Assalamu'alaikum

Selamat berkunjung ke blog saya...sebarang cadangan boleh di email kepada saya muhammadalfateh87@yahoo.com

Sunday, July 5, 2009

Kenyataan GMUKM respon terhadap TNC UM

Bangi 2 Julai 02.45p.m│Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyifatkan kenyataan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Datuk Prof. Madya Dr. Azarae Hj. Idris di dalam akhbar Sinar Harian hari ini bahawa dua mahasiswa kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ perlu diadili di bawah AUKU adalah satu bentuk pencabulan hak asasi yang serius.

Pengerusinya, Hishamuddin Che Ali menyifatkan cadangan itu tidak berasas dan zalim kerana apabila seseorang dituduh di bawah kesalahan Kanun Keseksaan, ia mestilah diadili oleh undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang Universiti.

Katanya merujuk kepada pendakwaan ke atas Mohd Izzudidn Hilmi dan Mohd Syahruldin Rosli atas tuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan, melakukan khianat dengan menggunakan api di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan serta kesalahan menconteng dinding dewan utama fakulti itu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan ketiga-ketiga kesalahan dengan hukuman penjara maksimum atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Kalau kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, jelas Perkara 7 (2) Undang-undang tertinggi itu tidak membenarkan seseorang individu dijatuhkan hukuman untuk kali kedua atas kesalahan serupa,”tambah beliau lagi.

Katanya tindakan pihak Universiti untuk membawa kes itu di bawah tatatertib AUKU adalah salah dan bersifat double jeorpardy atau hukuman dua kali untuk kesalahan yang sama.

“TNC HEP perlu sedar bahawa tindakan pihak universiti membuat laporan polis telah menyebabkan kes itu diadili di bawah undang-undang jenayah dan bukannya tatatertib di bawah peruntukan seksyen 10 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan) 2008 yang melibatkan kesalahan bukan melibatkan tahanan pencegahan atau keselamatan dalam negeri.

“Inilah sebabnya AUKU walaupun dipinda beratus kali pun, ia perlu dimansuhkasn kerana ia sudah tidak relevan dan menimbulkan kecelaruan undang-undang”, tegasnya.

Tambahnya lagi bahawa belum tentu jawatankuasa tatatertib universiti bersifat bebas kerana pembuat keputusan serta pendakwaraya adalah orang sama dan keberangkalian untuk berlaku adil adalah mustahil.

“Biarlah dua mahasiswa terbabit diadili di mahkamah terbuka dengan syarat badan kehakiman bebas daripada campurtangan pihak tertentu dan mahasiswa perlu bangkit jika tindakan mengadili kesalahan sama dilakukan di bawah tindakan tatatertib”, ujarnya.

Beliau turut mencadangkan Karpal Singh mewakili dua mahasiswa terbabit atas pengalaman dan kemahiran peguam itu dalam mengendalikan kes-kes jenayah.

Mengulas mengenai isu OKT yang ditahan buat kali pertama bermula 24 hingga pagi 30 Jun atas tuduhan tidak mempamerkan plat motosikal di bawah Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,beliau menyatakan bahawa ia adalah satu prosedur pentidak sah.

“Apa-apa kesalahan kecil yang diperuntukkan di bawah pihak pengurusan Universiti secara jelas tidak boleh dibawa kepada kes polis kecuali atas arahan pentadbiran dan nasihat mahkamah university dan dalam kes ini, jelas mahasiswa terbabit dianiayai”, ujarnya.

Mengenai kebimbangan ramai pihak bahawa dua mahasiswa terbabit akan digantung pengajian, beliau menyatakan ia adalah bergantung kepada budi bicara Naib Canselor dan keputusan itu perlu dibuat selepas mahkamah selesai membuat penghakiman.

“Sememangnya wujud dalam peruntukkan Seksyen 12 (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan) 2008 yang memberikan budi bicara kepada Naib Canselor untuk memutuskan sama ada penggantungan seseorang pelajar yang dituduh atas suatu kesalahan jenayah dilakukan tetapi saya melihat ia adalah satu ketidakadilan jika dua mahasiswa terbabit digantung sebelum dibuktikan bersalah”, ujarnya.

Tambahnya lagi bahawa mahasiswa perlu berani menongkah arus dan melihat kes ini dan hukuman ke atas 5 mahasiswa pada 13 Jun lalu yang terlibat dalam perhimpunan anti-ISA adalah lebih kepada konspirasi untuk menakutkan mahasiswa agar terus meniskus walaupun terus dizalimi.-mahasiswakini

No comments:

Post a Comment