Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Monday, May 4, 2009

Kenangan Generasiku



Sedar atau tidak, Perjalanan kehidupan dan perjuangan kami sekeluarga sudah sampai ke penghujung semester bagi sesi 2008/2009. Pahit manis berjuang bersama dalam kancah dakwah penuh mehnah dilalui dengan penuh rasa ukhuwwah dan mahabbah di kalangan kami. Sahabat-sahabiah yang mengajar erti kesabaran dalam perjuangan, yang mengajarkanku erti bersatu padu yang selama ini aku hanya pandai menyebutnya sahaja dibibir namun gagal sekali untuk dirasakan di dalam hati sanubariku.


"Generasi baru yang telah dinanti, tak takut dicaci tak gentar mati" Begitulah bunyinya lirik nasyid kumpulan kegemaranku, Shoutul Harakah dari Indonesia yang bertajuk "Gelombang Keadilan". Ianya ibarat motto kami sepasukan. Biarlah apa pun dugaan dalam menyebarkan Ar-risalah kepada masyarakat, perjuangan tetap kami teruskan bersama. Cacian ibarat hiburan yang bermain di telinga kami semua. Sahabat-sahabiah juga yang mengajarku erti berlapang dada dan tabah dalam perjuangan.


"Sabarlah akhi, masyarakat tidak ramai yang memahami matlamat perjuangan ini,kalau mereka semua faham, InsyaAllah Allah akan membuka pintu hati mereka untuk menerima perjuangan suci ini." Teringat kata sahabatku tatkala aku berasa lemah dan sangat kecewa dengan penerimaan masyarakat terhadap usaha yang telah kami lakukan. Merekalah, sahabat-sahabiah yang membangkitkan semangatku semula. Wajah-wajah pemuda-pemudi yang ditarbiyah dan dibentuk khusus bagi menggerakkan dakwah Islam di kampus ini. Terpandang sahaja aku akan wajah-wajah sahabat-sahabatku ini, tanpa perlu melafazkan sebarang ungkapan,semangatku pasti kembali berkobar-kobar.

Namun, hari ini...Satu majlis penuh kesayuan kami jalankan bagi meraikan seorang sahabat dan dua orang sahabiah yang bakal bergraduasi kelak. Suasana penuh hiba dengan beberapa amanat dan nasihat berguna disampaikan baik dari tiga orang individu terbabit dan juga dari seluruh sahabat dan sahabiah dalam majlis yang serba sederhana ini.

Majlis sebegini meskipun diadakan pada setiap hujung semester selagi wujudnya 'generasiku' di bumi kampus bertuah ini, namun bagi kami semua,kami menganggap ianya lebih dari sekadar sambutan biasa. Bukan hanya sekadar sambutan ulang'sem'.bahkan,ianya ibarat kami mengiringi sahabat-sahabiah kami untuk dihantar pergi berjuang ke satu dimensi perjuangan yang lain pula. Mereka bakal berhadapan dengan lebih ramai sampel mad'u-mad'u. Ada dari golongan terpelajar,golongan kelas bawahan,atasan dan berbagai jenis golongan di luar sana.

Sekiranya kita melihat saudara-saudara kita di Gazzah,Palestin,tiba saat seruan intifadhoh dilaungkan. Ahli keluarga selalunya akan mengiringi anak-anak mereka sehingga ke muka pintu di hadapan rumah mereka dengan tangisan kegembiraan bercampur kesedihan serta diungkapkan amanat-amanat berharga buat anak-anak mereka sebelum melepaskan anak-anak mereka pergi berjuang mencari syaheed di jalan-Nya. Dengan bersenjatakan selaras senapang di tangan kanan, di dahinya tertulis kalimah mulia "Laila ha iLlaLlah, Muhammadar Rosulullah",begitu juga kami. Kami beramai-ramai seperti ahli keluarga yang mengiringi sahabat-sahabiah kami pergi berjuang di luar sana.

Tamatlah tempoh latihan kalian di sini dan melurulah kalian menuju lapangan sebenarmu di luar sana. Carilah lorong-lorong dan denai-denai yang telah dilalui pejuang-pejuang lain. Turutilah langkah mereka semua, InsyaAllah engkau tidak akan tersesat.



Salam perjuangan dari kami generasi ke-5, Five 4 Fighting buat sahabat kami, akhi Hazupi, ukhti Hasliza dan ukhti Syaza. Moga berkekalan memori tika kita sekeluarga bersama meredah gelora lautan di sini.

1 comment:

  1. kenapa generasi ke-5? mksudnya ada generasi ke-1. 2-4 la seblum ini?

    ReplyDelete