak berlaku adil dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.

Pecahnya mentaliti lama yang bersarang menganggap bahawa pengkritik adalah pembangkang. Sebenarnya betul dan tiada masalah sekiranya dilabelkan pengkritik itu adalah pembangkang. Pengkritik sememangnya adalah pembangkang. Cuma, bentuk pemikiran lama masih menganggap pembangkang adalah tidak betul dan negatif.

Ada pula yang mengklasifikasikan jenis kritikan. Kritikan dibahagikan kepada dua salah satunya sebagai kritikan yang konstruktif,dan satu lagi adalah kritikan yang negatif atau meruntuhkan. Pada saya, kritikan itu adalah konstruktif, malah tidak perlu ditambah perkataan konstruktif pun sebagai adjektifnya seperti yang sering disebut sebagai "kritikan konstruktif". Perkara yang menjatuhkan dan bersifat meruntuhkan bukanlah kritikan sebenarnya. Ia adalah kutukan,maki hamun yang tiada langsung pengajaran yang mampu diambil darinya.

Ulama Boleh Dikritik Dan Ditegur Namun, Jangan Dikutuk Dan Dimaki Hamun


Kritikan sebenarnya adalah makanan utama kepada para ulama' yang sepatutnya kita turut sama memilikinya. Bukanlah seseorang itu layak digelarkan sebagai ulama' andainya hanya kaya dengan ilmu tetapi tidak boleh dikritik dan ditegur. Kritikan dan teguran menunjukkan betapa golongan ulama' ini mengakui kekurangan diri yang mereka miliki meskipun dari suatu sudut mereka diiktiraf kehebatan terutamanya dari sudut keilmuan mereka,ulama' adalah sangatlah dikagumi. Kezuhudan terpancar melalui penerimaan mereka terhadap apa yang dikritikkan terhadap mereka dan diterima dengan penuh hati terbuka. Kadang-kala ulama' ini tidak pun segan silu memohon maaf atas keterlanjuran dan kesilapan yang telah berlaku. Inilah keperibadian ulama' yang perlu kita contohi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pernah menyebut, sekiranya PAS menguasai Kerajaan Kelantan dengan kesemua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri berjaya dikuasai, maka seharusnya dilantik beberapa orang Ahli Dewan Undangan negeri PAS untuk bertindak sebagai pembangkang. Ini kerana beliau menyedari hakikat betapa pembangkang itu sangat mempunyai peranan. Kritikan atau 'check and balance' sangat diperlukan terutamanya kepada pemerintah yang juga merupakan manusia biasa yang tak lekang dari salah dan silap. Bahkan, sekiranya kita melakukan kesilapan dan ditegur, maka itu lebih baik agar segera dapat dimuhasabahkan berbanding melakukan kesalahan namun tidak dikritik.



Lebih utama untuk saya sebutkan, bukan semata-mata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang bersifat begitu,bahkan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w lebih-lebih lagi menerima pandangan dan teguran sahabat-sahabat baginda secara baik. Tuan Guru Nik Abdul Aziz bolehlah saya sifatkan sebagai meneladani sahaja apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Itu yang lebih tepat. Saidina Umar Al-Khattab antara penegur setia baginda Rasulullah s.a.w. Dengan penuh beradab dan berhikmah beliau menegur Rasulullah s.a.w dalam beberapa peristiwa sehinggakan pernah suatu ketika Allah s.w.t menurunkan wahyu seolah-olah menyokong pandangan saidina Umar Al-Khattab yang diberikan kepada baginda seperti dalam peristiwa solat jenazah orang yang munafik dan sebagainya.

Persoalan adab juga penting dalam soal mengemukakan kritikan. Namun, adakah kritikan yang pembangkang kemukakan terhadap kerajaan di dalam parlimen atau sebaliknya dari kerajaan kepada pembangkang boleh diklasifikasikan sebagai saling tidak beradab di antara satu sama lain? Misalnya,Dato' Seri Anwar Ibrahim mengkritik keras Dato' Seri Najib Tun Abd Razak dalam isu menjaga nama baik negara contohnya. Apakah teguran secara terus terang dan terang terus sehingga kadang-kala mengaibkan seseorang dianggap sebagai beradab? Bersama kita fikir-fikirkan dan nantikan entri seterusnya...

No comments:

Post a Comment